Malam. Malam ini sedikit sepi. Kenderaan tidak banyak di atas jalan besar. Hanya kelip - kelip tua menjadi lampu alam di bahu jalan.
Memandang ke langit malam, itu memang kegemaranku. Menjadi seorang rider memerlukan aku sentiasa peka dengan cuaca keesokkan hari. Hujan atau tidak. Kalau hujan, lencunlah.
Ah... sudahlah. Langit tak akan selalu cerah. Kalau mendung, suburlah tumbuhan yang melata di atas bumi, tiada lagi retak - retak dan garis tua banir kekeringan.
Langit. Doa siapa yang pernah sampai ke langit? Tentu istimewa sekali manusia itu di sisi Tuhan. Aku? Entahlah. Mungkin doaku terhakis akibat jerebu apabila mencecah awan - awan nipis yang tinggi di udara raya, menjadi cebisan halus turun semula ke atas bumi menjadi hujan asid. Atau mungkin, menggelongsor turun dengan pelangi yang lahir bersama hujan.
Hati, bila mana rasa kehilangan, ingatlah, Tuhan memang akan sentiasa ada. Tuhan rindu akan hati - hati manusia yang Dia ciptakan. Pandanglah ke langit, biru muda warnanya, tetapi semakin jauh di atas, warnanya kian mega kegelapan. Semakin tinggi, semakin kurang udaranya. Graviti yang menjadi pasak teguh memasung kaki semakin menghilang. Terapung... Bebas di angkasa raya. Begitu juga dengan hidup ini. Perjalanan ini terlalu luas, jauh dan misteri, tidak diketahui walau satu saat kehadapan. Semakin kita tidak berdaya untuk mengawal denai hidup yang mendatang.
Pandanglah langit di atas sana. Kita memandang pada bintang - bintang yang sama, walaupun ada di antara kita berada di garisan hemisfera berlainan. Biar pun beribu tahun terpisah antara zaman, bintang - bintang tetap setia menemani doa - doa kita ke langit menuju Tuhan. Cahayanya masih terang, terangi perjalanan doa dari hati kita yang gelap.
Doa - doa manusia tidak akan pernah bersendirian untuk sampai kepada Sang Pencipta.
Berpeganglah kepada janji Tuhan. Janganlah bersedih wahai hati. Kerana kita tidak pernah bersendirian.
No comments:
Post a Comment