Aku tegak di hadapan pintu, melihat hujan yang sudah dua jam turun. Melihat pokok-pokok liar yang semakin meninggi dalam belukar di lembangan Sungai Kuap ini basah. Tangan kiriku memegang jeriji besi bercat hitam, dipasang kemas pada pintu dapur. Sebelah lagi kuhulurkan keluar, membasahkan tapak tangan dengan air langit yang sudah lama tidak turun.
Sudah lama aku tidak bermain dan kebasahan di dalam hujan. Kalau ada pun, semasa aku menunggang motosikal Modenas hijau kepunyaan abangku. Lencun.
BUSH!!
“Adoi...kenapalah kau pergi langgar lopak air tu?” marah Naz.
“Maaflah.. aku tak nampaklah malam-malam macam ni. Hujan pulak tu. Motosikal kau ni punya lampu tak berapa nak terang sangat.” Ujarku setelah menyedari kaki seluar jeans kami berdua basah akibat air lopak itu.
Malam yang basah itu amat dingin. Naz memberikan aku kebenaran untuk aku menunggang motosikalnya. Dia sendiri menjadi pembonceng. Walaupun memakai sweater di dalam dan baju hujan berwarna biru gelap di sebelah luar, angin monsun yang bertiup semasa hujan sudah cukup menggigilkan tulang temulang kurusku. Sebenarnya, aku agak rimas menggunakan visor helmet. Kuselak ke atas. Titisan hujan yang turun semakin halus, tanda hujan semakin teduh, menampar mukaku. Tajam.
Keadaan jalan yang licin dan gelap mengehadkan kelajuan motosikal yang kutunggangi kepada 50km/j.
“Ni dah sampai ke Palekbang dah ni. Kita nak ke KB. Salah jalan dah ni...” Ucap Naz, sedikit kuat, melawan bunyi kenderaan yang lalu lalang di hujung jalan itu.
“Adeh. Patah baliklah!”
Keadaan ini mengingatkan aku satu hari di bulan Oktober 1995.
Lewat tengah hari yang cerah. Aku sudah siap berpakaian. Mak memberikan aku dua keping syiling sepuluh sen. Katanya untukku beli aiskrim dan pisang goreng di kedai Wak Sulong. Bukan main gembiranya aku. Bukannya selalu mak beri duit kalau aku pergi mengaji. Mak pesan, kalau hujan, tunggu sebentar di surau, nanti kalau teduh sedikit barulah balik, kalau tidak, demam.
Darjah dua. Sudah dua tahun aku belajar mengaji dengan Uda Mahadi. Orangnya garang dan sangat kuat merokok. Kecut perut juga kalau dimarahi. Kelas mengaji yang diadakan di surau kampung kami itu selalunya akan bermula pada jam 2 petang. Aku selalu juga ponteng mengaji. Pura-pura tidur di dalam bilik. Haha! Ini semua gara- gara surau yang agak jauh dari rumah. Terpaksa berjalan kaki meredah jalan, atau lebih sesuai disebut denai, yang ditumbuhi lalang-lalang tinggi di kiri kanan. Lebih tinggi dari aku sendiri.
Selepas melalui jalan kecil itu, aku dan kakak akan mendaki dan menuruni sebuah bukit, bukit yang paling tinggi di kampung kami. Menuruni bukit itu lebih sukar daripada menaikinya kerana bahagian di sebelah belakang bukit lebih tinggi dan licin. Aku selalu tergelincir di permatang bukit tunggal yang semakin botak itu. Habis kotor seluar dan baju dengan tanah kuning dan rumput liar.
Memang commonlah kalau aku senak perut kalau turun dari bukit itu. Sedu pun sama. Sampaikan aku terasa hendak duduk di kaki bukit, walaupun jam sudah menghampiri pukul 2. Apa pun, kami tetap meneruskan perjalanan melalui sebuah padang terbiar yang ditumbuhi lalang dan beberapa batang pokok renek, dan satu jalan yang berturap dengan batu kerikil sebesar penumbuk bayi. Selalunya kami memilih melintasi terus dari bukit ke laluan berbatu, kemudiannya ke padang lalang, dan lalu lagi di laluan berbatu. Pendek kata, bentuk padang lalang itu seperti padang bola yang dikelilingi balapan berbatu 400m.
Kawasan kampung di sebelah ini jauh lebih baik daripada kawasan sebelah bukit ini. Jalan berturap, lampu jalan, balai raya dan pondok telefon. Kawasan tumpuan penduduk kampung. Hampir 400 meter kami berjalan, kami akan menyeberangi sebatang sungai. Sungai Kuap, salah satu daripada sungai utama di Sarawak. Ada dua buah jambatan di situ. Satu baru dan satu lama. Jambatan lama lebih rendah, dan ada antara kepingan kayu jambatan patah dan hilang dibawa arus banjir yang deras. Kami berhati-hati melintasi jambatan usang itu, takut juga terjatuh ke dalam sungai, sudahlah tidak tahu berenang. Belok ke kanan selepas melintasi jambatan barulah kami akan sampai ke surau yang berada di tebing kiri sungai.
