Sepanjang 22 Tahun Yang Lalu
Posted on July 10, 2009 by adzeezy.
Categories: Uncategorized.
Source: http://adzeezy.blog.friendster.com/
Hari itu memang indah seperti kebiasaannya. Tenang, ditemani sedikit kicauan sang mergastua, menyanyi riang, memuji kebesaran Allah SWT, pencipta alam semesta indah ini. Namun, hari itu, kurasakan begitu tenang, tiada bunyi bising seperti hari hari yang sudah di kolej kediamanku di UTM ini. Pagi itu aku mandi dengan tenang, tanpa ada ketukan di pintu bilik mandi yang berwarna coklat kehijauan itu. Tiada bunyi jiran-jiran di bilik bersebelahan denganku berebut bilik air sebelum ke kelas. Tiada bunyi motosikal, kereta atau bas yang lalu, dan juga suara-suara mak cik-mak cik cleaner bersembang sambil menyapu dan membersihkan blok kediamanku ini. Yang ada hanyalah senyap. Senyap. Teman aku di hari yang masih muda itu hanyalah desiran bayu pagi yang meniupi pelepah-pelepah tua kelapa dan dahan pohon merendang yang masih setia berdiri, penghias jalan-jalan di kampus induk UTM Skudai yang berusia hampir 40 tahun ini.
Segera aku berlalu dari bilik air yang aku kugunakan sedari dua tahun lepas, sudah faham benar aku akan masalah ruang kecil itu, baik dari segi tempat mandi, tandas, lampu mahu pun sinki yang sering menjadi keluhan kawan-kawan bilik sebelahku, jika ada sesuatu yang rosak dan lambat diperbaiki.
Sunyi benar hari itu. Hari yang muda itu belum lagi menampakkan sinar sang surianya, seolah-olah, sang awan enggan membenarkan indah cahaya suria melimpah ke alam manusia, terangi pagi itu. Namun, sinar suria yang diserakkan di balik awan itu terlalu indah, buat kali pertama, aku, terdiam sendiri, terpaku, sambil lirik mataku mencari-cari kelibat manusia yang turut sama denganku, menikmati indahnya alam pada pagi itu. Namun kuhampa, kerana tiada siapa yang berkongsi pemandangan itu denganku. Meskipun hari kian cerah, namun, ada sebutir bintang yang masih kelihatan di langit selatan semanjung ini yang jatuh di sebelah timur mega merah mentari. Tidaklah terlalu cerah cahayanya, namun cahayanya cukup mendamaikan di pagi itu. Bintang itu selalu benar menemaniku setiap pagi, namun, sudah sebulan lamanya, bintang itu hilang dari setiap pagiku. Bintang kecil yang kunamakan sebagai Bintang Damai Pagi, kerana cahayanya mendamaikan perasaanku, mententeramkan perasaan hatiku, mengubati kerinduanku pada mereka yang jauh dari hidupku.
Seolah-olah tiada langsung makhluk bernama manusia di bumi UTM ini melainkan aku, dan hanya aku sahaja.
Dari balik jendela yang kukuak sedikit, desir bayu pagi segera menyapa lembut wajahku, seperti mengucapkan salam buatku. Di luar sana, kulihat sedikit daun-daun tua gugur ditiup angin pagi, meninggalkan kesan tona warna yang berbeza di atas rumput yang meliar hijau di luar bilikku. Ingin sekali kuberlari ke luar sana, ‘membasahi’ diriku dengan ‘hujan daun dan embun pagi’ seperti yang pernah aku rasai sewaktu kecil-kecil dahulu. Sungguh, kenangan itu buat aku tersenyum di luar sedarku. Kucapai sehelai daun tua yang gugur mengenai jendela bilik kecilku, kuletak di telapak tanganku, kulihat, dan dalam senyumku, air mataku jatuh menitis, mengalir, perlahan, lahir jauh dari sudut hatiku yang paling dalam.
Kenangan lalu cukup buat aku teringat akan seseorang, lantas, kucapai telefon bimbitku, ingin sekali kuberbual dengan dengan seseorang tapi pantas dijawab di hujung talian,
‘Harap maaf. Baki kredit akaun Hotlink anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan ini. Sila tambah jumlah untuk membuat panggilan selanjutnya, terima kasih…. tut, tut, tut….’
