Friday, April 23, 2010

Surat untuk Damai Bintang di Syurga


Sepanjang 22 Tahun Yang Lalu
Posted on July 10, 2009 by adzeezy.
Categories: Uncategorized.
Source: http://adzeezy.blog.friendster.com/


Hari itu memang indah seperti kebiasaannya. Tenang, ditemani sedikit kicauan sang mergastua, menyanyi riang, memuji kebesaran Allah SWT, pencipta alam semesta indah ini. Namun, hari itu, kurasakan begitu tenang, tiada bunyi bising seperti hari hari yang sudah di kolej kediamanku di UTM ini. Pagi itu aku mandi dengan tenang, tanpa ada ketukan di pintu bilik mandi yang berwarna coklat kehijauan itu. Tiada bunyi jiran-jiran di bilik bersebelahan denganku berebut bilik air sebelum ke kelas. Tiada bunyi motosikal, kereta atau bas yang lalu, dan juga suara-suara mak cik-mak cik cleaner bersembang sambil menyapu dan membersihkan blok kediamanku ini. Yang ada hanyalah senyap. Senyap. Teman aku di hari yang masih muda itu hanyalah desiran bayu pagi yang meniupi pelepah-pelepah tua kelapa dan dahan pohon merendang yang masih setia berdiri, penghias jalan-jalan di kampus induk UTM Skudai yang berusia hampir 40 tahun ini.

Segera aku berlalu dari bilik air yang aku kugunakan sedari dua tahun lepas, sudah faham benar aku akan masalah ruang kecil itu, baik dari segi tempat mandi, tandas, lampu mahu pun sinki yang sering menjadi keluhan kawan-kawan bilik sebelahku, jika ada sesuatu yang rosak dan lambat diperbaiki.
Sunyi benar hari itu. Hari yang muda itu belum lagi menampakkan sinar sang surianya, seolah-olah, sang awan enggan membenarkan indah cahaya suria melimpah ke alam manusia, terangi pagi itu. Namun, sinar suria yang diserakkan di balik awan itu terlalu indah, buat kali pertama, aku, terdiam sendiri, terpaku, sambil lirik mataku mencari-cari kelibat manusia yang turut sama denganku, menikmati indahnya alam pada pagi itu. Namun kuhampa, kerana tiada siapa yang berkongsi pemandangan itu denganku. Meskipun hari kian cerah, namun, ada sebutir bintang yang masih kelihatan di langit selatan semanjung ini yang jatuh di sebelah timur mega merah mentari. Tidaklah terlalu cerah cahayanya, namun cahayanya cukup mendamaikan di pagi itu. Bintang itu selalu benar menemaniku setiap pagi, namun, sudah sebulan lamanya, bintang itu hilang dari setiap pagiku. Bintang kecil yang kunamakan sebagai Bintang Damai Pagi, kerana cahayanya mendamaikan perasaanku, mententeramkan perasaan hatiku, mengubati kerinduanku pada mereka yang jauh dari hidupku.
Seolah-olah tiada langsung makhluk bernama manusia di bumi UTM ini melainkan aku, dan hanya aku sahaja.

Dari balik jendela yang kukuak sedikit, desir bayu pagi segera menyapa lembut wajahku, seperti mengucapkan salam buatku. Di luar sana, kulihat sedikit daun-daun tua gugur ditiup angin pagi, meninggalkan kesan tona warna yang berbeza di atas rumput yang meliar hijau di luar bilikku. Ingin sekali kuberlari ke luar sana, ‘membasahi’ diriku dengan ‘hujan daun dan embun pagi’ seperti yang pernah aku rasai sewaktu kecil-kecil dahulu. Sungguh, kenangan itu buat aku tersenyum di luar sedarku. Kucapai sehelai daun tua yang gugur mengenai jendela bilik kecilku, kuletak di telapak tanganku, kulihat, dan dalam senyumku, air mataku jatuh menitis, mengalir, perlahan, lahir jauh dari sudut hatiku yang paling dalam.

Kenangan lalu cukup buat aku teringat akan seseorang, lantas, kucapai telefon bimbitku, ingin sekali kuberbual dengan dengan seseorang tapi pantas dijawab di hujung talian,
‘Harap maaf. Baki kredit akaun Hotlink anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan ini. Sila tambah jumlah untuk membuat panggilan selanjutnya, terima kasih…. tut, tut, tut….’



12 tahun dahulu…
Sudah menjadi rutin emak lebih dari 20 tahun yang lalu, sedari abangku yang sulung memasuki alam persekolahan, sampailah aku dan adikku yang bongsu, supaya bangun, untuk ke sekolah. Seperti kebanyakkan anak- anak kecil yang lain, aku memang jenis yang agak liat bangun awal pagi. Emak aku apalah lagi, diambilnya gayung berisi air, terus disimbah ke mukaku, jalan terakhir untuk aku terus bingkas ke bilik air. Manja jugalah aku masa itu, apa tidaknya, sampai darjah lima emak menyiapkan sebaldi air panas buatku untuk mandi pagi, memakaikan aku dengan baju sekolah, lengkap dengan rambut disikatkan oleh mak. Sungguh mak memang sabar melayan kerenah aku yang agak manja sepanjang aku masih di sekolah rendah, tanpa pernah ada rungutan yang terbit dari bibir milik wanita yang hampir separuh umur itu.
“Mak, mana air mak?”
“Ai, lupalah tu, kan hari ni kita puasa, kan pagi tadi kita sahur sama-sama…tak ingat eh?”
Oh…puasa rupanya hari tu…

