Friday, October 22, 2010

Meninggalkanmu di Sini....

Takkan ada tempat selain di sini punya awan sebanyak ini....


Lampu kalimantang yang berada betul-betul di atas siling tempat katilnya diletakkan masih lagi menyala. Masih lagi belum mengantuk. Silau. Pewangi bilik yang digantung di atas siling dengan haruman peppermint berbentuk pokok bergerak-gerak ditiup angin dari luar bilik. Entah mengapa matanya sejak akhir - akhir ini agak degil, enggan lelap sehingga ke azan subuh. Termasuk hari semalam, sudah hampir tiga bulan dia masuk tidur selepas azan subuh.



Selimut yang menutupi badannya dialihkan ke tepi. Tingkap kembar berdaun dua biliknya sengaja dibiarkan terbuka sejak tengah hari tadi. Mengambil angin luar. Sejuk dan nyaman. Lengannya digosok-gosok. Mencari haba untuk memanaskan badan.

Jam kian hampir ke angka lima. Bunyi jarum saat terasa semakin lambat berdetik. Sekadar mengisi kesunyian malam yang hampir mencecah ke penghujung. Tiada lagi suara-suara jiran bilik sebelah bersembang. Yang ada cuma hanyalah bunyi ngiauan kucing mencari pasangan di malam hari. Kalau tidak pun, bunyi haiwan itu yang sedang kelaparan menyelongkar tong sampah mencari lebihan makanan yang dibuang penghuni blok. Mungkin, dia satu-satunya manusia yang masih lagi bangun mengisi malam yang berpenghuni dengan manusia-manusia yang sedang lena diulit mimpi.


Subuh. Ya. Itulah petanda kehadiran manusia kembali ke alam realiti. Dia suka mendengar azan subuh dan irama yang terbit semasa azan itu dilaungkan. Bunyi air paip dibuka, tanda seseorang sedang mengambil wuduk, bunyi motosikal atau kereta menuju ke masjid, cukup memberikan satu semangat baru untuk memulakan satu hari yang baru dalam lembaran hidup. Selalu, dalam keadaan yang sunyi. Itulah yang didengarinya.

Azan subuh memang unik. Satu ayat di barisan kedua terakhir membezakannya daripada waktu lain. Kadang-kadang, pernah juga dia berasa sayu sendiri apabila mendengar azan subuh. Entahlah, keadaan yang berkabus dan berembun, kadang-kadang membuatkan dirinya teringat kembali suasana di kampung. Di sana lebih tenang, tidak seperti di sini.

Di kampung, dia tidak perlu memikirkan masalah sebegini. Apa yang dia perlu risaukan ialah keselamatan rumah. Rumah keluarganya, tempat berkumpul kaum keluarganya sejak kematian nenek dan datuknya. Almaklumlah, dia sekarang ialah Man of the House. Orang yang diharapkan dalam keluarganya. Sejak abang keduanya berpindah keluar dari rumah itu, untuk membina penghidupan sendiri bersama anak dan isterinya, apa- apa yang berlaku, apa-apa masalah perlu diselesaikan olehnya. Segala urusan rumah, wajib diuruskan segera. Membaiki lampu, tv, kerusi, bagi kucing makan, membetulkan singki yang tersumbat, menghalau ular atau kala jengking, menjolok buah rambutan dan kutip buah durian, sebagainya. Belum lagi masuk memenuhi jemputan kenduri kahwin atau arwah.

Tapi, hakikatnya, dia di sini. Terlalu jauh di sini. Tergelak dia sendiri mengingatkan ayat itu. Iyalah, kalau boleh berjalan kaki, sudah lama dia berbuat sedemikian. Tapi, jaraknya jika hendak kembali ke kampung halamannya boleh membuatkan seseorang dimasukkan ke ICU kerana terlalu kepenatan. Kehilangan banyak darah dan air dalam badan. Masakan perjalanan ke rumahnya mengambil masa yang singkat.



Di luar, warna malam kian pekat, meski pun subuh hampir tiba. Mungkin, tak lama lagi, hujan lebat akan turun. Angin di luar semakin kuat. Menderu, menggegarkan atap genting blok asrama itu. Mujurlah angin bertiup kuat pada awal pagi itu. Bau cat yang baru disapu ke dinding blok ini amat menusuk, cukup membuatkan dia terbersin dan selesema. Mengikut Dr. Ismid(yang dipanggilnya sebagai Ismid Ulam Raja, watak saudagar tua yang kaya dalam filem Tiga Abdul P.Ramlee), pensyarah yang mengajar mereka dalam subjek pengurusan alam sekitar, angin yang kuat baik kerana segala bahan cemar akan dapat diterbangkan jauh keluar dari kawasan yang mengalami pencemaran udara yang teruk.

Ah, melalut pula ke situ! Dahinya dipicit sedikit. Agak pening mencium bau cat baru itu. Hurm, nampaknya, pagi ni tiadalah azan subuh kedengaran, bunyi angin yang kuat sudah cukup menghilangkan suara muazin dari surau. Kalau kedengaran pun, pasti akan berbalam-balam suaranya. Tenggelam dengan bunyi hujan, angin dan atap genting yang saling bertingkah menghasilkan bunyi bising, tetapi cukup selesa kerana suasana yang sejuk dan dingin. Hanyut dibuai mimpi.