12 tahun dahulu…
Sudah menjadi rutin emak lebih dari 20 tahun yang lalu, sedari abangku yang sulung memasuki alam persekolahan, sampailah aku dan adikku yang bongsu, supaya bangun, untuk ke sekolah. Seperti kebanyakkan anak- anak kecil yang lain, aku memang jenis yang agak liat bangun awal pagi. Emak aku apalah lagi, diambilnya gayung berisi air, terus disimbah ke mukaku, jalan terakhir untuk aku terus bingkas ke bilik air. Manja jugalah aku masa itu, apa tidaknya, sampai darjah lima emak menyiapkan sebaldi air panas buatku untuk mandi pagi, memakaikan aku dengan baju sekolah, lengkap dengan rambut disikatkan oleh mak. Sungguh mak memang sabar melayan kerenah aku yang agak manja sepanjang aku masih di sekolah rendah, tanpa pernah ada rungutan yang terbit dari bibir milik wanita yang hampir separuh umur itu.
“Mak, mana air mak?”
“Ai, lupalah tu, kan hari ni kita puasa, kan pagi tadi kita sahur sama-sama…tak ingat eh?”
Oh…puasa rupanya hari tu…
Dan sepanjang hari di bulan Ramadan tahun itu, yang ketika itu, aku darjah empat, aku akan pergi sekolah dengan perut kosong, namun, tak pernah pula aku berasa kelaparan, mungkin berkat doa abah dan mak yang tak sanggup melihat anak-anak mereka berasa kelaparan dalam menjalani ibadah yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas umat Muhammad, memenuhi tuntutan rukun Islam yang ketiga, dimakbulkan oleh-Nya.
Di sekolah, Ustazah Ramzan, sering mengingatkan kami agar sentiasa menjaga puasa. Mungkin juga, disebabkan bulan puasa, kelas kami agak senyap. Keadaan yang tidak normal itu amat disenangi oleh cikgu sekolah, kerana kelas kami sangat dikenali dengan kenakalan yang amat sukar dikawal. Guru kelas kami ketika berada di Tahun Empat sering sahaja bertukar ganti lantaran tidak sanggup menjaga kelas yang dianggap The Class of the Century, kerana tiada lagi kelas senakal kami pernah ada di sekolah yang mempunyai dua aliran bahasa pengantar itu, Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin.
Semua aktiviti luar, terutama sekali Pendidikan Jasmani atau PJ dibatalkan. Aku bukanlah seorang pelajar sekolah yang suka PJ. Bukanlah aku seorang yang tak suka bersukan, tapi aku adalah seorang yang lebih suka bermain pemainan kampung, yang jauh lebih mencabar daripada permainan melambung pundi-pundi berwarna warni berisi kacang hijau yang sering kali disuruh oleh cikgu sekolah. Hanya Cikgu Sarbini guru mata pelajaran PJ yang paling aku gemari kerana sering mengajar kami permainan baru antaranya tarik tali. Namun, Cikgu Sarbini adalah seorang guru yang garang, sering kali aku didenda kerana lupa membawa baju PJ, membuatkan aku selalu sahaja diam ketika berada di dalam kelasnya. Raut wajahnya yang tak pernah sekali tersenyum menambahkan rasa gerunku padanya. Dia juga merupakan guru mata pelajaran Matematik, sudahlah aku adalah seorang pelajar yang lemah dalam sifir, membuatkan aku sering menjadi sasarannya di dalam kelas. Bukan aku sahaja, tetapi semua kawan sekelasku akan mendiamkan diri sebaik sahaja Cikgu Sarbini menjejakkan kaki ke dalam kelas Ilmu Hisab kami. Cikgu Sarbini merupakan guru yang paling lama mengajar kelas kami, sejak dari Tahun 2 sehinggalah Tahun 6, dan hanya dalam kelasnya sahaja kami berdisiplin.