Dan sepanjang hari di bulan Ramadan tahun itu, yang ketika itu, aku darjah empat, aku akan pergi sekolah dengan perut kosong, namun, tak pernah pula aku berasa kelaparan, mungkin berkat doa abah dan mak yang tak sanggup melihat anak-anak mereka berasa kelaparan dalam menjalani ibadah yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas umat Muhammad, memenuhi tuntutan rukun Islam yang ketiga, dimakbulkan oleh-Nya.
Di sekolah, Ustazah Ramzan, sering mengingatkan kami agar sentiasa menjaga puasa. Mungkin juga, disebabkan bulan puasa, kelas kami agak senyap. Keadaan yang tidak normal itu amat disenangi oleh cikgu sekolah, kerana kelas kami sangat dikenali dengan kenakalan yang amat sukar dikawal. Guru kelas kami ketika berada di Tahun Empat sering sahaja bertukar ganti lantaran tidak sanggup menjaga kelas yang dianggap The Class of the Century, kerana tiada lagi kelas senakal kami pernah ada di sekolah yang mempunyai dua aliran bahasa pengantar itu, Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin.
Semua aktiviti luar, terutama sekali Pendidikan Jasmani atau PJ dibatalkan. Aku bukanlah seorang pelajar sekolah yang suka PJ. Bukanlah aku seorang yang tak suka bersukan, tapi aku adalah seorang yang lebih suka bermain pemainan kampung, yang jauh lebih mencabar daripada permainan melambung pundi-pundi berwarna warni berisi kacang hijau yang sering kali disuruh oleh cikgu sekolah. Hanya Cikgu Sarbini guru mata pelajaran PJ yang paling aku gemari kerana sering mengajar kami permainan baru antaranya tarik tali. Namun, Cikgu Sarbini adalah seorang guru yang garang, sering kali aku didenda kerana lupa membawa baju PJ, membuatkan aku selalu sahaja diam ketika berada di dalam kelasnya. Raut wajahnya yang tak pernah sekali tersenyum menambahkan rasa gerunku padanya. Dia juga merupakan guru mata pelajaran Matematik, sudahlah aku adalah seorang pelajar yang lemah dalam sifir, membuatkan aku sering menjadi sasarannya di dalam kelas. Bukan aku sahaja, tetapi semua kawan sekelasku akan mendiamkan diri sebaik sahaja Cikgu Sarbini menjejakkan kaki ke dalam kelas Ilmu Hisab kami. Cikgu Sarbini merupakan guru yang paling lama mengajar kelas kami, sejak dari Tahun 2 sehinggalah Tahun 6, dan hanya dalam kelasnya sahaja kami berdisiplin.
Walaupun berpuasa, tetapi naluri seorang ibu tidak akan pernah untuk terlepas daripada perasaan bimbang terhadap anak kecilnya. Mak, juga tak pernah untuk terlepas daripada perasaan itu terhadapku. Setiap pagi sebelum abah menghantar aku dan kakakku ke sekolah, mak, seperti kebiasaannya akan membekalkan aku dengan sebotol air dan wang saku, bimbang aku akan berasa kehausan dan kelaparan di sekolah. Namun, aku tak pernah terniat untuk menggunakan kesempatan itu untuk makan atau minum bagi menggalas perut di siang hari. Wang saku yang aku tidak gunakan itu aku simpan untuk kuberikan semulakan kepada mak. Aku pula tak pernah menyimpan duit perbelanjaan sekolah jika aku tak menggunakannya. Sungguh, meskipun aku baru berusia 10 tahun, tetapi, aku sudah mampu mengerti akan kesusahan keluarga kami. Wang saku ke sekolah yang dibekalkan kepada hanyalah 20 sen sehari, tapi aku simpan juga untuk kuberikan kembali kepada mak. Bukan itu sahaja, jika cikgu membayar balik baki wang buku kerja sekolah, wang itu juga akan kuberikan kepada mak, untuk kegunaan mak membeli sayur, untuk keperluan sehari-hari keluarga kami, yang kebiasaannya dijual oleh jiran sekampung kami dari rumah ke rumah. Mak, seperti biasa, bukanlah seorang wanita yang mempunyai masa rehat yang cukup, apa tidaknya, ada banyak pakaian rumah dan seragam sekolah tujuh orang anaknya dan juga pakaian kerja abah yang perlu dicuci, dijemur dan digosok, selain tugas mengemas dan memasak, menghantar adikku ke tadika jika abah sedang bertugas, membuatkan mak tidak cukup masa untuk menjaga tanaman sayurannya di halaman belakang rumah desa kami.

