Friday, January 14, 2011

Meninggalkanmu… Sirus


Panas seperti biasa. Hampir menunjukkan angka 11 pagi. Tepat masa untuk subjek Bahasa Malaysia, antara subjek yang aku paling lemah antara 10 buah subjek yang aku bakal hadapi SPM nanti. Bayangkan, untuk peperiksaan percubaan SPM pertama, aku hanya dapat 54 markah, malu aku dengan classmate aku yang lain.

Lemah betul kalau melihat cikgu Abdul Muluk, cikgu BM kami masuk ke kelas. Nasib baiklah tempat duduk aku di sebelah tingkap berhampiran dengan tangga di tingkat paling bawah blok. Bolehlah menghilangkan perasaan jemu aku melihat tabiat budak sekolah sesi pagi dan petang yang lalu dan naik ke tingkat atas.

Di hadapan aku, macam biasa, tempat yang akan diduduki oleh Miss Dia. Apa-apa pun yang dia buat pasti aku yang berada di belakang akan nampak. Itulah untung kalau duduk belakang. Memang aku tak pernah duduk kat depan Dia pun selama lima tahun bersekolah di sini.

Paling mencabar iman semasa duduk di tepi tingkap ialah bunyi bising budak-budak yang turun naik tangga terutamanya ketika hendak pergi atau balik dari makmal sains. Tak pun, kelas kami sendiri. Kalau hendak ke makmal, pintu mesti akan dikunci, mengelakkan beg-beg yang ditinggalkan di kelas hilang dicuri. Pernah ada satu kes, semasa perhimpunan sekolah setiap pagi Rabu, sebuah kelas senior, mengalami kecurian. Semua pelajar di kelas itu kehilangan alat tulis, pensel, pen, pembaris. Tapi siapa pencurinya tiada siapa yang tahu, kerana pengawas yang ditugaskan untuk meronda di kawasan blok itu pergi ke tandas ketika kejadian itu berlaku.

Cikgu Muluk tidak banyak mengajar pada hari itu. Hanya lebih menumpukan tentang format dan cara-cara menjawab soalan SPM yang bakal kami duduki nanti. Selebihnya, beliau mengarahkan kami untuk membaca dan menyelesaikan soalan peperiksaan tahun sudah.

Untuk subjek BM, aku selalu bertanya dan bertukar pendapat dengan Dia, memang kepakarannya untuk membina struktur ayat dan menterjemahkan maksud ayat-ayat sastera dalam prosa tradisional yang kami pelajari. Dari tingkatan 1 hingga 5, kami mempelajari buku antalogi Sehijau Warna Daun, Seuntai Kata Untuk Dirasa, Anak Bumi Tercinta, Anak Laut dan Kerusi. Manakala novel bermula di tingkatan 2, iaitu Timulak Kapal Perang, Ekspedisi, Putera Gunung Tahan. Malangnya semasa di tingkatan 1, kami tidak berkesempatan untuk mempelajari novel Limpahan Darah Sungai Semur, kerana menurut cikgu, sekolah tidak mempunyai buku teks yang cukup untuk dipinjamkan kepada semua pelajar. Aku? Macam biasa, mana pernah baca buku-buku novel dan antalogi yang dipinjamkan. Sebab itulah aku lebih senang bertanya dengan Dia tentang subjek ini.

Walaupun aku sudah pun menjamah sedikit makanan pada waktu rehat tadi, pada jam 9.40 pagi, tapi aku masih lagi berasa lapar. Entah, sejak akhir-akhir ini, penghujung tingkatan lima ini, aku sering berasa lapar, tidak seperti di tingkatan menengah rendah dulu. Tadi aku makan mi goreng, hari semalamnya aku makan mi kolok dan roti goreng, masing-masing berharga seringgit dan 60 sen. Adakah sebab aku seorang pengawas? Atau perubahan hormon remaja? Boleh jadi. Walau apa pun, waktu rehat yang diperuntukkan untuk setiap sesi ialah 20 minit, dan biasanya aku akan ambil masa 30 minit, 5 minit sebelum waktu rehat bermula dan 5 minit selepas loceng rehat berbunyi. Biasalah, tugas pada sekolah, padahal, malas nak duduk kelas lama-lama.

Dia pun sama. Katanya dia pun malas duduk dalam kelas. Sebab itulah dia selalu lambat kembali ke kelas. Kamikan senior, tahun akhir di sekolah ni, tunjukkanlah power. Haha.

Aku selalu juga berkongsi perasaan selama aku menjadi pengawas dengan Dia. Siapa yang tak rasa tension dengan tingkah laku pelajar liar yang memang di luar kawalan pengawas. Dan ada di kalangan pengawas sendiri yang tidak mahu menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Tambahan pula aku memegang jawatan sebagai Ketua Grup aka Naib Ketua Pengawas, jawatan ketiga tertinggi dalam Lembaga Pengawas. Memang pening, memandangkan aku perlu menjaga 17 orang pengawas di bawah Grup aku.

Paling membosankan, waktu menjaga kantin sekolah. pasti pelajar-pelajar sekolah akan berebut untuk membeli makanan. Memandangkan aku ketua, maka aku selalu menyuruh atau dengan kata lain, membuli pengawas junior mengawasi barisan pelajar yang ingin membeli makanan.