Walaupun berpuasa, tetapi naluri seorang ibu tidak akan pernah untuk terlepas daripada perasaan bimbang terhadap anak kecilnya. Mak, juga tak pernah untuk terlepas daripada perasaan itu terhadapku. Setiap pagi sebelum abah menghantar aku dan kakakku ke sekolah, mak, seperti kebiasaannya akan membekalkan aku dengan sebotol air dan wang saku, bimbang aku akan berasa kehausan dan kelaparan di sekolah. Namun, aku tak pernah terniat untuk menggunakan kesempatan itu untuk makan atau minum bagi menggalas perut di siang hari. Wang saku yang aku tidak gunakan itu aku simpan untuk kuberikan semulakan kepada mak. Aku pula tak pernah menyimpan duit perbelanjaan sekolah jika aku tak menggunakannya. Sungguh, meskipun aku baru berusia 10 tahun, tetapi, aku sudah mampu mengerti akan kesusahan keluarga kami. Wang saku ke sekolah yang dibekalkan kepada hanyalah 20 sen sehari, tapi aku simpan juga untuk kuberikan kembali kepada mak. Bukan itu sahaja, jika cikgu membayar balik baki wang buku kerja sekolah, wang itu juga akan kuberikan kepada mak, untuk kegunaan mak membeli sayur, untuk keperluan sehari-hari keluarga kami, yang kebiasaannya dijual oleh jiran sekampung kami dari rumah ke rumah. Mak, seperti biasa, bukanlah seorang wanita yang mempunyai masa rehat yang cukup, apa tidaknya, ada banyak pakaian rumah dan seragam sekolah tujuh orang anaknya dan juga pakaian kerja abah yang perlu dicuci, dijemur dan digosok, selain tugas mengemas dan memasak, menghantar adikku ke tadika jika abah sedang bertugas, membuatkan mak tidak cukup masa untuk menjaga tanaman sayurannya di halaman belakang rumah desa kami.
Mungkin, itu membuatkan aku biasa untuk mengikat perut jika mak tak sempat memasak. Mak pula tak pernah membenarkan kami memasak kerana takut kami akan melecur terkena api. Mak hanya membenarkan kakak untuk memasak sekiranya kakak telah pulang dari sekolah, itu pun kakak jarang balik awal kerana jarak sekolah mereka lebih jauh.
Hampir tiga minggu menjalani ibadah puasa, abah, seperti kebiasaannya akan membawa kami sekeluarga ke bandar untuk membeli baju raya. Menaiki bas berwarna putih hijau, STC, yang kini hanyalah tinggal kenangan semenjak syarikat itu menutup operasinya pada pertengahan tahun 2004, kami sekeluarga pergi ke Bandar Raya Kuching seawal jam 9 pagi. Waktu itu amat indah, kerana kami bukanlah datang dari keluarga yang berada, abahku hanya seorang askar pencen, berapa sahajalah wang persaraannya ditambah sedikit dengan pendapatannya sebagai pengawal keselamatan, tolak dengan perbelanjaan menampung persekolahan kami adik beradik dan makan minum sekeluarga. Perasaan memakai baju dan kasut baru hanya dapat dirasai setahun sekali, itu pun jika tiada masalah kewangan yang datang melanda keluarga kami. Mujurlah abah dan mak tahu menjaga perbelanjaan keluarga, apatah lagi tahun itu, 1997, dunia dilanda kemelesetan ekonomi, semua harga barang, baik makanan, pakaian mahu pun peralatan sekolah, dinaikkan. Merasa jugalah kami adik beradik memakai baju dan kasut baru tahun itu, meskipun hanyalah kasut dan baju buatan negara jiran yang dijual di kaki-kaki lima kedai.
Di dalam bas, banyak ragam pelbagai penumpang bas dapat aku lihat. Yang budak-budaknya ada yang mabuk, muntah, yang tua berdiri, yang muda pula duduk. Dengan keadaan bas yang sendat seperti sardin itu, kerana hari raya semakin hampir, kami sampai juga di pasar. Pasar dalam bahasa Sarawak bukanlah merujuk kepada pasar ikan atau sayur, tetapi bandar. Banyak barang yang dibeli, dari pakaian, sampai kepada tepung, gula marjerin dan sebagainya untuk keperluan membakar kuih raya. Petangnya,barulah kami pulang ke rumah.
Mak, seperti biasa, dari menyukat, memotong sehinggalah menjahit, itulah kerja mak, menyediakan pakaian raya kami, sekiranya tidak ke dapur membuat kuih raya atau memasak juadah berbuka puasa.
Abah pula, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, setelah menamatkan perkhidmatan sebagai tentera, jarang-jarang berada di rumah kerana sering sahaja ditugaskan mengawal pejabat. Namun, abah tak pernah lupa membantu mak dalam menyiapkan kerja-kerja rumah meskipun letih bekerja, sering juga abah memasak juadah berbuka, kalau tidak mencuci pakaian kami adik beradik. Sungguh, mak, tidak pernah letih dan merungut, mencuci pakaian kami tujuh beradik, mengemas rumah yang sering sahaja kami sepahkan. Abah pula, tak pernah pula lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan jika kami minta untuk dibelikan barang yang kami inginkan, namun, abah tak pernah pula kekurangan wang, kerana abah sangat bijak berbelanja.