Mungkin, itu membuatkan aku biasa untuk mengikat perut jika mak tak sempat memasak. Mak pula tak pernah membenarkan kami memasak kerana takut kami akan melecur terkena api. Mak hanya membenarkan kakak untuk memasak sekiranya kakak telah pulang dari sekolah, itu pun kakak jarang balik awal kerana jarak sekolah mereka lebih jauh.
Hampir tiga minggu menjalani ibadah puasa, abah, seperti kebiasaannya akan membawa kami sekeluarga ke bandar untuk membeli baju raya. Menaiki bas berwarna putih hijau, STC, yang kini hanyalah tinggal kenangan semenjak syarikat itu menutup operasinya pada pertengahan tahun 2004, kami sekeluarga pergi ke Bandar Raya Kuching seawal jam 9 pagi. Waktu itu amat indah, kerana kami bukanlah datang dari keluarga yang berada, abahku hanya seorang askar pencen, berapa sahajalah wang persaraannya ditambah sedikit dengan pendapatannya sebagai pengawal keselamatan, tolak dengan perbelanjaan menampung persekolahan kami adik beradik dan makan minum sekeluarga. Perasaan memakai baju dan kasut baru hanya dapat dirasai setahun sekali, itu pun jika tiada masalah kewangan yang datang melanda keluarga kami. Mujurlah abah dan mak tahu menjaga perbelanjaan keluarga, apatah lagi tahun itu, 1997, dunia dilanda kemelesetan ekonomi, semua harga barang, baik makanan, pakaian mahu pun peralatan sekolah, dinaikkan. Merasa jugalah kami adik beradik memakai baju dan kasut baru tahun itu, meskipun hanyalah kasut dan baju buatan negara jiran yang dijual di kaki-kaki lima kedai.

Di dalam bas, banyak ragam pelbagai penumpang bas dapat aku lihat. Yang budak-budaknya ada yang mabuk, muntah, yang tua berdiri, yang muda pula duduk. Dengan keadaan bas yang sendat seperti sardin itu, kerana hari raya semakin hampir, kami sampai juga di pasar. Pasar dalam bahasa Sarawak bukanlah merujuk kepada pasar ikan atau sayur, tetapi bandar. Banyak barang yang dibeli, dari pakaian, sampai kepada tepung, gula marjerin dan sebagainya untuk keperluan membakar kuih raya. Petangnya,barulah kami pulang ke rumah.

Mak, seperti biasa, dari menyukat, memotong sehinggalah menjahit, itulah kerja mak, menyediakan pakaian raya kami, sekiranya tidak ke dapur membuat kuih raya atau memasak juadah berbuka puasa.

Abah pula, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, setelah menamatkan perkhidmatan sebagai tentera, jarang-jarang berada di rumah kerana sering sahaja ditugaskan mengawal pejabat. Namun, abah tak pernah lupa membantu mak dalam menyiapkan kerja-kerja rumah meskipun letih bekerja, sering juga abah memasak juadah berbuka, kalau tidak mencuci pakaian kami adik beradik. Sungguh, mak, tidak pernah letih dan merungut, mencuci pakaian kami tujuh beradik, mengemas rumah yang sering sahaja kami sepahkan. Abah pula, tak pernah pula lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan jika kami minta untuk dibelikan barang yang kami inginkan, namun, abah tak pernah pula kekurangan wang, kerana abah sangat bijak berbelanja.

Menjelang raya…
Mak, seperti biasa, adalah orang yang paling sibuk di rumah. Menganyam ketupat, memasak kari daging, ayam masak lingkong, sejenis masakan Sarawak, masakan mak yang paling utama di pagi Aidilfitri, kuah sate, roti canai dan pelbagai lagi juadah lain. Sungguh, aku tak pernah berani mengacau mak ketika itu, kerana mak bukanlah seorang yang suka diganggu ketika bekerja.
Kami pula, adik beradik lelaki dan juga abah, akan mengemas rumah, memasang permaidani, sambil bersembang tentang susunan perabot di rumah.
Dan seperti kebiasaan hari raya yang sudah-sudah, kami adik beradik memohon ampun dan kemaafan dari kedua orang tua kami, selepas bersama-sama menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, sebelum makan bersama-sama di pagi raya sebelum menziarahi nenek dan datuk.

Seperti anak-anak kecil yang lain, aku dan adik beradikku juga mendapat duit raya dari abah dan mak, meskipun taklah sebanyak mana, kadang- kadang langsung tak dapat pun, tetapi duit raya yang kami perolehi akan kami simpan di bank, kerana abah dan mak selalu menasihati kami adik beradik agar menabung untuk masa hadapan, manalah tahu kami akan melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Namun, dalam diam, aku hanya berfikir, mampukah aku belajar tinggi-tinggi, menyambung cita-cita kedua abangku yang hanya menamatkan pengajian masing-masing di peringkat SPM dan STPM, menyedari aku sahaja anak lelaki yang masih bersekolah.
Selesai sahaja bersiap, kami terus ke perhentian bas, menunggu bas menuju ke rumah nenek dan datuk. Memohon keampunan dari orang tua mak. Orang tua abah pula, tak sempat pula kutemui kerana telah meninggal dunia sebelum aku dilahirkan. Dan ketika inilah, aku, berpeluang untuk berjumpa dengan sanak saudara yang yang jarang kutemu.