Hanya ada dua buah kipas dipasang di siling kelas, satu di bahagian suku depan, dan satu di suku belakang. Bunyinya kadang-kadang menambahkan bising yang sedia ada di luar kelas. Dengan bunyi hentakkan kasut di tingkatan atas, meja, bunyi loceng dan ucapan selamat sejahtera, semuanya masuk ke dalam otakku.

Kadang-kadang, aku rasa Dia agak mengarut. Selalu sahaja Dia berbicang tentang idea yang aneh-aneh denganku. Antaranya menghias kelas dengan langsir yang beropol-ropol, ish, dahlah panas, letak lagi langsir.

Satu hari, Dia mengajak aku untuk menyertai pertandingan Forum remaja peringkat bahagian. Aku diajak setelah nama aku dicadangkan oleh Izz, yang memang sudah aku kenali sedari sekolah rendah dahulu. Itu pun selepas seorang peserta menarik diri. Paling aku ingat semasa persiapan pertandingan itu ialah Dia membantu aku memakai blazer sekolah, yang mana aku satu-satunya peserta lelaki yang masuk ke pertandingan itu mewakili sekolah kami. Bangga juga, sebab dapat mencipta satu lagi kenangan bersama Dia. Di hadapan cermin bilik kaunseling, tempat kami berlatih Dia meletakkan tangannya ke bahu aku. Terkejut aku! Dan seperti biasa, aku tunduk, malu. Dan kalau malu, sudah pasti kedua pasang telinga aku akan bertukar menjadi Power Rangers merah. Perasan yang aku sedang malu, Dia segera mengajak kami kembali berlatih untuk pertandingan itu. Mak ai, bukan main lagi malu aku masa tu, sampai ke bahu aku sekali jadi merah.

Untuk pertandingan itu, aku menjadi panel yang ketiga, penggulung kepada semua panel. Dahlah baru masuk, terus jadi panel ketiga, parah betullah pasukan sekolah aku ni.

Aku cuba untuk menjadi yang terbaik, di hadapan semua kawan-kawan yang mengharapkan keajaiban dalam pertandingan itu. Bayangkan, pertandingan berlangsung pada hari Khamis, kami mula berlatih pada hari Isnin.

Untuk tempoh hari Isnin sehingga Rabu, aku dan yang lain balik sekolah pada jam 4.30 petang. Sebenarnya, aku ini taklah suka balik lewat sangat, lebih suka balik cepat, dapatlah berehat di rumah sambil menonton televisyen. Tapi, aku mendapat kredit balik lewat dengan dapat berjalan kaki dari sekolah ke tempat menunggu bas bersama Dia dalam lingkungan 2 Km. Padahal, ada stesen bas dibina di hadapan sekolah. hihi.

Walaupun tak lama, tapi aku dapat berbual dengan Dia, bersendirian. Seronok, tambah-tambah lagi, dengan orang kita suka secara diam. Aku mengaku, memang aku agak penyegan dengan spesies yang digelar makhluk perempuan ini, apatah lagi dengan Dia, tapi, memandangkan ini adalah salah satu peluang yang ada, aku temankanlah Dia sampailah selamat naik bas di stesen bas yang kami tujui.

Nak dijadikan cerita, waktu itu, keadaan yang agak mendung dan hujan renyai-renyai turun sepanjang kami berjalan kaki balik dari sekolah. Dah macam filem Korea pulak. Makinlah aku segan, berkongsi payung lipat bercorak bunga dengan budak tu. Aku pun satu, lupa bawak masa tengah kemaskan buku dalam beg. Jujurnya, itulah kali pertama aku dapat berjalan kaki balik sekolah dengannya sepanjang aku mengenali Dia.

Yang penting, aku lebih banyak dengar setiap butir ayat yang keluar dari mulutnya daripada bercakap semasa perjalanan pulang itu. Sebenarnya Dia dan kawan-kawannya suka mengusik aku di sekolah, sebab aku satu-satunya orang yang mereka kenal, apabila bercakap tak pernah pandang ke arah mata orang yang dilawan bercakap. Aku bagi alasan yang aku segan nak tengok muka orang di depanku, sebab tu aku tunduk kalau bercakap. Yelah, dah lima tahun kenal, takkan masih nak segan. Pelik jugak aku ni eh, sampai sekarang kawan-kawan aku masih cakap aku ni tunduk kalau bercakap dengan dia orang.

Loceng tamat waktu persekolahan mengejutkan aku dari kenangan itu. Semuanya sudah siap berkemas, tinggal meja aku seorang yang masih berselerak dengan buku-buku rampaian sekolah. Mujurlah hari ini cerah. Awan sirus yang nipis tinggi di atas langit. Semoga perjalanan Dia ke stesen bas tengah hari ini selamat dan tidak basah dengan air jalan dan hujan.

18 Januari 2000- Ulang tahun mengenalimu yang ke 11...

Jika anda suka, sila tekan butang Nuffnang di bawah ini. Terima Kasih :)

1 comment:

Semerah Jembal said...

wah..wah..dengan aq x de..haha