Menjelang raya…
Mak, seperti biasa, adalah orang yang paling sibuk di rumah. Menganyam ketupat, memasak kari daging, ayam masak lingkong, sejenis masakan Sarawak, masakan mak yang paling utama di pagi Aidilfitri, kuah sate, roti canai dan pelbagai lagi juadah lain. Sungguh, aku tak pernah berani mengacau mak ketika itu, kerana mak bukanlah seorang yang suka diganggu ketika bekerja.
Kami pula, adik beradik lelaki dan juga abah, akan mengemas rumah, memasang permaidani, sambil bersembang tentang susunan perabot di rumah.
Dan seperti kebiasaan hari raya yang sudah-sudah, kami adik beradik memohon ampun dan kemaafan dari kedua orang tua kami, selepas bersama-sama menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, sebelum makan bersama-sama di pagi raya sebelum menziarahi nenek dan datuk.
Seperti anak-anak kecil yang lain, aku dan adik beradikku juga mendapat duit raya dari abah dan mak, meskipun taklah sebanyak mana, kadang- kadang langsung tak dapat pun, tetapi duit raya yang kami perolehi akan kami simpan di bank, kerana abah dan mak selalu menasihati kami adik beradik agar menabung untuk masa hadapan, manalah tahu kami akan melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Namun, dalam diam, aku hanya berfikir, mampukah aku belajar tinggi-tinggi, menyambung cita-cita kedua abangku yang hanya menamatkan pengajian masing-masing di peringkat SPM dan STPM, menyedari aku sahaja anak lelaki yang masih bersekolah.
Selesai sahaja bersiap, kami terus ke perhentian bas, menunggu bas menuju ke rumah nenek dan datuk. Memohon keampunan dari orang tua mak. Orang tua abah pula, tak sempat pula kutemui kerana telah meninggal dunia sebelum aku dilahirkan. Dan ketika inilah, aku, berpeluang untuk berjumpa dengan sanak saudara yang yang jarang kutemu.
Epilog
Nun di sana, bintang pagiku semakin menghilang, terus aku titipkan doaku pada Allah SWT, berdoa agar aku dapat berada di samping keluargaku. Padamu bintang pagi, sampaikanlah doaku pada Allah…
Aku duduk sebentar di kerusi belajarku, dengan berbaju Melayu, berwarna merah hati, kalau tak salahku, dijahit pada tahun 2005, ketika aku di matrikulasi dahulu. Damai tangisanku di pagi itu sedikit dikejutkan dengan deringan nada polifonik telefon Motorolaku. Tertera di skrin, 0826……. sedang memanggil, pinta disahut…
Hello, assalamualaikum…
Tok, tok, tok…
Pintu bilik kecilku diketuk. Kubuka untuk melihat siapa di balik daun pintu biru itu. Ah…kawanku…lupa…dia juga sama sepertiku.
“Eh…ko dah siap ke nak sembahyang raya ni? Ko nangis ke tadi? Bengkak semacam je…mata tu…”
“Ala…sabarlah…ada lagi yang tak balik raya ni…aku pun sedih jugak…cheer up bro…raya ni…sambungnya lagi.”
“Yela,yela…jom.” Sambil kukunci pintu bilik.
Di luar blok kediamanku, kulihat bintang pagi yang menemaniku sudah hampir kepudaran cahayanya, tersenyumku sendiri di tanah rantau ini. Jumpa lagi Bintang Pagi…sampaikan surat doaku pada Tuhan…
Padamu mak, yang berada di Kuching Sarawak, anakmu mohon keamaafan dari UTM Skudai Johor, kerana 3 tahun tak balik beraya, kerana faham akan keadaan keluarga kita. Rindunya anakmu ini pada masakan hari raya mak. Dan padamu abah, maafkan anakmu kerana tidak berada di depanmu, sujud memohon keampunan dari ketika hari raya, meskipun dirimu pernah terlantar di hospital di bulan Syawal 2007…juga tak membantu kemaskan rumah di malam raya…
Tuhan… kirimkanlah bintang pagi itu kepada mereka agar aku dekat dengan mereka…kirimkanlah mereka ke syurga jika mereka dipanggil mengadap diri-Mu…aku tak akan pernah mampu membalas jasa mereka, jika Dirimu ambil mereka terlalu awal…panjangkanlah usia mereka, agar kami dapat membalas jasa mereka….
Ampunkan anakandamu ini....
Selamat Hari Raya Aidilfitri…
No comments:
Post a Comment