Permukaan jalan bitumen dan kayu jambatan yang lebih keras daripada tanah, dicampur dengan kaki yang kotor terkena lumpur membuatkan kakiku berasa gatal. Merah seperti ruam. Selipar jepunku tipis di bahagian tapak. Talinya, kalau berlari, sudah tentu tercabut keluar daripada lubangnya. Warna merah jambu. Aku pun tak tahu kenapa hampir kesemua selipar jepunku berwarna pink. Haha. Kerana itulah aku selalu berkaki ayam di atas jalan raya berturap yang panas-panas suam dibakar atmosfera bumi, mengurangkan rasa kegatalan tapak kaki.
Angin yang perlahan mula bertukar menjadi agak kuat. Keadaan yang tadinya cerah bertukar menjadi mendung dan gelap dengan cepat. Aku sedar, sekarang, semua penduduk kampung berasa gelisah. Hujan lebat turun hampir setiap petang. Bimbang rumah akan dinaiki air pada musim landas ini.
Lima minit lagi pukul 2. Air sungai mulai naik, mungkin hujan telah mula turun di hulu sungai. Aku keseorangan. Kakak menghadiri kelas kokurikulum di sekolah. Payung pula lupa dibawa.
Cuma ada lima orang termasuk aku menunggu di beranda surau kecil itu. Masing-masing menunggu Kak Ateng, anak saudara Uda Mahadi yang selalu menggantikannya.
1..., 4..., 5...,15..., 20..., 30 minit. Tiada kelibat sesiapa pun yang aku nampak menuju ke surau putih ini. Mungkin Kak Ateng tidak mengajar hari ini. Kawan-kawan sama mengajiku yang ada di situ sudah mula gelisah. Hari nampak semakin senyap. Kanak-kanak kecil yang tadinya galak berlari dan bermain di tepi-tepi jalan kampung semuanya sudah balik ke rumah rumah. Dipanggil mak.
Dengan perlahan, kami meninggalkan surau. Sebal. Pagar ditarik.
Di pertengahan jalan, selepas melalui jambatan, hujan perolakan mula menitis.
Lari-lari!
Aku berjaya menemui sekeping sisi kotak di tepi jalan. Aku kutip untuk melindungi kepala. Songkok keras kumasukkan ke dalam baju. Siapalah yang buang kotak itu di tepi jalan, padahal tong sampah yang besar sudah disediakan oleh majlis daerah.
Tiris. Tiris di sana sini. Air hujan tetap menyusup masuk ke celah-celah lubang halus kotak jatuh ke rambutku. Tak sampai seminit pun, aku buang kotak itu. Hancur diserap air, dan terlalu tiris untuk menjadi payung.
Kalau ada abah yang ambil aku balik bukankah seronok. Tapi abah sedang bekerja. Kadang-kadang, abah akan mengambil aku dan kakakku dengan menggunakan motosikal Yamaha hitamnya pada jam dua suku petang meski pun waktu persekolahan berakhir pada jam 1230 tengah hari.
Entahlah, tapi aku selalunya berasa sangat teruja jika aku lihat abah datang awal ke sekolah untuk mengambil kami.
“Bapak kau dah sampai dah Zi.” Sapa kawanku kalau mereka melihat abah dari tingkap kelas.
Abah akan menunggu di bawah pokok kecil di hujung padang bola keranjang di hadapan sekolah. Kalau ada mak datang bersama abah dengan sweater biru gelapnya, aku akan pasti balik ke rumah dengan duduk di tengah-tengah antara abah dan mak. Kenangan itu pasti tidak akan aku lupakan. Aku tahu mereka melihat keadaan aku di dalam kelas.
Dalam perjalanan itu, aku tumpang berteduh di beranda sebuah rumah kosong. Terasa seram dengan keadaan hari yang gelap , aku kembali berjalan. Kemudian, tak jauh dari situ, aku berhenti, di bawah sebatang pokok cempedak. Sejuk… air di kawasan sekitar pokok itu pula sudah setinggi buku lali ku. Ah… memanglah, tanah lembut, dan memang banyak lopak air. Kakiku sedikit tenggelam di dalam tanah gambut.
Dari luar, rumah kelihatan agak terang. Mungkin lampu di dapur dan di ruang tamu dihidupkan. Hanya mak dan adik ada di rumah.
Rupanya mak sedang menyiapkan sesuatu di dapur untuk hidangan petang. Tuala pula sudah siap disidai, satu arahan untuk aku membasahkan badan dan kepala supaya tidak demam.
Alhamdulillah. Akhirnya aku sampai di rumah walaupun dalam keadaan yang basah kuyup. Hanya songkok hitamku yang masih kering.
Tamat.
Untuk mak, terima kasih di atas jagaanmu, mengasuh dan memberikan anakmu ini ilmu bersama abah… selamat hari jadi ke 60..
3 comments:
Alhamdulillah.... dah grade dh! wish u all da best, in life, ok!
thanx... :)
TAHNIAH :)
Post a Comment