Epilog
Nun di sana, bintang pagiku semakin menghilang, terus aku titipkan doaku pada Allah SWT, berdoa agar aku dapat berada di samping keluargaku. Padamu bintang pagi, sampaikanlah doaku pada Allah…
Aku duduk sebentar di kerusi belajarku, dengan berbaju Melayu, berwarna merah hati, kalau tak salahku, dijahit pada tahun 2005, ketika aku di matrikulasi dahulu. Damai tangisanku di pagi itu sedikit dikejutkan dengan deringan nada polifonik telefon Motorolaku. Tertera di skrin, 0826……. sedang memanggil, pinta disahut…
Hello, assalamualaikum…


Tok, tok, tok…
Pintu bilik kecilku diketuk. Kubuka untuk melihat siapa di balik daun pintu biru itu. Ah…kawanku…lupa…dia juga sama sepertiku.
“Eh…ko dah siap ke nak sembahyang raya ni? Ko nangis ke tadi? Bengkak semacam je…mata tu…”
“Ala…sabarlah…ada lagi yang tak balik raya ni…aku pun sedih jugak…cheer up bro…raya ni…sambungnya lagi.”
“Yela,yela…jom.” Sambil kukunci pintu bilik.
Di luar blok kediamanku, kulihat bintang pagi yang menemaniku sudah hampir kepudaran cahayanya, tersenyumku sendiri di tanah rantau ini. Jumpa lagi Bintang Pagi…sampaikan surat doaku pada Tuhan…
Padamu mak, yang berada di Kuching Sarawak, anakmu mohon keamaafan dari UTM Skudai Johor, kerana 3 tahun tak balik beraya, kerana faham akan keadaan keluarga kita. Rindunya anakmu ini pada masakan hari raya mak. Dan padamu abah, maafkan anakmu kerana tidak berada di depanmu, sujud memohon keampunan dari ketika hari raya, meskipun dirimu pernah terlantar di hospital di bulan Syawal 2007…juga tak membantu kemaskan rumah di malam raya…
Tuhan… kirimkanlah bintang pagi itu kepada mereka agar aku dekat dengan mereka…kirimkanlah mereka ke syurga jika mereka dipanggil mengadap diri-Mu…aku tak akan pernah mampu membalas jasa mereka, jika Dirimu ambil mereka terlalu awal…panjangkanlah usia mereka, agar kami dapat membalas jasa mereka….
Ampunkan anakandamu ini....


Selamat Hari Raya Aidilfitri…

Sepanjang 22 Tahun Yang Lalu

Sepanjang 22 Tahun Yang Lalu
Posted on July 10, 2009 by adzeezy.
Categories: Uncategorized.
Source: http://adzeezy.blog.friendster.com/

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Agak lama sudah aku mengemas kini blog aku ni rindu jugaklah nak tulis sesuatu ni…haha…
Kebanyakkan rakan-rakanku yang pernah membaca blog aku selalu menyatakan, bahasa yang aku gunakan dalam penulisan blog tentang diriku berbunga-bunga…betul ke? Entah la. Terpulanglah kepada setiap individu yang membaca sebab mereka berhak menilai hasil penulisan aku yang aku siarkan untuk tatapan semua.


Ahad, 5 Julai 1987 bersamaan 9 Zulkaedah 1407 Hijrah, 11.03 malam…
Lahirlah aku ke dunia ini, setelah bondaku menyabung nyawa menyambung zuriat cintanya bersama suami tersayang, ayahandaku, 22 tahun dahulu. Disambut oleh seorang doktor berketurunan Tionghua, aku dilahirkan di bawah naungan bintang Cancer, atau pun Si Ketam yang bersinar di langit utara sekitar 22 Jun sehingga 22 Julai. Kelahiran aku ke dunia ciptaan ALLAH yang Maha Agung dan yang Maha Penyayang ini disambut oleh lima orang kekandaku, iaitu dua orang abang, yang mempenghului adik beradik kami, diikuti tiga orang kakak yang menanti kehadiran ayahanda dan bonda di rumah bersama arwah nenda berdua di Kem Tentera Darat Penrissen, Batu Lapan, Kuching Sarawak, cahaya mata yang dikurniakan kepada keluarga ayahanda dan bonda sebelumku, yang mana empat tahun selepas kelahiranku, aku dikurniakan dengan seorang adik perempuan.
Terima kasih bonda, kerana sembilan bulan sepuluh hari lamanya menanggung beban yang disebabkan oleh anakandamu ini, akhirnya, anakanda ini berpeluang juga merasai keindahan alam maya ini.

Dilahirkan di Hospital Umum Sarawak, Kuching, aku dibawa keluar bersama bonda dari hospital itu sehari kemudian. Pada 7 Julai 1987, ayahanda dan bondaku bersepakat memberikan aku sebuah cukup nama yang amat indah bagi setiap insan yang baru mengenaliku, sebagai tanda kasih dan cinta terhadap aku yang masih baru ingin mengenal dan menjenguk jendela alam ciptaan Allah yang Esa ini, dengan sebuah nama Arab yang membawa erti, Cahaya Kekasih, yang juga membawa makna sebagai Cahaya Kesayanganku. Aku cukup bertuah kerana ayahandaku sendiri yang ketika itu memakai baju celoreng perajurit mengalunkan kalimah indah azan ke telinga kananku, mengajarku menjadi seorang Islam, seperti Nabi junjungan Allah, Muhammad S.A.W mengajar Bilal bin Rabah tentang azan, menyeru umat Islam menunaikan solat fardu 5 kali sehari siang dan malam.