Dalam suasana yang semakin sayu dengan bunyi hujan itu, dia keluar, berdiri di hadapan pintu besar blok, bersebelahan dengan bilik asramanya. Merenung lopak-lopak kecil di atas tanah yang mula digenangi air. Mujurlah tanah di situ bukan tanah gambut. Tidak becak jika basah disirami air hujan. Kalau tidak, sukarlah untuk berjalan kaki kalau hendak ke kelas.

Melihat lopak-lopak kecil di tanah, seolah-olah mengunjungi ke satu wilayah dalam hatinya. Berlubang dan berparut. Mereka, rakan-rakannya, mengakui bahawa dia seorang yang amat memendam rasa. Sukar untuk memahami niat dan firasatnya, meskipun sudah lebih empat tahun mereka bersama, setiap hari. Entahlah. Tidak banyak yang dapat mengetahui siapa dia yang sebenarnya. Mungkin dia juga pernah terluka, tapi siapa yang tahu. Tak pernah berkata apa-apa kepada mereka. Biarlah, mereka tak perlu tahu pasal hatinya. Lagi pun, tak perlulah mereka terbeban dengan semua masalahnya, dengan masalah mereka sendiri belum dapat mereka selesaikan. Masalah yang dia sendiri tidak mahu fikirkan, malas terbeban dengan perasaan sendiri.

Benarlah kata satu cerita.


Tin minuman ringan itu ditendang-tendang tanpa arah tujuan. Sekali sekala, anak kecil itu menyepaknya ke arah ayam-ayam yang sedang mengais cacing di tanah. Bertempiaran ayam-ayam itu lari menyelematkan diri.

“Adik, kenapa buat macam tu kat ayam-ayam kita? Nanti ayam tu luka macam mana?”

“Adik marah kat kawan adik. Tadi dia ambik pensel warna adik. Lepas tu adik tolak dia.”

“Adik, tak baik buat macam tu. Nah, kat sini ayah dah buat satu tiang.” Kata si ayah sambil memegang tiang setinggi bahunya itu.

“Cuba adik tanamkan paku pada tiang rumah setiap kali adik rasa marah.”

“Kenapa yah?” tanya anak kecil.

“Nanti ayah ceritakan.” Tersenyum dan mengelap renik-renik peluh di dahinya.

Si anak kecil itu pun mula memaku tiang yang ditanam si ayah di halaman rumah setiap kali ia berasa marah. Anak kecil kecil itu mula belajar untuk mengurangkan rasa marahnya kerana tiang setingginya itu hampir tiada ruang untuk dipaku lagi. Dan akhirnya, pada suatu hari, si anak itu tidak lagi memaku tiang itu.

“Sekarang ayah nak adik cabut semua paku pada tiang tu.” Lantas, si anak pun mencabut semua paku, meninggalkan tiang yang berlubang-lubang.

“Sekarang cuba adik tengok pada tiang tu. Walaupun paku dah dicabut, tapi lubang kesan paku tu masih ada.”

“Macam tu jugalah hati manusia. Walaupun kita sudah memaafkan kesalahan seseorang, tetapi pasti akan meninggalkan kesan di hatinya. Walaupun kita tak nampak. Mungkin, kalau adik paku lagi, tiang ni akan hancur, sama macam hati manusia. Hancur, dan kecewa.”



Dia termenung sendiri. Nafas yang dihembusnya berkabus dan berasap. Seperti menghembus asap rokok. Dia tidak pernah menyentuh rokok. Entah bagaimana seorang perokok menikmati malamnya seperti ini. Dalam lima meter dari tempat dia berdiri, sebatang tiang lampu neon di jalan raya berdiri teguh, cahayanya menerangi sehingga ke dalam blok kediamannya. Selang beberapa minit, lampu neon itu pasti akan terpadam. Mungkin mengalami kerosakan fius. Mungkin juga mengalami masalah bekalan elektrik. Ah, musim-musim sebegini. Selalu sahaja punya masalah elektrik. Sayu benar keadaan di masa itu. Dengan subuh yang dingin, dan lampu neon yang selalu terpadam, cukup untuk menggambarkan keadaan hati seorang yang bernama dia yang berdiri termanggu keseorangan di tepi pintu kaca itu.

Kawan-kawan sakit, kemalangan, bergaduh, ditahan polis, keluar malam dan banyak lagi. Semuanya menjadi kenangan yang tak akan dapat dilupakan bersama rakan-rakannya. Dengan masalah di kelas, konflik antara kawan-kawan, pasti yang lain akan turut terasa. Sudah seperti adik beradik kandung, meski pun berlainan ibu bapa, kaum dan juga agama. Di sini, dia mempunyai rakan-rakan beragama Islam, Kristian, Buddha, dan Hindu. Kaum? Terlalu banyak. Di kelasnya sahaja punya Melayu, India, Cina, Iban, Bidayuh, Kayan, Kadazan, Dusun, Bugis, Melanau, Jawa, Brunei, Lun Bawang. Pelbagai warna kulit, adat resam dan datang dari pelbagai ceruk tempat. Namun semuanya dilalui bersama.

Tapi, dia akui, dia bukanlah Naruto, Doraemon, atau Spiderman, punya kuasa ajaib untuk melindungi rakan-rakannya, tetapi sekurang-kurangnya cuba untuk melindungi kawan-kawan yang dikenali. Pengalaman itulah yang membesarkan dirinya dan rakan-rakannya selama di sini. Itulah prinsipnya.

