Tuesday, June 28, 2011

Diktator Sebuah Koma

Seminit lagi jam akan bertambah lagi waktunya. Menghampiri waktu. Solat subuh di Zon 7, Samarahan. Keadaan yang agak sunyi, dengan bunyi hujan yang membisingkan alam diam selama hampir empat minit.

Masuk hari ini, sudah hampir tiga bulan, aku dengar lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi dari seberang tambak ini. Lagu yang agak jarang didengari oleh rakyat di utara republik itu semakin lama, semakin kurasakan terlalu mengunci aku dalam satu alam yang amat asing. Aku tidak pernah ada dalam alam itu. Yang pasti, aku ulang, dan ulang, dan ulang lagu yang sama, hampir setiap hari, dalam tempoh itu.

Jarak masa yang agak panjang antara waktu makan malam dan waktu hujan reda itu membuatkan aku berasa lapar. Tetikus infra-merah berkelip-kelip, seolah, memahami keadaan perut tuannya yang sedang kelaparan di waktu hampir subuh yang semakin dingin, dibasahi embun pagi menebalkan ketepuan udara di troposfera tropika ini.

Tapi, tak ada siapa yang tahu. Masing-masing sedang mendalami tidur malam yang panjang. Mengigau, mimpi ngeri, mimpi indah, terbawa-bawa dalam mimpi, tak bermimpi dan berdengkur. Malam adalah milik tidur. Menjadi raja dalam malam manusia.

Dan dengan itu, masa menjadi koma. Manusia yang menjadi koma dalam masa yang berhenti, tanpa ada rasa paksaan. Tiada diktator atau kuku besi yang menjadi duri dalam tempoh itu. Manusia bebas, tanpa ada rasa ingin ditakluki.

Bulan, yang sunyi sendiri, merajuk, di atas awan. Tiada siapa yang sudi memuja keindahan malamnya yang selalu menerangi tanah di bumi. Mungkin, ditemani oleh pesawat-pesawat yang mempunyai jadual lewat malam atau seawal pagi sebelum subuh, melintasi bumi di bawah cahaya bulan.

Sukar untuk membezakan rintik-rintik hujan yang semakin halus dengan embun pagi yang semakin kasar jatuh ke bumi. Cahaya bulan yang sendiri semakin jauh, semakin rendah di kaki langit. Salakan anjing-anjing yang tinggal di kawasan kejiranan Cina semakin menjauh. Hampir melengkapkan diktator sebuah koma. Menjadi diktator dalam gelap. Dalam sunyi. Dan dalam dingin. Mungkin juga dalam rindu yang jauh...

Selamat malam. Bangunlah dengan hati yang indah...

ps: apa aku merepek ni....arghhh…tak leh nak tido lah!!!!

Thursday, June 23, 2011

Aku, Kau, Dia, Mereka dan Kopurimanan Ku Osongulunan Oku

Hampir setiap petang hujan lebat turun di penghujung bulan Mei dan awal Jun. Setelah hampir tiga per empat siang manusia-manusia di bumi ini mengeluh kepanasan, dan hujan yang turun pasti akan menurunkan suhu yang menjadi rungutan di bahagian bumi yang sedang menghadap matahari ini.

Panas. Itulah perkataan yang dapat aku gambarkan tentang keadaan sepanjang hari itu. Walau pun suhu jatuh di waktu malam, namun, suhu tetap lebih tinggi daripada malam-malam yang lain.

Hobi aku, mendengar lagu-lagu. Earphone yang disumbatkan ke telingaku sengaja kupasang dengan volume yang tinggi, malas untuk mendengar bunyi sembang-sembang kosong mereka yang berada di luar.

Dan senja itu, aktiviti aku ialah mengemas bilik. Pejam celik, dah lama juga aku tak mengemas ruang kecil ini. Bilik ini terletak di bahagian selatan, sudah tentulah bilik ini amat kurang menerima cahaya matahari. Walau pun kurang menerima cahaya matahari, bilik ini tetap berasa panas, kerana kedudukan bilik ini yang agak terlindung daripada angin. Mungkin atas sebab itu, bilik aku kurang berhabuk.