Sedari aku masih lagi seorang kanak-kanak, aku memiliki rambut kerinting berwarna perang cerah yang panjang, yang sengaja dibiarkan melepasi bahuku kerana bondaku suka dan gembira melihatnya kerana aku satu-satunya anaknya yang mewarisi sifat genetik rambut itu darinya. Adik beradikku hanyalah mewarisi kulit kuning langsat dari bonda dan mewarisi kening yang lebat dari ayahanda. Seringkali aku disalah tafsir sebagai anak angkat kerana sifat fizikalku yang tidaklah begitu sama ketika aku masih kecil jika hendak dibandingkan dengan abang-abang dan kakak-kakakku.
Banyak kenangan pahit manis yang aku lalui selama 22 tahun aku bersama mencari rezeki dan peluang hidupku bersama makhluk-makhluk Tuhan lain yang bertebaran di atas muka bumi ini. Pernah juga aku dipukul dan dimarahi oleh ayahanda dan bonda kerana kedegilanku semasa aku masih kecil, namun aku tak pernah ambil kisah, kerana ayahanda dan bonda telah melakukan apa yang mereka rasakan betul kepada aku dan juga adik beradikku, hasilnya aku dan dua orang kakakku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, manakala seorang kakakku memegang diploma, dan kini merupakan seorang pegawai tinggi kerajaan. Abang sulungku pula, meskipun hanya berkelulusan SPM, tapi kini sedang bekhidmat sebagai perajurit, menyambung legasi ayahandaku, dan bekerja mencari rezeki, menampung perbelajaan adik beradiknya di bangku pengajian. Dan seorang lagi abangku, berkelulusan STPM, sanggup melepaskan cita-citanya, meskipun pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, kerana memikirkan tanggungjawab kepada keluarga dan kini bekerja di jabatan pelajaran bagi mencari rezeki, agar kami menyambung hasrat dan impiannya yang terkubur di pertengahan jalan belasan tahun lalu.

Dari tadika, ke sekolah rendah, masuk pula ke alam sekolah menengah, pelbagai peristiwa yang kualami, ah, lupa-lupa ingat sudahku. Hanya secebis dua kenangan masih masih memerah dalam hatiku, sekadar memberikan sedikit bingkisan buatku, jadi memori indah di hari muka.

Masihku ingat tarikh itu, Selasa, 31 Disember 2002, hari yang penuh indah dalam hidupku. Mungkin bagi yang lain, tiada apa yang berlaku pada hari itu, malah ada yang lupa, apa yang pernah terjadi pada tarikh itu. Tanggal tarikh sebelum tahun baru itu, aku menghadiahkan ayahanda, bonda dan keluargaku dengan keputusan PMRku, 7A, 1B. Meskipun tak berjaya meraih 8A seperti yang kuharapkan, namun aku tetap gembira kerana aku mampu menebus kekecewaanku semasa pengumuman keputusan UPSR, yang mana aku hanya mampu mendapat keputusan 2A, 2B, 1C. Lebih mengujakan hatiku, aku tak membazirkan wang ayahanda untuk pergi ke kelas tuisyen, tidak seirama dengan rakan-rakan sekelasku, bukti aku sebagai seorang kampung boy, juga boleh meraih keputusan dengan bersandarkan kepercayaan pada diri, semangat dan usaha yang diterap oleh keluarga dan guru-guru yang telah mendidikku.

Tanggal 4 Mac 2005, setelah 4 bulan berehat dari bangku persekolahan, aku kembali ke sekolah, SMK Sungai Tapang, menuntut satu janji 17 tahun dahulu sedari aku lahir, keputusan SPM. Berdebar juga rasa di hati, kerana aku akui, aku kurang fokus semasa SPM dan juga di kelas. Namun, sebaik keputusan diumumkan, aku berasa amat bersyukur, kerana aku menduduki tempat ke-11, pelajar terbaik SPM, di sekolahku yang dikategorikan sebagai sebuah sekolah luar bandar, dengan keputusan 6A, 3B, 1C, atau bahasa SPM dulu-dulu, pangkat 1, 9 agregat. Sungguh mengejutkan diriku, aku berjaya memperoleh A1 untuk subjek Matematik Tambahan, dan satu-satunya pelajar Melayu mendapat keputusan 1 dalam subjek pernah menjadi mata pelajaran yang amat kubenci semasa mula-mula menjejakkan kaki ke Tingkatan 4 dahulu. Fizik, subjek yang kududuki ketika nendaku meninggal dunia, menjadi salah satu subjek penyumbang A, meskipun aku agak lemah dalam subjek itu. Nenda, kejayaan ini turut menjadi milikmu.
18 Mei 2005, menjadi suatu lembaran baru dalam hidupku, kerana ini kali pertamaku berpisah dengan keluargaku, untuk belajar di peringkat matrikulasi, di Kolej Matrikulasi Labuan. Lebih 300 batu jaraknya memisahkan aku dan kampung halamanku, dan tahun itu menjadi tahun pertama aku meraikan hari lahirku di luar lingkungan keluarga, di Mutiara Laut China Selatan, yang menantikan kepulanganku nun jauh di bumi kelahiranku.