Jaket tebal yang disarungkan ke tubuhnya dikemaskan. Angin yang menderu semakin mendinginkan suasana yang kelam itu. Udara sejuk yang tertampan di dadanya menyukarkan sedikit dia bernafas. Sudah lama dia tidak kedinginan seperti itu. Kali terakhir semasa di sekolah dulu. Bermandikan air hujan ketika sedang menunggu bas untuk balik ke rumah. Menggigil dan kebasahan ketika menaiki bas. Kenangan yang tak akan dilupakan, sepuluh tahun lalu, semasa di tingkatan satu.



Malam sebelumnya, dia termimpi. Menjerit meminta tolong. Entah apa kesusahannya sehingga dia meminta bantuan daripada kawan-kawannya. Tapi, tiada seorang pun rakannya datang membantu. Dia sedar, tak guna menjerit meminta pertolongan. Kerana semua kawannya telah berada jauh dari tempat dia berada. Semuanya telah berada jauh di kampung halaman masing-masing. Itulah yang ditakutinya selama itu. Berpisah dengan kawan-kawan yang selama itu menemani hidupnya. Namun dia sedar, saat itu akan tiba juga. Masanya akan datang, masa untuk membuat setiap langkah dan keputusan sendiri. Lambat atau sekejap, pasti akan tiba juga. Dan sesudah itu, sudah pasti, mereka yang bergelar sahabat, akan pasti mengucapkan selamat tinggal, meski pun hati tidak merelakan peristiwa yang dipanggil sebuah perpisahan.

AKU akui, tidak pernah melihat melihat wajah sahabat-sahabatku ketika bersalaman buat kali terakhir. Kerana aku tidak mahu menangis, aku juga tidak mahu bersedih. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Namun, kuredai jua perpisahan ini, kerana ia sudah dijanjikan oleh-NYA. Janji yang dipegang teguh, tanpa akan sekali-kali dimungkiri oleh-NYA.

Kawan-kawan, walaupun kita sudah jauh, tapi harap kita tak akan lupakan antara sama lain. Semoga persahabatan ini akan kekal sampai bila-bila. Meski pun jauh, doaku akan sentiasa menemanimu, mengiringi setiap langkah yang dilalui olehmu, sahabat. Haluan kita berbeza kini. Tapi sematkanlah dalam hati, kita pernah bersama.

Subuh sudah pun menjelma. Bangunlah sahabat. Mulakan hari barumu. Mungkin di saat kamu membaca tulisanku ini, kita sudah tidak lagi bersama, kuharap harimu akan sentiasa indah, seperti kenangan yang pernah kita lalui dulu.

Our memories will never fade…

Dedicated to all my friens in UTM, KML, schools, and whoever knows me…

Zizi, selamat ulang tahun kelahiran ke – 24 dalam tahun Islam… 9 Zulkaedah 1407H bersamaan 5 Julai 1987.

9 Zulkaedah 1431H – 17 Oktober 2010.

Tuesday, August 10, 2010

Puasa

Esok puasa, 1 Ramadan 1431 Hijrah.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Apa khabar? Harap korang sihat selalu. Bagi umat Islam, selamat berpuasa aku ucapkan kat semua, dan bagi kawan-kawan yang bukan beragama Islam, bolehlah join kita orang berpuasa bagi sesiapa yang nak jimatkan perbelanjaan dan nak diet tu. Puasa ni bagus untuk kesihatan, kerana perut mengurangkan fungsinya sebagai ejen pencernaannya dengan teratur. Kalau korang belajar biologi dulu, makanan yang dicernakan akan menghasilkan haba, yang mana korang akan berasa panas. Lain pula dalam keadaan berpuasa. kekurangan makanan dalam perut menyebabkan kurang haba terhasil, menyebabkan tubuh badan korang rasa sejuk. :)



Majlis bukak puasa family aku...mentekedarah tol...hahaha!

Cuba korang bayangkan, sembahyang terawih 20 rakaat berjemaah
27x20=?
Lepas tu puasa pulak=?

campur lagi dengan menahan nafsu korang yang ntah apa ntah tu=?
mengumpat, tengok awek seksi, tengok benda yang bukan-bukan, nafsu nak membeli, membazir pada hakikatnya,

malam Lailatulqadar lagi yg lebih baik daripada 1000 bulan=?

tadarus al quran, afdal khatamkan terus,

banyak pahala korang,

mintak keampunan dari mak bapak korang lagi= tak terkira pahala korang kat sini...
sembahyang sunat raya

bayangkan dalam masa sebulan, berapa banyak korang dapat pahala....

campur lagi korang bermaafan dengan keluarga, kawan-kawan, jiran tetangga,
bagi zakat fitrah

Sepupu sepapat aku.... gambar diambil pada tahun 1993


jemput orang datang kat rumah terbuka korang
yang penting duit raya...hehe(share la kat aku sikit...barang rm100..hehe)
kan ke banyak pahala tu...huhu


Tahun ni 2010, dan tahun ni merupakan kali kelima aku berpuasa tanpa ada keluarga di sisi. Em. Dan lima tahun jugak aku tak pergi sembahyang terawih dengan abah aku. Sedihnya....
Belum lagi bab raya!



Abah dan mak....
:'(


kena tolak pahala aku sebab buat mak abah sedih pagi raya...
:'(

kalau nak mintak ampun tu, ciumlah dahi antara kening dan pipi orang tua, sebab itulah yang disarankan Nabi....

