Thursday, June 23, 2011

Aku, Kau, Dia, Mereka dan Kopurimanan Ku Osongulunan Oku

Hampir setiap petang hujan lebat turun di penghujung bulan Mei dan awal Jun. Setelah hampir tiga per empat siang manusia-manusia di bumi ini mengeluh kepanasan, dan hujan yang turun pasti akan menurunkan suhu yang menjadi rungutan di bahagian bumi yang sedang menghadap matahari ini.

Panas. Itulah perkataan yang dapat aku gambarkan tentang keadaan sepanjang hari itu. Walau pun suhu jatuh di waktu malam, namun, suhu tetap lebih tinggi daripada malam-malam yang lain.

Hobi aku, mendengar lagu-lagu. Earphone yang disumbatkan ke telingaku sengaja kupasang dengan volume yang tinggi, malas untuk mendengar bunyi sembang-sembang kosong mereka yang berada di luar.

Dan senja itu, aktiviti aku ialah mengemas bilik. Pejam celik, dah lama juga aku tak mengemas ruang kecil ini. Bilik ini terletak di bahagian selatan, sudah tentulah bilik ini amat kurang menerima cahaya matahari. Walau pun kurang menerima cahaya matahari, bilik ini tetap berasa panas, kerana kedudukan bilik ini yang agak terlindung daripada angin. Mungkin atas sebab itu, bilik aku kurang berhabuk.

Banyak barang yang aku kemaskan. Pakaian, buku-buku, dan barang yang aku simpan sebagai koleksi. Ada di antara barang-barang ini berada dalam simpananku sejak dari sekolah rendah lagi. Teringat zaman dulu, masa aku masih lagi berpakaian seragam sekolah. Sampai sekarang, pakaian seragam pengawas yang aku gunakan sewaktu darjah enam masih aku simpan.


Ada satu kotak yang masih dalam berkeadaan baik. Aku buat sendiri bungkusan yang bercorak abstrak tikar dengan gabungan pelbagai warna menggunakan cat poster. Di dalamnya, kusimpan penanda kunci, jam tangan, tiket bas, penanda buku dan pembalut gula-gula. Penanda kunci yang berbentuk baju-T dan jam tangan itu adalah pemberian mak dan abah semasa mereka berdua berkunjung ke Semenanjung Malaysia pertengahan tahun 2002. Tiket bas itu pula tiket kertas yang sangat panjang. Lebih kurang 1.3 meter. Aku memperolehinya ketika aku menaiki bas untuk pulang ke rumah. Pada ketika itu, aku menjadi orang yang terakhir menaiki bas. Pemandu yang juga konduktor bas mengerat tiket yang keluar dari mesin dan memberikan kepadaku sebagai orang yang terakhir sekali naik ke dalam perut bas, mungkin jenuh untuk memotong satu persatu tiket memandangkan agak banyak juga pelajar sekolah yang menaiki bas ketika itu. Apa yang aku dapat ingat, beberapa orang penumpang yang duduk di kerusi hadapan hanya tersengih melihat aku menggulung tiket bas yang panjang sambil berjalan ke arah kerusi kosong. Malu jugak masa tu, tapi disebabkan aku baru tingkatan satu, perasaan itu agak kurang. Kalaulah terjadi pada usia sebegini, sumpah, aku akan berasa canggung dan tak akan naik bas selama seminggu. Mengingati semula perkara itu membuatkan aku tersengih sendiri.

Penanda buku dan pembalut gula-gula. Mungkin, bagi sesetengah orang, penanda buku dan pembalut gula-gula ini kurang nilai sentimentalnya, tapi, aku masih tetap menyimpan kedua-duanya, sejak dari tingkatan empat, tahun 2003. Mestilah, kedua-duanya dari seorang yang istimewa. Ada juga kawanku bertanya, apa yang istimewanya kedua-dua barang yang aku simpan rapi dalam kotak ini. Jawapanku, senang:

“Kalau aku simpan barang yang dia bagi kat aku tu, contohnya frame gambar, aku tak rasa frame tu kekal, mesti pecah punya. Pembalut gula-gulakan plastik, plastik ambil masa yang lama untuk reput.

Bercintalah, jika itu yang membuatkanmu gembira, kerana cinta itu akan membuatkanmu sempurna dalam darjahmu yang tersendiri…” Jawapan klise yang kukira mampu memuaskan hati semua pihak yang bertanya.

And yeah, it was indeed, a warm night. All the crickets sang happily in the wood. Somehow, it feels like I’m coming back through a time travel tunnel, which, everything seems to be in their original state, preserved within the time. The same goes to my prefect’s uniform. The top is still blue in colour, while the pants are in navy blue, like the way they have been. I miss them, a lot.

Namun aku sedar, bayang-bayang yang hidup dalam kenangan ini akan hilang satu masa nanti. Dan kenangan ini sudah pun mula pudar, seperti mana baju-baju yang berusia lebih dari semusim ini. Masa berlalu pergi, dan perubahan waktu memberikan aku satu kehidupan yang dinamik, yang sentiasa berubah, meninggalkan kehidupan yang pernah berlalu dalam hatiku. Tapi, bila aku fikir-fikirkan balik, terlalu banyak perkara yang aku tertinggal dan lupa.

Aku sedar, aku sendiri di sini, ditinggalkan dalam kenangan yang semakin hilang. Hatiku mungkin bukan typewriter, menaip segala kata yang pernah keluar ke dalam ingatanku yang semakin luntur. Mataku mungkin bukan video tape yang memainkan semula cerita-cerita semalam. Mungkin aku juga bukan mesin stensil yang pernah digunakan untuk mencetak kertas ujian di sekolah rendah dulu. Mana mungkin aku boleh mencetak gambar-gambar kenangan bersama mereka yang pernah hidup dalam memoriku seperti mesin itu. Kadang-kadang, tidak semua kenangan ini akan kekal dalam hati, kerana apa yang pasti, sebahagiannya akan luntur.

Langit kirmizi di barat dunia semakin tenggelam, berlari mengejar matahari yang beredar ke sebelah sana bumi. Dan sampai bila aku akan dapat melihat, warna yang sedih ini?


Kerana, kita pasti akan melewati segalanya yang kian berubah...

1 comment:

AreDiey AreYen said...

teringat kat kenangan lama ... huhu