Friday, April 23, 2010

Sepanjang 22 Tahun Yang Lalu

Sepanjang 22 Tahun Yang Lalu
Posted on July 10, 2009 by adzeezy.
Categories: Uncategorized.
Source: http://adzeezy.blog.friendster.com/

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Agak lama sudah aku mengemas kini blog aku ni rindu jugaklah nak tulis sesuatu ni…haha…
Kebanyakkan rakan-rakanku yang pernah membaca blog aku selalu menyatakan, bahasa yang aku gunakan dalam penulisan blog tentang diriku berbunga-bunga…betul ke? Entah la. Terpulanglah kepada setiap individu yang membaca sebab mereka berhak menilai hasil penulisan aku yang aku siarkan untuk tatapan semua.


Ahad, 5 Julai 1987 bersamaan 9 Zulkaedah 1407 Hijrah, 11.03 malam…
Lahirlah aku ke dunia ini, setelah bondaku menyabung nyawa menyambung zuriat cintanya bersama suami tersayang, ayahandaku, 22 tahun dahulu. Disambut oleh seorang doktor berketurunan Tionghua, aku dilahirkan di bawah naungan bintang Cancer, atau pun Si Ketam yang bersinar di langit utara sekitar 22 Jun sehingga 22 Julai. Kelahiran aku ke dunia ciptaan ALLAH yang Maha Agung dan yang Maha Penyayang ini disambut oleh lima orang kekandaku, iaitu dua orang abang, yang mempenghului adik beradik kami, diikuti tiga orang kakak yang menanti kehadiran ayahanda dan bonda di rumah bersama arwah nenda berdua di Kem Tentera Darat Penrissen, Batu Lapan, Kuching Sarawak, cahaya mata yang dikurniakan kepada keluarga ayahanda dan bonda sebelumku, yang mana empat tahun selepas kelahiranku, aku dikurniakan dengan seorang adik perempuan.
Terima kasih bonda, kerana sembilan bulan sepuluh hari lamanya menanggung beban yang disebabkan oleh anakandamu ini, akhirnya, anakanda ini berpeluang juga merasai keindahan alam maya ini.

Dilahirkan di Hospital Umum Sarawak, Kuching, aku dibawa keluar bersama bonda dari hospital itu sehari kemudian. Pada 7 Julai 1987, ayahanda dan bondaku bersepakat memberikan aku sebuah cukup nama yang amat indah bagi setiap insan yang baru mengenaliku, sebagai tanda kasih dan cinta terhadap aku yang masih baru ingin mengenal dan menjenguk jendela alam ciptaan Allah yang Esa ini, dengan sebuah nama Arab yang membawa erti, Cahaya Kekasih, yang juga membawa makna sebagai Cahaya Kesayanganku. Aku cukup bertuah kerana ayahandaku sendiri yang ketika itu memakai baju celoreng perajurit mengalunkan kalimah indah azan ke telinga kananku, mengajarku menjadi seorang Islam, seperti Nabi junjungan Allah, Muhammad S.A.W mengajar Bilal bin Rabah tentang azan, menyeru umat Islam menunaikan solat fardu 5 kali sehari siang dan malam.

Sedari aku masih lagi seorang kanak-kanak, aku memiliki rambut kerinting berwarna perang cerah yang panjang, yang sengaja dibiarkan melepasi bahuku kerana bondaku suka dan gembira melihatnya kerana aku satu-satunya anaknya yang mewarisi sifat genetik rambut itu darinya. Adik beradikku hanyalah mewarisi kulit kuning langsat dari bonda dan mewarisi kening yang lebat dari ayahanda. Seringkali aku disalah tafsir sebagai anak angkat kerana sifat fizikalku yang tidaklah begitu sama ketika aku masih kecil jika hendak dibandingkan dengan abang-abang dan kakak-kakakku.
Banyak kenangan pahit manis yang aku lalui selama 22 tahun aku bersama mencari rezeki dan peluang hidupku bersama makhluk-makhluk Tuhan lain yang bertebaran di atas muka bumi ini. Pernah juga aku dipukul dan dimarahi oleh ayahanda dan bonda kerana kedegilanku semasa aku masih kecil, namun aku tak pernah ambil kisah, kerana ayahanda dan bonda telah melakukan apa yang mereka rasakan betul kepada aku dan juga adik beradikku, hasilnya aku dan dua orang kakakku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, manakala seorang kakakku memegang diploma, dan kini merupakan seorang pegawai tinggi kerajaan. Abang sulungku pula, meskipun hanya berkelulusan SPM, tapi kini sedang bekhidmat sebagai perajurit, menyambung legasi ayahandaku, dan bekerja mencari rezeki, menampung perbelajaan adik beradiknya di bangku pengajian. Dan seorang lagi abangku, berkelulusan STPM, sanggup melepaskan cita-citanya, meskipun pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, kerana memikirkan tanggungjawab kepada keluarga dan kini bekerja di jabatan pelajaran bagi mencari rezeki, agar kami menyambung hasrat dan impiannya yang terkubur di pertengahan jalan belasan tahun lalu.