Banyak barang yang aku kemaskan. Pakaian, buku-buku, dan barang yang aku simpan sebagai koleksi. Ada di antara barang-barang ini berada dalam simpananku sejak dari sekolah rendah lagi. Teringat zaman dulu, masa aku masih lagi berpakaian seragam sekolah. Sampai sekarang, pakaian seragam pengawas yang aku gunakan sewaktu darjah enam masih aku simpan.


Ada satu kotak yang masih dalam berkeadaan baik. Aku buat sendiri bungkusan yang bercorak abstrak tikar dengan gabungan pelbagai warna menggunakan cat poster. Di dalamnya, kusimpan penanda kunci, jam tangan, tiket bas, penanda buku dan pembalut gula-gula. Penanda kunci yang berbentuk baju-T dan jam tangan itu adalah pemberian mak dan abah semasa mereka berdua berkunjung ke Semenanjung Malaysia pertengahan tahun 2002. Tiket bas itu pula tiket kertas yang sangat panjang. Lebih kurang 1.3 meter. Aku memperolehinya ketika aku menaiki bas untuk pulang ke rumah. Pada ketika itu, aku menjadi orang yang terakhir menaiki bas. Pemandu yang juga konduktor bas mengerat tiket yang keluar dari mesin dan memberikan kepadaku sebagai orang yang terakhir sekali naik ke dalam perut bas, mungkin jenuh untuk memotong satu persatu tiket memandangkan agak banyak juga pelajar sekolah yang menaiki bas ketika itu. Apa yang aku dapat ingat, beberapa orang penumpang yang duduk di kerusi hadapan hanya tersengih melihat aku menggulung tiket bas yang panjang sambil berjalan ke arah kerusi kosong. Malu jugak masa tu, tapi disebabkan aku baru tingkatan satu, perasaan itu agak kurang. Kalaulah terjadi pada usia sebegini, sumpah, aku akan berasa canggung dan tak akan naik bas selama seminggu. Mengingati semula perkara itu membuatkan aku tersengih sendiri.

Penanda buku dan pembalut gula-gula. Mungkin, bagi sesetengah orang, penanda buku dan pembalut gula-gula ini kurang nilai sentimentalnya, tapi, aku masih tetap menyimpan kedua-duanya, sejak dari tingkatan empat, tahun 2003. Mestilah, kedua-duanya dari seorang yang istimewa. Ada juga kawanku bertanya, apa yang istimewanya kedua-dua barang yang aku simpan rapi dalam kotak ini. Jawapanku, senang:

“Kalau aku simpan barang yang dia bagi kat aku tu, contohnya frame gambar, aku tak rasa frame tu kekal, mesti pecah punya. Pembalut gula-gulakan plastik, plastik ambil masa yang lama untuk reput.

Bercintalah, jika itu yang membuatkanmu gembira, kerana cinta itu akan membuatkanmu sempurna dalam darjahmu yang tersendiri…” Jawapan klise yang kukira mampu memuaskan hati semua pihak yang bertanya.

And yeah, it was indeed, a warm night. All the crickets sang happily in the wood. Somehow, it feels like I’m coming back through a time travel tunnel, which, everything seems to be in their original state, preserved within the time. The same goes to my prefect’s uniform. The top is still blue in colour, while the pants are in navy blue, like the way they have been. I miss them, a lot.

Namun aku sedar, bayang-bayang yang hidup dalam kenangan ini akan hilang satu masa nanti. Dan kenangan ini sudah pun mula pudar, seperti mana baju-baju yang berusia lebih dari semusim ini. Masa berlalu pergi, dan perubahan waktu memberikan aku satu kehidupan yang dinamik, yang sentiasa berubah, meninggalkan kehidupan yang pernah berlalu dalam hatiku. Tapi, bila aku fikir-fikirkan balik, terlalu banyak perkara yang aku tertinggal dan lupa.

Aku sedar, aku sendiri di sini, ditinggalkan dalam kenangan yang semakin hilang. Hatiku mungkin bukan typewriter, menaip segala kata yang pernah keluar ke dalam ingatanku yang semakin luntur. Mataku mungkin bukan video tape yang memainkan semula cerita-cerita semalam. Mungkin aku juga bukan mesin stensil yang pernah digunakan untuk mencetak kertas ujian di sekolah rendah dulu. Mana mungkin aku boleh mencetak gambar-gambar kenangan bersama mereka yang pernah hidup dalam memoriku seperti mesin itu. Kadang-kadang, tidak semua kenangan ini akan kekal dalam hati, kerana apa yang pasti, sebahagiannya akan luntur.

Langit kirmizi di barat dunia semakin tenggelam, berlari mengejar matahari yang beredar ke sebelah sana bumi. Dan sampai bila aku akan dapat melihat, warna yang sedih ini?


Kerana, kita pasti akan melewati segalanya yang kian berubah...

Tuesday, June 7, 2011

Ketika Malam Menjelang...

Sejak aku masuk ke tingkatan dua, aku berasa menjadi seorang yang sangat penakut. Lebih-lebih lagi kalau tak dapat tidur malam. Setiap malam, aku akan tidur di bilik abang-abang aku. Abang sulung aku tiada di rumah, bekerja sebagai seorang askar. Abang kedua aku pula lebih suka tidur di ruang tamu. Kata mak dan abang sulung aku, banyak kejadian pelik yang mereka pernah alami di luar tingkap bilik itu. Kebetulan, bilik itu satu-satunya bilik yang berada di sebelah selatan, yang menghadap hutan belukar di belakang rumah. Bilik lain menghadap sebelah depan rumah.

Disebabkan sikap penakut aku yang keterlaluan itu, mak selalu memomok-momokkan aku dengan cerita misteri alam ghaib yang diceritakan oleh nenek kepadanya. Sebenarnya, aku memang seorang penakut sejak dari kecil lagi. Terbawa-bawa sehingga aku masuk ke tingkatan dua.

Pernah sekali mak menyuruh aku menyelak langsir rumah untuk melihat ke luar rumah, untuk melihat siapa yang datang setelah mendengar bunyi kereta yang berada agak hampir dengan rumah. Penakut punya pasal, kepala aku terhantuk pada jejaring besi yang dipasang pada tingkap. Esoknya, aku pergi ke sekolah dengan dahi yang lebam.

Kejadian pertama, semasa aku berumur sebelas tahun, darjah 5. Aku melihat satu cahaya kecil sedang bermain-main di celah-celah lalang di tepi rumah. Aku tegur cahaya itu, tapi nenek melarang aku. Katanya, malam-malam jangan disebut benda yang bukan-bukan.

Paling seram, masa aku di tingkatan dua. Pusing kanan, pusing kiri, mengiring, meniarap, panasnya… susah sangat nak tidur malam tu. Dah pukul dua pagi. Tiba-tiba, aku terdengar satu bunyi. Bunyi macam sebatang kayu dihentak ke lantai simen dan diikuti oleh bunyi rantai besi diseret. Tuhan sahaja yang tahu perasaanku masa itu. Apa yang aku lakukan ialah berdoa, selawat, dan membaca sedikit sebanyak ayat-ayat daripada surah al Quran yang kuhafal sejak dari darjah satu, sambil memeluk bantal dengan harapan aku tidak akan mendengar bunyi itu.

Menurut kakak sulungku, dia juga pernah dengar bunyi yang sama semasa sedang study untuk peperiksaan. Sepanjang ingatan aku, aku rasa aku pernah dengar sebanyak tiga kali bunyi itu, sampailah aku masuk ke tingkatan empat.

Perkara yang hampir sama berlaku keitka aku berada di Labuan, atau lebih tepat lagi di Kolej Matrikulasi Labuan. Pada masa tu, semua matrikulasi bercuti selama dua minggu sempena Tahun Baru Cina. Kebetulan, semua teman sebilikku berasal dari Kuching, maka mereka semua balik ke rumah, meninggalkan aku seorang di bilik yang aku kongsi dengan mereka berempat.