Malam raya 2007 siap beraya kat balai polis dengan sepupu aku lagi...hahaha....kenangan sebagai student~~



Anyway, pada mereka yang akan menyambut awal puasa ni bersama keluarga di kampung halaman masing-masing, berhati-hati di jalan raya, tak pun berhati-hati dalam ktm ke, lrt ke, flight ke, kapal laut ke...hehehe...
ingatlah orang yang tersayang....
:)





tak tau nak letak tajuk ape...

Sekarang ni aku kat lab....
tunggu lecturer aku tu...adoi....lambatnya dia nak sampai....
urm...
kalau korang nak tau, gambar yang kat header atas tu diambil pada hari raya pada tahun 1993, masa tu aku baru je umo 6 tahun...haha...
aku rasa korang tau kot aku yang mana 1...hehe
btw, abang aku no 2 je yang xde dalam gmba tu sebab dia yang amik gambar masa tu...
:)
btw, selamat berpuasa!

Monday, July 19, 2010

Perkara Yang Buat Aku Keras Hati, Bengang dan Panas Hati

1. Ada 2 org kacau privasi facebook aku. Suka hati dia je letak gambar aku lam page dia, kang aku mintak royalti merangkak nak bayar.

2. Ada sorang budak suka hati kepala dia je sumpah seranah orang. Bukan setakat aku, malah orang lain pun dia kutuk dalam facebook, padahal orang tu bukan friend dia dalam fb dia pun. Kita orang tak kaco ko, ko pesal? Siap post link profile orang tu dalam page dia lagi. Giler.

3. Tangan kiri aku berdarah dan mata kanan aku lebam tetiba.

4. Ada orang tipu aku!(sebab dirahsiakan).

5. Melayan kerenah orang tak reti bahasa sepanjang minggu ni. Ada 2 orang. Sorang suruh aku komen status dia, sorang lagi suruh komen gambar dia. lepas tu aku cakap la, please tengok benda ni, nak tau apa dia cakap, sory, tengah busy. Pergi mampus la ko sama ko punya busy!

6. Ada orang ni, dulu bukan main manis mulut, kalau boleh tak nak pijak tanah pun, takut pijak bakteria, kang bakteria tanah tu mati nanti! Lepas tu, kalau dah tak perlukan kita, dia blah, SMS ke, call ke, langsung tak nak jawab. Aku ni manusia baik hati, aku tahan je la. Tapi sekarang ni aku keras hati. Kau call atau SMS haram aku nak reply

7. Orang rumah sebelah aku! bawak kereta HILUX dia macam nak pegi racing kat litar Sepang, padahal jalan kampung je, bukan berturap pun! Macam sial je bawak kereta besar dia tu. Adik pempuan aku nyaris nak kena langgar dengan orang yang mengaku CIKGU tu. Setahu aku, cikgu ni berbudi bahasa. Ni mintak maaf pun haram! Dahlah sesuka hati langgar anak kucing orang. Apatah lagi nak ganti. Baru tinggal kat kampung orang baru 2 3 taun dah nak menyombong.

8. Pun pasal jiran sebelah rumah aku ni jugak. Kali ni pasal anak dia pulak. Motosikal, pergh... punya bising, dahlah setiap kali lalu kat belakang rumah aku tu, dia sengaja pulak berenti, siap press minyak lagi. Pukul 1 2 pagi pulak tu. Sapa tak bengang! Menunjuk ke hape?

9. Keras hati. Sebab "orang" tu, kalau aku tak layan, dia merajuk dan marah kat aku. Kalau aku tegur tapi dia tak nak layan, ada ke aku nak merajuk? Sekarang baru ko tau macam mana aku merajuk!


10. Sebab utama, aku rindukan seseorang. Tu yang paling aku bengang sekali. Aku keraskan hati aku untuk lupakan dia, tapi makin ingat pulak
:(


note. aku ni memang keras hati...kalau dah marah kat seseorang tu, kalau tak bertegur setahun dua tu memang normallah..


Sunday, July 18, 2010

Bukan Maksudku...




Debu merah berterbangan di aspal konkrit hadapan rumahku. Siapa lagi, kalau bukan anak-anak kucingku yang sedang riang bergurau sesama sendiri. Tiga ekor kesemuanya. Dua putih, seekor lagi hitam. Aku hanya menoleh sekali sekala tingkah laku haiwan peliharaanku itu bermain.

Aku duduk di atas bangku panjang. Letaknya di sebelah pintu depan rumah. Bergoyang-goyang, sekali sekala berkeriut apabila digerakkan. Uzur. Suasana pada jam enam yang agak klasik bagiku itu, kuluangkan untuk memandang ke luar pemandangan alam di hadapan rumah batu ini. Sudah agak lama juga aku tidak menghabiskan masa duduk di atas bangku ini.

Rumah. 22 tahun sudah usianya. Didiami sedari tahun 1988, tatkala aku baru menjengah usia enam bulan. Di sinilah tempat aku membesar, bermain dan belajar. Kahwin? Cuma ada tiga buah perkahwinan pernah berlangsung d teratak ini. Yang pasti, bukan aku. Di rumah ini, terlalu banyak kenangan pahit manisku. Tak mampu terbilang dengan angka. Yang pasti, hari-hari lalu tak mungkin akan kembali lagi. Semuanya akan sentiasa menjadi titik-titik kenangan yang akan sentiasa memberikan corak-corak abstrak kekal berwarna dalam kotak hatiku.

Angin sekadar membadai perlahan. Menggugurkan daun-daun kering dari pokok rambutan yang tumbuh rendang di tepi rumahku. Bunyinya mengetuk-ngetuk sepi atap rumahku. Aku memandang ke atas. Awan-awan putih kumulus berarak perlahan di atas langit. Teringat pula mata pelajaran Geografi, mata pelajaran kegemaranku di sekolah menengah. Awan kumulus, kumulonimbus. Jenis-jenis awan yang terbentuk secara semuajadi dengan faktor angin dan cuaca sekitar. Semasa di tingkatan dua, Puan Martine ditugaskan untuk mengajar Geografi kelas kami. Terhibur juga perasaanku melihat gelagat rakan-rakanku berebut meminjam kertas jawapan peperiksaan subjek itu, setiap kali tamat ujian Geografi. Hampir sahaja lunyai dikerjakan mereka. Bermacam-macam reaksi wajah mereka, terkadang membuatkan aku sering sahaja tertanya sendiri.

23 tahun usiaku pada ketika aku menulis blog ini. Dalam tiga empat hari ni, aku terkesan sesuatu. Hatiku berasa sesuatu. Entah kenapa, aku terasa sedih dan tertekan. Aku marah pada sesuatu yang aku sendiri pun tak pernah pasti.

Surah Al-Imran ayat 139

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.


Semalam hujan. Serasanya alam faham dengan keadaan aku sekarang. Hatiku turut sama dibasahkan dengan perasaan ini. Suara katak di dalam semak sayup-sayup kedengaran, sama seperti jeritan hatiku yang tak akan pernah didengari sesiapa. Kadang-kadang, aku sendiri tak pernah faham, kenapa perlu aku diletakkan pada tempat ini. Seorang, muda, dan masih belum punya kekuatan untuk menghadapi semuanya.

Surah Al-Baqarah ayat 286

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Entah kenapa, di saat aku menulis blog ini, aku berasa amat sedih. Ya Allah, aku menangis sendiri…

Aku, seorang. Keluargaku turut bersama, di samping kawan-kawan rapatku, yang mereka telah aku anggap seperti saudaraku sendiri. Meskipun ada antara mereka tidak seagama dan sama kaum denganku, tapi aku amat menyayangi mereka.

Namun, aku keraskan hatiku. Dan apabila sudah keras, tak akan pernah dapat dilembutkan lagi. Biarlah apa pun, aku tetap aku. Aku akan beranikan diriku, kerana aku tahu, yang akhirnya aku akan seorang diri juga menempuh hakikat ini.

Di sini

Di ketika ini

Bila tiba saatnya

Tuhan… berikanlah aku peluang…

Bulan sudah terlukis di sebelah timur kampungku. Semakin tinggi, nampaknya dari hujung pucuk pohon rambutan itu. Aku masuk ke rumah, berharap agar aku dapat meluangkan masa seperti ini lagi. Berharap agar langit petang esok juga akan berwarna perak seperti hari ini.


Gambar ini tidak diedit


Zizi, Selamat ulang tahun ke 23....semoga segalanya akan mendewasakanmu....

Ps: buat sahabat semua, aku tau korang selalu susah hati aku, terutamanya sejak awal tahun ni. Sorrylah…huhu harap jangan susah hati k, aku sihat saja kat sini, alhamdulillah, semoga korang kat sana sukses selalu k…keep in touch…

Ketika entri ini dimuatnaik, kucing hitam aku telah mati dilanggar, manakala seekor kucing putih telah hilang. Huhu

:D

Wednesday, May 26, 2010

Deactivating my facebook...

Inilah entri yang paling pendek dalam blog aku...

Deactivating my account, 12.oo am, Thursday, May 27, 2010.

Goodbye my friends... I'll be seeing u, again...

Monday, May 17, 2010

Inilah Kampungku...




Permulaan Tanah Sarawak, Tanjung Datu, Lundu, Sarawak
Gambar dari atas pesawat
Sila klik untuk besarkan


Mei 16, 2010

Sakit kepala aku, asyik tidur je sepanjang hari. Entah bilalah nak siapkan kerja-kerja aku yang dah lama aku tinggalkan semenjak bulan April lepas. Kerja? Haha, adalah, yang pasti, dijamin halal dan tak mendatangkan kesan-kesan negatif pada orang di sekeliling aku. Korang semua tunggu la ye hasil kerja aku, InsyaAllah, aku akan kongsikan kat korang. Hahax :p

Mungkin korang pernah baca entri aku yang sebelum ni, tajuk dia, Sepanjang 22 Tahun Yang Lalu,

http://adzeezy.blog.friendster.com/2009/07/sepanjang-22-tahun-yang-lalu/

dekat Friendster’s Blog(posted on July 10, 2009), atau

http://legendabudakawam.blogspot.com/2010/04/sepanjang-22-tahun-yang-lalu-posted-on.html

dalam blogspot aku ni. Dalam blog ni, aku ceritakan tentang hidup aku. Tapi aku tak pernah cerita kat korang macam mana aku hidup sebagai budak kampung. Betul tak?

Kat kampung aku ni, orang kenal aku dengan nama Abang. Kawan sekelas, senior dan junior sekolah rendah dan menengah, matriks atau pun di UTM semua panggil aku nama ni. Heee…. Rasa macam taiko seh! Zizi pulak, nama yang digunakan di kalangan ahli keluarga aku, ada jugak kawan aku panggil nama ni, tapi tak banyaklah. Haha. Dzul, Zul, Adz, Ag dan yang sewaktu dengannya? Hurm, kawan-kawan dalam Facebook, Friendster dan YM je yang panggil nama ni kat aku.

Dipendekkan ceritalah, nama panggilan aku....

92%- Abang, 7%- Zizi, 1%- Dzul, Zul dan Ag

Siap buat statistik ...haha

YM aku: azeezy_fiizzy@yahoo.com

Sila klik untuk besarkan


Kalaulah disoal tentang makanan ni, aku mengakulah yang aku ni agak memilih sikit, tapi, kalau ulam, tak aku akan tolak punya. Ulam raja, pegaga, pucuk ubi, pucuk paku, jantung pisang, dan bermacam lagi ulam-ulaman kampung aku suka makan. Cecah dengan sambal belacan, peh... kecur air liur dibuatnya. Tambah pulak dengan nasi panas. Tempoyak? Yarabbi. Jangan Cakaplah. Mak mentua lalu kat depan pun tak sedar(macamlah dah kahwin, hehe). Tapi tulah antara makanan kegemaran aku. Awet mudalah makan ulam(ada nampak muda tak aku ni? Haha). Badan pun sihat. insyaAllah, umur pun panjang. Cuma sekarang je aku terpaksa kurangkan makan makanan yang berasaskan belacan dan yang pedas-pedas, sebab tak tahan sakit perut. Sakit ulu hati. Adoyai!

Ulam raja

Sila klik untuk besarkan


Oh! Lupa… nama kampung aku ni Kampung Pangkalan Kuap Melayu. Terletak pada latitud: 1.43U dan longitud: 110.37T, dan altitud: 27 meter dari aras laut. Rumah aku pulak pada titik 1.43U dan 110.35T. Jarak jalan raya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, LTAK pula adalah 9.28 km, yang mengambil masa kira-kira 10 minit menggunakan kenderaan. Kampung aku ni hampir-hampir berada di sempadan Bahagian Kuching dan Samarahan. Dan kalau nak diikutkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, kampung aku ni terletak dalam bahagian Samarahan. Maksudnya, waktu solat pun kitorang boleh ikut mana-mana zon solat. Bukak puasa pun sama, tapi biasanya ikut waktu Kuchinglah, sebab radio selalunya azan ikut bahagian Kuching.





Kampungku di Google Earth!
Sila klik untuk besarkan

Hidup sebagai budak kampung, terutamanya zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling indah. Kotor kena tanah? Dah biasa dah. Mak pun selalu marah-marah. Yelah, siapalah lagi nak cuci baju kalau bukan mak. Aku? Aku kecik lagi, manalah tau cuci baju ni. Dibagi sabun, dah abis dah aku campur dengan air lepas tu tiup dengan straw. Maka mainlah aku dengan buih sabun.

Mak dan abah pun satu jugak. Suka sangat belikan aku baju warna putih. Ninja Turtlelah, Power Rangerslah, dan lain-lain watak kartun yang popular sekitar tahun 1993 sehingga 1997. Kalaulah yang tengah baca entri aku dalam umur 22 keatas mungkin ingat kot. Susah nak hilangkan kesan tanah kalau main rendam dengan serbuk pencuci. Tak pasal-pasal baju semua kena sental. Orang Sarawak panggil serbuk pencuci ni sebagai omo. Cuma dah besar-besar manusia macam ni tak dah kotor lagi, yela, takkan dah besar panjang macam ni pun nak main tanah. Adoyai!

Baju Ninja Turtle

Sila klik untuk besarkan


Kena lumpur? Biasa. Jatuh dalam longkang masa main lompat-lompat? Biasa jugaklah. Kiranya, dah cukup dan lengkaplah dah syarat nak jadi budak kampung ni. Petang-petang pulak, balik dari sekolah, kebiasaannya aku dan adik perempuan aku yang muda empat tahun tu akan ke masjid kampung kat seberang sungai untuk belajar mengaji. Main kat tepi sungai lepas balik mengaji? Taklah selalu, tapi bolehlah. Mak dan abah bukan suruh pun mandi sungai. Kang tak pasal-pasal balik rumah kena pelangkung. Nak dijadikan cerita, cikgu yang kita orang tu belajar mengaji tu meninggal masa kita orang tengah belajar dengan dia...ish-ish... Sama macam filem Pendekar Bujang Lapok dah. Al fatihah...

Al Quran Al Karim

Sila klik untuk besarkan


Kampung aku ni taklah kampung sangat. Kemudahan asas macam masjid, balai raya, telefon awam dan rumah, jaringan internet, sekolah dan macam-macam lagi. Perpustakaan atau nama saintifiknya, khutub khanah saja yang tak ada. Belum ada dalam perancangan lagi kot. Kampung aku ni kecil je, kalau masih ingat dalam geografilah, kampung aku ni bolehlah dikategorikan sebagai kampung jajaran, sebelum menjadi kampung berselerak. Mungkin korang tak faham kot. Kampung jajaran ni kampung yang dibina berjajaran dengan jalan raya atau sungai. Kampung selerak pula rumah penduduknya tidak tersusun, ikut tanah masing-masing.

Bukan kat kampung aku..haha

Sila klik untuk besarkan

Tak ada sawah padi di kampung kami kerana keluasan yang tidak begitu besar. Di Sarawak, sawah padi disebut sebagai huma.

Beras huma(warna perang)
Sila klik untuk besarkan

Kalau dalam geografi, padi huma ialah padi bukit. Tapi entahlah, padi huma orang Sarawak tak semua ada kat atas bukit. Yang bezanya dengan padi sawah ialah padi huma ni tak berair, tak macam di sawah bendang.


Nasi huma

Sila klik untuk besarkan


Di kampung aku yang agak kecil ni, penduduknya kebanyakkan menyara kehidupan mereka dengan bekerja di sektor kerajaan dan swasta; perkilangan, perkhidmatan dan lain-lain. Cuma sebilangan kecil sahaja yang masih bergantung kepada hasil bumi iaitu pertanian. Sayur-sayuran, lada hitam dan kerja menangkap ikan adalah hasil sekunder yang menyumbang kepada sumber mata pencarian di kampung kami.







Persandingan kakak aku, 27 September 2009
Sila klik untuk besarkan


Bila kenduri pulak, akan ada satu kumpulan yang dipanggil Saberkas, Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak. Kumpulan ni akan membantu keluarga yang buat kenduri, macam kenduri kahwin, kenduri arwah, doa selamat. Memasak, menghidang, cuci pinggan mangkuk, semuanyalah. Bayaran? Tak tahulah. Tak mahal, sebab kumpulan ni lebih mementingkan konsep tolong menolong dalam melakukan sesuatu kerja. Ada jugaklah kaum keluarga yang datang menolong, Cuma dengan adanya kumpulan ni, ringanlah sikit beban kerja diorang.


Kenduri kahwin kakak aku

Sila klik untuk besarkan


Masakan?Ayam masak merah, umbut kelapa, daging masak hitam, keceni nanas(aku ada tanya dengan orang, tapi ada gak tak tau, huhu).


Persandingan kakak aku, 27 September 2009

Sila klik untuk besarkan


Biasalah, meriah bukan main lagi. Kalau kenduri kahwin, memang bising dengan bunyi karaoke malam sebelum bersanding. Waktu pengantin lelaki datang pulak, kebiasaannya dua das tembakan akan dilepaskan ke udara bagi menandakan ketibaan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan. Kalau di semenanjung, penanda rumah pengantin selalunya ialah bunga manggar dan kertas tertulis nama pengantin. Kat Sarawak pulak selalunya rumah pengantin akan ditanda menggunakan bendera Malaysia(Jalur Gemilang) dan bendera Sarawak. Pariotik beb! Pengantin lelaki bagaikan pahlawan! Cewah!



Yo geng! Aku nak bawak korang rileks kat tepi sungai, jom!

Wah! Masih macam dulu sungai ni. Cuma dulu lebih meriah. Banyak kanak-kanak mandi kat sungai. Sekarang ni macam dah agak sunyi dah. Mungkin sungai dah semakin deras kot. Banyak jugak budak yang takut mandi sungai sekarang ni. Sungai kampung aku ni, Sungai Kuap, antara salah satu sungai yang telah digazetkan oleh kerajaan negeri. Jadi, sungai ni kira antara sungai yang paling bersih di Sarawak dan di Malaysia. Nasib baiklah penduduk kampung aku yang tinggal kat tepi sungai tak pernah buang sampah ke dalam sungai. Mungkin dah sedar dari awal kot kepentingan sungai untuk generasi masa depan. Wow!


Sungai Kuap

Sila klik untuk besarkan


Masa kecik-kecik dulu, aku, kakak dan adik aku suka main-main kat bawah pokok jambu yang tumbuh di tepi rumah. Entahlah kenapa suka gila kat bawah pokok jambu yang rasanya memang dah nazak gila dah. Sambil main-main tu, kitorang tengoklah pokok tu dah berbuah ke tak. Takut pulak kena curi dengan budak kampung. Tak lupa juga kenangan memanjat pokok rambutan. Rumah aku tu, walaupun dekat hujung kampung, tapi banyak jugak orang lalu lalang kat depan rumah. Selalunya yang lalu lalang tu orang kampung yang pergi mengutip pucuk paku dan rebung kat belukar tak jauh dari rumah kitorang. Kalau tak pun buah cempedak yang tumbuh dalam hutan. Kalau budak-budak pulak, mereka selalunya akan pergi ke kolam di belakang rumah aku. Cantik la jugak, ada banyak ikan, bunga orkid liar, warna dia putih campur ungu, dan bukit kuning(tanah dia warna merah campur kuning). Aku pun selalu ke sana sebab nak ambil bunga orkid tu. Lepas tu cuba nak daki bukit yang licin tu. Tapi tak sekali pun dapat, sebab curam sangat. Haha.

Sayangnya, kolam tu sedang mengalami eutrofikasi(eutrophication). Eutrofikasi ni ialah proses penuaan sungai, tasik atau kolam dan proses ini adalah semulajadi yang memakan masa ratusan juta tahun, bergantung kepada saiz. Kejadian ini terjadi akibat daripada pengumpulan organisma mati di dasar air. Lama kelamaan, sungai, tasik, atau kolam akan menjadi cetek, dan lama kelamaannya akan terkambus sepenuhnya. Sekarang ni pun dah banyak lalang dalam kolam yang rasanya lebih tinggi dari aku. Orang kampung tak lagi memancing di kolam tu. Teringat lagi aku ketika mengikut abah aku memancing ikan masa aku berumur 5 atau 6 tahun. Ada dalam 5 ekor kesemuanya, ikan keli dan toman.