Setahun dua bulan selepas itu, pada 5 Julai 2006, tarikh keramat yang menambahkan usiaku kepada setahun lebih banyak dari hari sebelumnya, aku meraikan bersama ayahanda dan bonda di Universiti Teknologi Malaysia(UTM), Skudai Johor. Pada hari kelahiranku yang ke-19 ini, aku meraikan sebagai seorang yang lain, ya, aku bergelar sebagai seorang mahasiswa di hari kelahiranku yang ke 19. Sungguh aku gembira, kerana, aku inilah hadiah ulang tahun kelahiranku yang paling mahal harganya dan paling bererti sepanjang hidupku…

Malam raya 2007, aku dengan sepupu aku, Azri, menyambut malam raya di balai polis…sebab dia…adalah…..huhuhu….sedih la jugak….tapi kenangan tu, memang la, berharga ke? hehe….

Dan pada hari ini pula, 5 Julai 2009, usiaku bertambah lagi setahun, menggenapkan jumlah 22 tahun aku lahir ke alam ini. Dan pada ulang tahun ke 22 ini, aku amat gembira kerana kerana kini aku punya dua orang yang baru, yang kuanggap saudaraku sendiri, menjengah ke alam hidupku, yang aku amat sayangi kedua-duanya, syukur pada-Mu ya Allah, Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihi makhluk-Nya.
Terima kasih semua.

Semoga Allah panjangkan usia semua yang mengenaliku, murahkan rezeki, dan diberikan petunjuk dan kegembiraan pada semua…

AMIN

Dia

Gambar ini adalah hak milik www.kartunisubi.com
dipetik daripada Majalah Aku, Dia & Test


Dia
Posted on March 8, 2009 by adzeezy.
Categories: Uncategorized.
Source: http://adzeezy.blog.friendster.com/


Hari itu, 25 Januari 2009, aku dan rakanku, baru sahaja keluar dari Pavilion, antara pusat membeli belah yang terkenal di ibu negara, Kuala Lumpur. Langit, petang itu, semakin suram, sarat dengan titisan air, sedari awal kami ke pusat bandar raya tengah hari tadi. Aku dan Fariq duduk sebentar di hadapan Lot 10, melepaskan lelah dan penat setelah habis merayau di sekitar Pavilion dan sebelum itu di Sungei Wang dan Times Square.

Ketika duduk di hadapan Lot 10, aku berasa seperti aku kehilangan sesuatu, kerana suasana hari itu seperti mengingatkan aku tentang sesuatu yang aku pernah alami sebelum ini, tetapi aku lupa lantaran dengan aktiviti harianku sebagai seorang pelajar IPTA, apatah lagi, aku kini pelajar tahun tiga, semestinya sibuk dengan tugasan dan aktiviti kelab yang semakin banyak, dengan tambahan ujian yang selalu membuatkan aku terlupa untuk makan dan minum, membuatkan aku sering sahaja demam kerana terlupa untuk mengambil khasiat yang sepatutnya aku perlu untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar.

Rintik-rintik hujan gerimis membasahi bumi Kuala Lumpur, walaupun tidaklah selebat mana tapi cukup untuk membuatkan umat manusia bergegas mencari tempat berteduh di sekitar bangunan yang indah di sekitar mereka.

Rintik-rintik gerimis yang mengenai wajahku, dengan sang camar yang tadinya girang berterbangan, kini mencari tempat berteduh sama seperti diriku, membuat pemikiranku tersentak seketika…. sedarkan aku akan sesuatu yang telah lama hilang dari hidupku….seseorang yang aku pernah aku sayang dan rindui sehingga kini…Ya Allah, bagaimana aku pernah terlupa 22 Januari lalu hari kelahiran dirinya yang ke 22? Saban tahun aku tak pernah lupa akan hari jadi dirinya, meski pun dirinya tiada di sisi ku, 4 tahun semenjak kali terakhir aku menemuinya, ketika di matrikulasi dulu, sebelum dirinya mengambil keputusan untuk belajar dalam bidang diploma di UiTM Shah Alam. Sekarang, aku tak tahu, apakah dirinya telah pun menamatkan pengajiannya sebagai seorang siswazah atau masih lagi sepertiku, bergelut dengan tugasan dan nota-nota kuliah yang bertimbun.

Senyuman dan tangisannya tika berpisah dari hidupku masih lagi kuingat sehingga kini dan akan sentiasa tersemat dalam lubuk hatiku yang paling dalam. Semangatnya ketika dirinya dilukai dan dihanyuti kedukaan masih lagi kupegang, kerana bagiku, dialah satu-satunya insan yang kukenali semuda itu yang mengalami pelbagai cabaran yang kurasa, aku sendiri sebagai seorang lelaki, aku tak mampu mnghadapinya. Dialah insan yang kusayangi, insan yang akan kurindui, juga inspirasi dalam menghadapi hidup di hari muka.

Namanya ada dalam setiap hari yang kulalui. Namanya sentiasa bermain dalam hatiku, senyumannya kerap membuatkan aku tersenyum sendiri, yang tanpa kusedari gelagatku sering diperhatikan oleh para pensyarah dan juga rakan-rakanku, yang membuatkan diriku sentiasa ditegur dan menjadi bahan gurauan dalam kelas, terutamanya Puan Fauziah, pensyarah subjek Geoteknik, ketika aku berada dalam tahun 2, yang sering menganggap aku sebagai ‘centre point’ kerana aku selalu sahaja mengelamun dengan tuala kecil yang kebiasaannya aku lilitkan di leherku. Dan setiap minggu, ada sajalah tentang diriku menjadi bahan bualan Puan Fauziah tentang diriku dalam kelas.
Namun, aku tak pernah ambil kisah, kerana aku seorang yang suka tersenyum, biarpun aku agak pendiam. Tetapi, menjadi bahan bualan dalam kelas cukup membuatkan telingaku merah, kerana malu, tapi tak apalah, bahagia jugak sebenarnya.

Ketika di sekitar Kuala Lumpur ini, membuatkan aku dapat merasai kehadirannya di segenap penjuru dan aku dapat rasakan dirinya pernah berada di sana menyusuri setiap jalan yang aku lalui, membuatkan diriku berasa amat merindui dirinya ketika aku berada di hadapan Lot 10 ketika itu. Ingin sekali aku menghamburkan air mataku kerana teramat rindukan dia, tetapi memandangkan aku sudah dewasa dan persekitaran awam membuatkan perasaanku tersekat di situ.

Namun hari itu aku mempelajari sesuatu, aku mampu melawan perasaan nuraniku, agar aku mampu hidup dengan merindui dirinya tanpa aku perlu berasa dirinya hilang.
Maafkan diriku bila aku ini tak pernah sempurna, dan bila diriku menjadi bisu, kerana diri ini ingin menyayangi dirimu atas kekurangan dirimu, tapi ku tak layak untukmu, kerana aku tak pernah mengatakan padamu, di sini, aku menunggu dirimu tuk kembali padaku, tuk aku ucapkan selamat tinggal yang sempurna, andai dirimu mahu pergi jauh dari diriku, dan kuingin ucapkan padamu, aku ingin kau tahu, akukan selalu menunggumu, sampai bila aku rasa aku mampu bertahan dan sampai waktu kau ingin kau ingin kau tahu, sepanjang hidupku. Aku tak akan pernah mampu tuk melupakan dirimu, saat kali pertama aku menatap wajahmu ketika itu, 18 Januari 2000, aku dan dirimu baru berusia 13 tahun, dan kini, telah 9 tahun berlalu, dan 22 tahun umur kita, aku ingin katakan, setiap saat bersamamu, adalah kenangan teragung dalam sanubariku…



ag Dzuladzeezy™ ๑۩۞۩๑ Dz ๑۩۞۩๑

Ayahanda


Ayahanda
Posted on September 15, 2008 by adzeezy.
Categories: Uncategorized.
12 November 2007
Source: http://adzeezy.blog.friendster.com/


Belum kering lagi embun pagi ketika aku keluar dari asrama putera di kolejku ini. Lupa nak perkenalkan diri. Aku Zizi, namun ada kalangan kawan rapatku di sini menggelarkan aku sebagai KC, sama seperti nama dj radio Melayu Singapura, pelajar tahun kedua, jurusan Kejuruteraan Awam di UTM Skudai. Hari itu, aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke dewan peperiksaan, lemas menunggu perkhidmatan bas UTM yang sering menjadi rungutan pelajar, yang masih lagi menjadi isu permasalahn di kampus ini. Agaknya, fail bas aduan bas UTM telah lapuk dan berkulat, sehinggakan tiada pihak yang dapat menyelesaikan isu itu. Retak-retakan daun-daun kering dipijakku sedikit pun tidakku hirau kerana ingin segera ke dewan peperiksaan.
Hari ini hari yang amat genting bagiku….menghadapi peperiksaan akhir subjek Olahan Air, semester 1 tahun 2. Dan seminggu yang lepas, ayahanda yang kukenali sedari aku lahir dahulu diisytiharkan menghidap penyakit jantung. Dan ketika aku diberitahu, ayahandaku sudahpun dimasukkan ke hospital sebaik sahaja aku tamat peperiksaan subjek Hubungan Etnik. Sukar bagiku untuk menumpukan perhatian semasa peperiksaan itu…Seseorang yang amat aku sayangi bakal berjuang untuk hidupnya… gagal dirinya bermakna…

Ayahanda seorang pesara tentera, atau dalam sijil kelahiran ditulis sebagai perajurit. Berkhidmat di bawah Angkatan Tentera Malaysia pada Januari 1966, ayahanda bersara 22 tahun kemudian. Anak kelima dari tujuh orang adik beradik, lahir pada 5 Januari 1948, ayahanda merupakan payung bagi keluarga kami, dan juga keluarganya. Rezeki datuk, sebagai seorang ketua petani, tidaklah mencukupi menyara kehidupan keluarga. disebabkan itu, ayahanda tidak mampu bersekolah tinggi.
Pagi itu tak sama seperti hari peperiksaan yang lain. Selalunya, aku akan berasa lebih tenang, tapi, pagi itu, aku langsung tak keruan, tak tahu apa yang aku lakukan, seolah-olah, terlalu bingung dengan kehidupanku selepas ini…
Sebelum ayahandaku dimasukkan ke dewan bedah, kakakku menghubungiku, menyatakan ayahanda akan dijadualkan menjalani pembedahan pada jam 10 pagi. Aku tahu, bondaku semasa itu tengah bergelut dengan hati dan perasaan, mana taknya, telah 35 tahun hidup bersama, ayahandaku seolah-olah akan direnggut dari hati wanitanya. Dan aku tahu, bonda tak mampu untuk meluahkan kata-kata kepadaku ketika itu…Seolah-olah dirinya bakal menerima hukuman yang amat berat di atas setiap dosa-dosanya…..



Tiga bulan sebelum itu di Pulau Pinang…
Kulihat ayahanda sering semput dan tak mampu tuk berjalan jauh. Paling jauh pun 50 meter sebelum ayahanda berhenti untuk mengambil nafas. Tercungap-cungap setelah berjalan sejauh itu. Kasihan melihat dirinya, kubertanya pada dirinya. Ayahanda hanya tersenyum dan berkata…
“Tak ada apa, cuma letih jalan jauh…”
Masakan 50 meter tu jauh…..



Dan pada tarikh ini, ayahandaku berjuang untuk hidup. Dalam jangkaan pasukan doktor, pembedahan itu akan mengambil masa selama 5 jam. Dibedah bagi memintas 4 daripada 5 saluran darah jantung yang tersumbat. Menurut doktor, kes ayahanda aku agak jarang ditemui kerana secara normal hanya 3 salur sahaja yang tersumbat. Keadaan ayahanda amat kronik jika tidak dibedah dengan segera.
Kebiasaan pesakit lain akan menerima rawatan berbulan lamanya sebelum dibedah, itupun jika tiada penyelesaian terbaik untuk dirawat. Dan menurut pasukan doktor yang bakal membedah ayahanda hanya meramalkan peluang untuk ayahanda ku untuk terus hidup selepas menjalani pembedahan itu hanyalah 7.0 %. Kebiasaan hanya 4-5 doktor merawat seorang pesakit jantung, tetapi bagi ayahandaku, hampir 12 orang doktor merawatnya.
Berderai hatiku menjawab soalan peperiksaan itu, pemikiranku diwayangkan dengan bayangan ayahandaku yang tersenyum di hadapan meja peperiksaanku.

Tetapi, aku mendapat SMS dari adikku dua jam selepas itu, menyatakan pembedahan ayahanda telah selesai, iaitu lewat jam 12 tengah hari. Tapi kata doktor 5 jam, aku tak faham?????

Sedangkan esok aku akan menghadapi peperiksaan lagi….
Mampukah aku menahan hatiku menjawab soalan peperiksaan sedangkan aku tak tahu langsung khabar dirinya di sana……

Rakan-rakanku semua tidak mengetahui kisah ayahandaku yang ditahan di hospital ketika itu. Cuma ada seorang dua sahaja yan perasan sikap aku yang agak diam dan kebingungan sebelum dan selepas peperiksaan.

Ayahanda…kuperlukan restumu untuk menyambung semangatku dalam alam peperiksaan ini….
Ketahuilah ayahanda, tika anakandamu ini menghadapi peperiksaan di saat dirimu berjuang untuk hidup, anakmu berjaya memperoleh A untuk subjek Olahan Air, peperiksaan yang sama tika dirimu diusung ke dewan bedah…kejayaan ini adalah untuk dirimu….

Ya Allah, besar sungguh dugaanmu kali ini. Di kala diriku menghadapi peperiksaan akhir, ayahanda pula berjuang menghadapi ujian hidup daripada Tuhan.
Akulah satu-satunya anaknya daripada 7 adik-beradikku yang tidak sempat menemui ayahandaku saat sebelum dirinya di bawa ke bilik bedah, kerana diriku di sini. Walaupun doaku utuskan pada Allah, tetapi aku seolah-olah tak mampu untuk menahan perasaan bersalahku pada ayahandaku. Kerana ku tahu, akulah anak yang paling rapat dengannya. Di sinilah aku mulai mengerti, betapa aku harus tabah dalam menjalani hidup ini…

Tuhan, panjangkan umur ayahandaku,
kerana aku belum sempat membalas jasamu, aku ingin sekali membuatkanmu gembira, aku ingin sekali melihat dia hadir pada hari aku konvokesyenku nanti,kerana pada hari itu aku ingin sekali memeluk dirimu dan juga bondaku,. Ingin sekali kuucapkan pada diri mereka terima kasih kerana MEMBERIKAN SEBUAH KEHIDUPAN YANG tiada tolok bandingnya di alam ini…

Ayahanda,…
Ampunilah anakandamu ini,
di atas setiap dosa yang mengalir dalam titisan darahmu…
di setiap keringatmu yang mengalir ketika dirimu mencari rezeki untuk kami, yang kadang-kadang kami tak pernah kami hargai…
di atas setiap langkah dirimu mendukung kami ketika kami masih belum mampu untuk berjalan
ketika dirimu jatuh sakit, marah, geram, dan segalanya…
Dan aku biarkan cerita ini tergantung di sini…kerana aku tak mampu menyambung nukilan dari hatiku ini…tatkala aku menulis blog ini, air mataku jatuh berlinangan…
di atas dosa-dosa kami...