Tuesday, June 28, 2011

Diktator Sebuah Koma

Seminit lagi jam akan bertambah lagi waktunya. Menghampiri waktu. Solat subuh di Zon 7, Samarahan. Keadaan yang agak sunyi, dengan bunyi hujan yang membisingkan alam diam selama hampir empat minit.

Masuk hari ini, sudah hampir tiga bulan, aku dengar lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi dari seberang tambak ini. Lagu yang agak jarang didengari oleh rakyat di utara republik itu semakin lama, semakin kurasakan terlalu mengunci aku dalam satu alam yang amat asing. Aku tidak pernah ada dalam alam itu. Yang pasti, aku ulang, dan ulang, dan ulang lagu yang sama, hampir setiap hari, dalam tempoh itu.

Jarak masa yang agak panjang antara waktu makan malam dan waktu hujan reda itu membuatkan aku berasa lapar. Tetikus infra-merah berkelip-kelip, seolah, memahami keadaan perut tuannya yang sedang kelaparan di waktu hampir subuh yang semakin dingin, dibasahi embun pagi menebalkan ketepuan udara di troposfera tropika ini.

Tapi, tak ada siapa yang tahu. Masing-masing sedang mendalami tidur malam yang panjang. Mengigau, mimpi ngeri, mimpi indah, terbawa-bawa dalam mimpi, tak bermimpi dan berdengkur. Malam adalah milik tidur. Menjadi raja dalam malam manusia.

Dan dengan itu, masa menjadi koma. Manusia yang menjadi koma dalam masa yang berhenti, tanpa ada rasa paksaan. Tiada diktator atau kuku besi yang menjadi duri dalam tempoh itu. Manusia bebas, tanpa ada rasa ingin ditakluki.

Bulan, yang sunyi sendiri, merajuk, di atas awan. Tiada siapa yang sudi memuja keindahan malamnya yang selalu menerangi tanah di bumi. Mungkin, ditemani oleh pesawat-pesawat yang mempunyai jadual lewat malam atau seawal pagi sebelum subuh, melintasi bumi di bawah cahaya bulan.

Sukar untuk membezakan rintik-rintik hujan yang semakin halus dengan embun pagi yang semakin kasar jatuh ke bumi. Cahaya bulan yang sendiri semakin jauh, semakin rendah di kaki langit. Salakan anjing-anjing yang tinggal di kawasan kejiranan Cina semakin menjauh. Hampir melengkapkan diktator sebuah koma. Menjadi diktator dalam gelap. Dalam sunyi. Dan dalam dingin. Mungkin juga dalam rindu yang jauh...

Selamat malam. Bangunlah dengan hati yang indah...

ps: apa aku merepek ni....arghhh…tak leh nak tido lah!!!!

2 comments:

Pak Syahot (sYaHir) said...

zizi, ak agk ssah nk phm ape yg cbe ko smpikan dlm post neyh..haha btw,nice post..

ag dzuladzeezy said...

haha...
dah aku merepek..camne la nal phm..huhihi...
btw, masa ni aku mmg susah sgt nak tdo
insomnia!