Burung butbut
Sila klik untuk besarkan


Bangun awal pagi, siap-siap nak pergi sekolah. Tetiba dengar bunyi…

Krikkkkkkk…krikkkkkkk

Bunyi cengkerik di awal pagi. Wah! Kat bandar mana ada bunyi cengkerik. Seronok jugak. Dalam pukul 11 pagi pulak, bunyi unggas hutan. Ngengggg... Panjang bunyinya. Tak tahulah macam mana nak describe bunyi tu. Tapi lebih kuranglah. Kalau siapa-siapa yang duduk di kampung atau yang pernah masuk hutan aku rasa tahu kot macam mana bunyi unggas tu. Kalau tak pun bunyi burung butbut. Burung ni warna hitam, dan bersayap coklat. Lebih besar daripada burung gagak. Bunyinya, but…butbut, but.. lebih kuranglah. Mak aku cakap, burung ni suka panas dan selalu berbunyi kalau hari mendung. Katanya, ikut cerita orang-orang dulu, burung ni sedang memanggil matahari keluar, supaya bulu di bahagian buntutnya yang basah cepat kering. Dan ada satu lagi jenis burung, tapi kitorang tak tahu nama burung ni dan tak pernah tengok. Hari tu baca satu cerita rakyat barulah aku tau nama burung ni. Namanya burung qaf wau. Bunyi dia? Macam mana namanya, itulah bunyinya. Haha.

Berdasarkan cerita dongeng rakyat Sarawak, adalah seorang budak lelaki ni. Dia ni budak yang tak pandai. Mak dan ayah pergilah hantar dia mengaji dengan seorang guru agama di kampungnya. Nak dijadikan cerita, rakan-rakannya semua dah habis muqaddam, hanya dia seorang yang masih belajar alif, ba, ta. Dan hanya dua huruf sahaja dia tahu baca dan sebut iaitu qaf dan wau. Cikgu dia yang bengang dengan anak murid dia ni pun marah menyebabkan budak ni merajuk dan lari ke dalam hutan. Lama kelamaan, budak ni menjadi seekor burung dan selalu mengeluarkan bunyi qaf wau, qaf wau.




Kura-kura
Sila klik untuk besarkan

Kampung aku selalunya akan hujan di waktu petang. Kalau dah hujan tu, duduk di rumah sajalah. Rumah aku ni kat kaki bukit, tapi tak pernahlah banjir setakat ni, alhamdulillah. Senang hati aku. Waktu hujan pulak, selalunya akan ada haiwan comel yang akan datang kat rumah. Kura-kura! Haha. Selalunya abah akan menyimpan kura-kura yang naik tu dalam tempayan untuk beberapa hari sebelum dilepaskan kat kolam belakang rumah. Lepas hujan pulak ada binatang lain. Burung wak wak. Burung yang berwarna hitam putih ni selalunya akan muncul kat depan rumah aku sambil bawak anak-anaknya yang berbulu hitam mencari makanan. Pemalu betul burung ni. Tengok ada benda bergerak mesti akan lari lintang pukang.





Klebar aka Kelkatu
Sila klik untuk besarkan

Senja ke malam, selepas hujan pada waktu petang. Haiwan lain pulak yang datang. Kelkatu atau dalam bahasa Sarawaknya, klebar. Suka sangat terbang kat lampu. Masuk dalam rumah pulak tu. Last sekali tutup semua lampu, lampu kat luar rumah sahaja hidup. Dalam rumah pulak pasang lilin. Kalau ada yang hinggap pun semua akan mati, terjun dalam air yang diisi di dalam besen untuk menempatkan lilin. Lepas tu, barulah boleh makan, kalau tak, tak senang duduklah, asyik nak mengelak sang kelkatu yang jatuh ke dalam pinggan nasi.



Kelip-kelip
Sila klik untuk besarkan


Kalau petang tak hujan, malamnya kat tepi jalan mesti ada kelip-kelip atau kunang-kunang, weee....seronoknya tengok serangga tu ada lampu . Tutup lampu picit, pastu mesti ada banyak yang keluar, hinggap kat kepala, badan, kaki. Hehe. Kadang-kadang, ada jugak kelip-kelip ni masuk rumah kitorang, kadang-kadang kat dapur, beranda rumah, tapi selalunya kat ruang tamu.




Kumbang Ladybird
Sila klik untuk besarkan


Sebelum Maghrib, mak selalu suruh aku ambik daun pandan. Buat letak dalam periuk nasi, nak kasi wangi katanya. Tengah tarik dan koyak daun pandan tu, tiba-tiba jumpa pulak sejenis kumbang, yang warna jingga bintik hitam, atau ladybird. Haha. Apa lagi, sebelum terbang, tangkap dulu, lepas tu kasi ladybird tu jalan kat atas tapak tangan. hehe. Geli, sebab kaki ladybird ni melekat sikit, macam ada gam.




Senja di kampungku(tepi rumah aku)
Sila klik untuk besarkan

Lepas makan, biasanya kitorang akan tengok tv. Tengoklah, cerita P. Ramlee ke, apa ke, haha.

Pukul 1. Siaran tv dah abis, mata pun dah ngantuk, lampu kena tutup, membazir dibiar hidup. Untuk hari ni, kita tidur dulu. Esok kita jalan-jalan lagi ok? Lupa pulak, kalau korang rasa kampung korang best jugak, korang tulislah pasal kampung korang pulak ok? Mana tau kita boleh jalan-jalan kat kampung korang jugak. Bye!