Dari tadika, ke sekolah rendah, masuk pula ke alam sekolah menengah, pelbagai peristiwa yang kualami, ah, lupa-lupa ingat sudahku. Hanya secebis dua kenangan masih masih memerah dalam hatiku, sekadar memberikan sedikit bingkisan buatku, jadi memori indah di hari muka.

Masihku ingat tarikh itu, Selasa, 31 Disember 2002, hari yang penuh indah dalam hidupku. Mungkin bagi yang lain, tiada apa yang berlaku pada hari itu, malah ada yang lupa, apa yang pernah terjadi pada tarikh itu. Tanggal tarikh sebelum tahun baru itu, aku menghadiahkan ayahanda, bonda dan keluargaku dengan keputusan PMRku, 7A, 1B. Meskipun tak berjaya meraih 8A seperti yang kuharapkan, namun aku tetap gembira kerana aku mampu menebus kekecewaanku semasa pengumuman keputusan UPSR, yang mana aku hanya mampu mendapat keputusan 2A, 2B, 1C. Lebih mengujakan hatiku, aku tak membazirkan wang ayahanda untuk pergi ke kelas tuisyen, tidak seirama dengan rakan-rakan sekelasku, bukti aku sebagai seorang kampung boy, juga boleh meraih keputusan dengan bersandarkan kepercayaan pada diri, semangat dan usaha yang diterap oleh keluarga dan guru-guru yang telah mendidikku.

Tanggal 4 Mac 2005, setelah 4 bulan berehat dari bangku persekolahan, aku kembali ke sekolah, SMK Sungai Tapang, menuntut satu janji 17 tahun dahulu sedari aku lahir, keputusan SPM. Berdebar juga rasa di hati, kerana aku akui, aku kurang fokus semasa SPM dan juga di kelas. Namun, sebaik keputusan diumumkan, aku berasa amat bersyukur, kerana aku menduduki tempat ke-11, pelajar terbaik SPM, di sekolahku yang dikategorikan sebagai sebuah sekolah luar bandar, dengan keputusan 6A, 3B, 1C, atau bahasa SPM dulu-dulu, pangkat 1, 9 agregat. Sungguh mengejutkan diriku, aku berjaya memperoleh A1 untuk subjek Matematik Tambahan, dan satu-satunya pelajar Melayu mendapat keputusan 1 dalam subjek pernah menjadi mata pelajaran yang amat kubenci semasa mula-mula menjejakkan kaki ke Tingkatan 4 dahulu. Fizik, subjek yang kududuki ketika nendaku meninggal dunia, menjadi salah satu subjek penyumbang A, meskipun aku agak lemah dalam subjek itu. Nenda, kejayaan ini turut menjadi milikmu.
18 Mei 2005, menjadi suatu lembaran baru dalam hidupku, kerana ini kali pertamaku berpisah dengan keluargaku, untuk belajar di peringkat matrikulasi, di Kolej Matrikulasi Labuan. Lebih 300 batu jaraknya memisahkan aku dan kampung halamanku, dan tahun itu menjadi tahun pertama aku meraikan hari lahirku di luar lingkungan keluarga, di Mutiara Laut China Selatan, yang menantikan kepulanganku nun jauh di bumi kelahiranku.

Setahun dua bulan selepas itu, pada 5 Julai 2006, tarikh keramat yang menambahkan usiaku kepada setahun lebih banyak dari hari sebelumnya, aku meraikan bersama ayahanda dan bonda di Universiti Teknologi Malaysia(UTM), Skudai Johor. Pada hari kelahiranku yang ke-19 ini, aku meraikan sebagai seorang yang lain, ya, aku bergelar sebagai seorang mahasiswa di hari kelahiranku yang ke 19. Sungguh aku gembira, kerana, aku inilah hadiah ulang tahun kelahiranku yang paling mahal harganya dan paling bererti sepanjang hidupku…

Malam raya 2007, aku dengan sepupu aku, Azri, menyambut malam raya di balai polis…sebab dia…adalah…..huhuhu….sedih la jugak….tapi kenangan tu, memang la, berharga ke? hehe….

Dan pada hari ini pula, 5 Julai 2009, usiaku bertambah lagi setahun, menggenapkan jumlah 22 tahun aku lahir ke alam ini. Dan pada ulang tahun ke 22 ini, aku amat gembira kerana kerana kini aku punya dua orang yang baru, yang kuanggap saudaraku sendiri, menjengah ke alam hidupku, yang aku amat sayangi kedua-duanya, syukur pada-Mu ya Allah, Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihi makhluk-Nya.
Terima kasih semua.

Semoga Allah panjangkan usia semua yang mengenaliku, murahkan rezeki, dan diberikan petunjuk dan kegembiraan pada semua…

AMIN

No comments: