Ayahanda
Posted on September 15, 2008 by adzeezy.
Categories: Uncategorized.
12 November 2007
Source: http://adzeezy.blog.friendster.com/
Belum kering lagi embun pagi ketika aku keluar dari asrama putera di kolejku ini. Lupa nak perkenalkan diri. Aku Zizi, namun ada kalangan kawan rapatku di sini menggelarkan aku sebagai KC, sama seperti nama dj radio Melayu Singapura, pelajar tahun kedua, jurusan Kejuruteraan Awam di UTM Skudai. Hari itu, aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke dewan peperiksaan, lemas menunggu perkhidmatan bas UTM yang sering menjadi rungutan pelajar, yang masih lagi menjadi isu permasalahn di kampus ini. Agaknya, fail bas aduan bas UTM telah lapuk dan berkulat, sehinggakan tiada pihak yang dapat menyelesaikan isu itu. Retak-retakan daun-daun kering dipijakku sedikit pun tidakku hirau kerana ingin segera ke dewan peperiksaan.
Hari ini hari yang amat genting bagiku….menghadapi peperiksaan akhir subjek Olahan Air, semester 1 tahun 2. Dan seminggu yang lepas, ayahanda yang kukenali sedari aku lahir dahulu diisytiharkan menghidap penyakit jantung. Dan ketika aku diberitahu, ayahandaku sudahpun dimasukkan ke hospital sebaik sahaja aku tamat peperiksaan subjek Hubungan Etnik. Sukar bagiku untuk menumpukan perhatian semasa peperiksaan itu…Seseorang yang amat aku sayangi bakal berjuang untuk hidupnya… gagal dirinya bermakna…
Ayahanda seorang pesara tentera, atau dalam sijil kelahiran ditulis sebagai perajurit. Berkhidmat di bawah Angkatan Tentera Malaysia pada Januari 1966, ayahanda bersara 22 tahun kemudian. Anak kelima dari tujuh orang adik beradik, lahir pada 5 Januari 1948, ayahanda merupakan payung bagi keluarga kami, dan juga keluarganya. Rezeki datuk, sebagai seorang ketua petani, tidaklah mencukupi menyara kehidupan keluarga. disebabkan itu, ayahanda tidak mampu bersekolah tinggi.
Pagi itu tak sama seperti hari peperiksaan yang lain. Selalunya, aku akan berasa lebih tenang, tapi, pagi itu, aku langsung tak keruan, tak tahu apa yang aku lakukan, seolah-olah, terlalu bingung dengan kehidupanku selepas ini…
Sebelum ayahandaku dimasukkan ke dewan bedah, kakakku menghubungiku, menyatakan ayahanda akan dijadualkan menjalani pembedahan pada jam 10 pagi. Aku tahu, bondaku semasa itu tengah bergelut dengan hati dan perasaan, mana taknya, telah 35 tahun hidup bersama, ayahandaku seolah-olah akan direnggut dari hati wanitanya. Dan aku tahu, bonda tak mampu untuk meluahkan kata-kata kepadaku ketika itu…Seolah-olah dirinya bakal menerima hukuman yang amat berat di atas setiap dosa-dosanya…..
Tiga bulan sebelum itu di Pulau Pinang…
Kulihat ayahanda sering semput dan tak mampu tuk berjalan jauh. Paling jauh pun 50 meter sebelum ayahanda berhenti untuk mengambil nafas. Tercungap-cungap setelah berjalan sejauh itu. Kasihan melihat dirinya, kubertanya pada dirinya. Ayahanda hanya tersenyum dan berkata…
“Tak ada apa, cuma letih jalan jauh…”
Masakan 50 meter tu jauh…..
Dan pada tarikh ini, ayahandaku berjuang untuk hidup. Dalam jangkaan pasukan doktor, pembedahan itu akan mengambil masa selama 5 jam. Dibedah bagi memintas 4 daripada 5 saluran darah jantung yang tersumbat. Menurut doktor, kes ayahanda aku agak jarang ditemui kerana secara normal hanya 3 salur sahaja yang tersumbat. Keadaan ayahanda amat kronik jika tidak dibedah dengan segera.
Kebiasaan pesakit lain akan menerima rawatan berbulan lamanya sebelum dibedah, itupun jika tiada penyelesaian terbaik untuk dirawat. Dan menurut pasukan doktor yang bakal membedah ayahanda hanya meramalkan peluang untuk ayahanda ku untuk terus hidup selepas menjalani pembedahan itu hanyalah 7.0 %. Kebiasaan hanya 4-5 doktor merawat seorang pesakit jantung, tetapi bagi ayahandaku, hampir 12 orang doktor merawatnya.
Berderai hatiku menjawab soalan peperiksaan itu, pemikiranku diwayangkan dengan bayangan ayahandaku yang tersenyum di hadapan meja peperiksaanku.
Tetapi, aku mendapat SMS dari adikku dua jam selepas itu, menyatakan pembedahan ayahanda telah selesai, iaitu lewat jam 12 tengah hari. Tapi kata doktor 5 jam, aku tak faham?????
Sedangkan esok aku akan menghadapi peperiksaan lagi….
Mampukah aku menahan hatiku menjawab soalan peperiksaan sedangkan aku tak tahu langsung khabar dirinya di sana……
Rakan-rakanku semua tidak mengetahui kisah ayahandaku yang ditahan di hospital ketika itu. Cuma ada seorang dua sahaja yan perasan sikap aku yang agak diam dan kebingungan sebelum dan selepas peperiksaan.
Ayahanda…kuperlukan restumu untuk menyambung semangatku dalam alam peperiksaan ini….
Ketahuilah ayahanda, tika anakandamu ini menghadapi peperiksaan di saat dirimu berjuang untuk hidup, anakmu berjaya memperoleh A untuk subjek Olahan Air, peperiksaan yang sama tika dirimu diusung ke dewan bedah…kejayaan ini adalah untuk dirimu….
Ya Allah, besar sungguh dugaanmu kali ini. Di kala diriku menghadapi peperiksaan akhir, ayahanda pula berjuang menghadapi ujian hidup daripada Tuhan.
Akulah satu-satunya anaknya daripada 7 adik-beradikku yang tidak sempat menemui ayahandaku saat sebelum dirinya di bawa ke bilik bedah, kerana diriku di sini. Walaupun doaku utuskan pada Allah, tetapi aku seolah-olah tak mampu untuk menahan perasaan bersalahku pada ayahandaku. Kerana ku tahu, akulah anak yang paling rapat dengannya. Di sinilah aku mulai mengerti, betapa aku harus tabah dalam menjalani hidup ini…
Tuhan, panjangkan umur ayahandaku,
kerana aku belum sempat membalas jasamu, aku ingin sekali membuatkanmu gembira, aku ingin sekali melihat dia hadir pada hari aku konvokesyenku nanti,kerana pada hari itu aku ingin sekali memeluk dirimu dan juga bondaku,. Ingin sekali kuucapkan pada diri mereka terima kasih kerana MEMBERIKAN SEBUAH KEHIDUPAN YANG tiada tolok bandingnya di alam ini…
Ayahanda,…
Ampunilah anakandamu ini,
di atas setiap dosa yang mengalir dalam titisan darahmu…
di setiap keringatmu yang mengalir ketika dirimu mencari rezeki untuk kami, yang kadang-kadang kami tak pernah kami hargai…
di atas setiap langkah dirimu mendukung kami ketika kami masih belum mampu untuk berjalan
ketika dirimu jatuh sakit, marah, geram, dan segalanya…
Dan aku biarkan cerita ini tergantung di sini…kerana aku tak mampu menyambung nukilan dari hatiku ini…tatkala aku menulis blog ini, air mataku jatuh berlinangan…
di atas dosa-dosa kami...
No comments:
Post a Comment