Selasa, malam Rabu. Disebabkan kebosanan, aku mengambil keputusan untuk mengulang kaji subjek Fizik dengan melakukan sedikit tutorial. Awal lagi kalau nak tidur, padahal dah pukul 2 lebih pagi. Tiba-tiba, aku terdengar anjing menyalak panjang. Aku buat bodoh je. Lepas tu, anjing-anjing tu senyap. Tak lama lepas tu, aku dengar lagi. Disebabkan aku dah tak tahan lagi, aku biarkan buku dan alat tulis di atas meja tanpa dikemaskan dan terus ke katil. Baru dalam seminit aku rebah di atas katil, aku tercium satu benda, wangi. Yang menjadi keanehannya, bau tu memang sama dengan bau deodoran yang aku guna. Tapi, aku memang tak pernah pakai kalau ada dalam bilik.

Lepas tu, bau wangian itu disusuli dengan satu suara...

Eeaaaaaa....

Eeaaaaaa....

Sayu, cukup menyeramkan aku. Rasanya, aku pengsan setelah dengar suara yang berada sangat dekat dengan telingaku itu. Sedar-sedar, dah pukul 10 pagi. Bangun pagi tu, barulah aku sedar, hanya ada dua orang sahaja yang mendiami arasa bawah blok asrama itu termasuk aku.

Februari 2010. Juga pada cuti perayaan Tahun Baru Cina. Jam hampir empat pagi. Kebosanan di hostel membuatkan aku mengajak seorang kawanku keluar ke Johor Bahru, merayau pada pagi-pagi buta itu. Menggunakan motosikal pinjam, aku berasa sedikit terganggu dengan keadaan lampu motosikal yang agak tinggi, biar pun lampu rendah dihidupkan. Aku mencadangkan kawanku agar berhenti di sebuah stesen minyak Petronas di Johor Bahru untuk membetulkan lampu itu.

Aku terperasan sesuatu, tidak jauh dari motosikal kami dan tempat kami berdiri. Aku dapat lihat satu 'benda' memakai baju seperti guni sedang berdiri, berpaling dari arah kami.

"Eh, dahlah. Aku rasa lampu ni memang tak dapat repairlah." Kataku kepada kawanku, mengajak dia balik, menyembunyikan keadaan yang sebenar. Sampai di kolej, barulah aku menceritakan hal yang sebenarnya.

Namun, perkara yang paing tak dapat aku lupakan ialah azan. Ada dua kejadian yang sama mengenai azan berlaku sepanjang umur hidupku. Pertama sekali di Labuan. Ketika itu, aku dan teman sebilikku sedang duduk di meja belajar, bersembang. Masih lagi awal untuk tidur, sekitar jam 11.20 malam. Teman sebilikku ini memiliki CD Player, dan pada malam itu, dia seperti biasa memainkan lagu-lagu dari pemain CD itu.

"Kau dengar tak tu Wandy?" Tanyaku padanya sambil memperlahankan bunyi yang keluar dari speaker.

"Azankan?" Aku bertanya lagi, untuk mengesahkan apa yang aku dengar.

"Takkan ada orang azan tengah-tengah malam macam ni. Suara budak kecik pulak tu."

Suara azan itu tidak terlalu kuat, sayup-sayup, mungkin agak jauh dari bilik tingkat bawah kami. Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya, siapakah yang mengalunkan azan pada waktu itu, dan selepas itu, tiada lagi azan yang kami dengar di luar waktu awal solat.

Kejadian kedua berlaku pada tahun 2007. Cuti Tahun Baru Cina. Aku dan beberapa orang teman sekolej melakukan aktiviti memanjat gunung di Negeri Sembilan, Gunung Datuk. Tiada kejadian aneh berlaku sepanjang pendakian gunung itu. Kejadian aneh hanya berlaku pada hari kedua, iaitu hari terakhir, di mana pada masa itu, aku dan teman-teman lain sedang mengambil gambar kenangan di atas gunung.

Cuping telingaku menangkap suatu bunyi. Azan. Yang menjadi keanehannya, siapa yang sedang mengalunkan azan pada jam 1140 pagi? Azan itu juga dapat didengari oleh beberapa orang kawan yang berada bersebelahan ketika sedang bergambar di kawasan perkhemahan gunung itu.

Sampai sekarang, kejadian-kejadian ini masih menjadi tanda tanya...


Bersambung....