Wednesday, July 6, 2011

Aku dan Kosong

Hanya tersadai pada penyangkut di penjuru bilik. Berhabuk, sifat sehelai kain sepi itu. Sudah agak lama sebidang kain sederhana tebal itu tidak terusik. Sesekali, kuluangkan masa senggang di dalam bilik ini, berehat. Buku-buku masih banyak lagi, belum dikeluarkan dari kotak. Belum lagi dengan baju yang digulung kemas di dalam haversack, semuanya perlu dikeluar dan dikemaskan.

Bertahun sudah berlalu, akhirnya aku kembali semula ke tanah tumpah darahku ini. Rasanya baru semalam aku keluar dari rumah ini dan tanpa sedar, hampir 2000 hari telah berlalu. Jejak langkahku yang pernah ada di tanah ini menghilang kembali merekah. Tempoh yang cukup untuk mendewasakanku.

Gelap. Cahaya matahari yang masih putih dan muda di timur horizon kampung masih belum sampai ke dalam bilik ini. Yang pasti, tidak banyak manusia yang bangkit seawal itu. Hanya ayam-ayam kampung yang berkokok bangun, setia mengejutkan penghuni kampung. Aku bangun dari katil, menghidupkan lampu dan duduk di atas kerusi yang berhadapan dengan cermin.

Migrain datang lagi. Berdenyut-denyut di bahagian pelipis. Mungkin disebabkan keadaan yang agak dingin, memandangkan kedudukan kampungku yang terletak paling hulu sungai.

‘Demam?’

Di dalam cermin, hanya ada sepotong wajah lesu, dengan sepasang mata yang layu kemerahan. Kumal. Rambutku sedikit menggerbang, kugosok sedikit dan puas, melihat rambutku yang serabai dan tidak kemas itu. Betapa aku tidak terurus sekarang.

Dulu, malamku dihidupkan dengan aktiviti gila-gila bersama teman rapatku. Selalu juga tertinggal seruan Tuhan, yang menjadi pertaruhan utama untuk menyabung nasib di alam kubur nanti. Balik ke bilik, selalunya aku akan terus tidur. Entahlah. Hidup bagiku adalah sesuatu yang aku gunakan untuk bergembira, sementara aku masih muda dan sihat. Assignment pula entah ke mana. Ponteng kelas? Jangan cakaplah. Hidupku benar-benar hilang dalam malam. Sesat, tanpa cahaya yang terang di telapak tangan.

Aku pernah menjadi seorang Islam yang lalu di hadapan masjid, dan apabila azan dilaungkan, aku hanya berada di luar masjid, meneruskan perjalanan ke arah tujuanku, tanpa singgah menunaikan sesuatu yang difardukan 1400 tahun yang lalu. Aku cuma melihat manusia berpusu-pusu ke arah saf pertama menerusi pintu-pintu besar masjid yang terbuka luas.

Sesat di jalan yang terang, sesat di jalan yang gelap, kedua-duanya sama bagiku. Tiada beza. Lagu-lagu emo jadi teman dan hafalan. Setiap hari, baju-baju yang aku pakai semuanya berwarna hitam, sampaikan pernah seorang kawanku menegur, kerana mereka tidak pernah melihat aku menggunakan baju warna lain selain hitam.

Dalam beberapa ketika ini, aku selalu menangis. Terlalu banyak perkara yang mengganggu pemikiranku. Baru aku sedar, walau pun ini sikapku, DIA amat menyayangi hamba-Nya ini. Pernah satu hari aku datang ke masjid itu pada waktu Zuhur, aku berada pada saf yang agak belakang. Sebelum memasang niat, aku berdoa agar aku dapat menunaikan solat dalam saf pertama di masjid yang selalunya penuh sehingga empat lima saf setiap waktu solat. Setiap satu saf mungkin boleh mencapai 120 orang makmum.

Mungkin agak mustahil, tetapi alhamdulillah. Aku dapat juga berada di saf paling hadapan pada hari yang sama. Terlalu cepat DIA memakbulkan doa aku. Mungkin, DIA ingin membuatkan aku rasa diterima, di kalangan hamba yang beriman dan yakin pada-NYA.

Dan kini, 24 tahun sudah usiaku. Dan hari ini telah banyak mengajarku tentang erti kehidupan. Aku telah lama membuang masa dan waktu... Hanya daun kering yang sudah retak dan gugur di sepanjang laluan itu menjadi teman. Aku ingin kembali padanya, dengan rasa rindu dan iman di hati. Sebidang kain sejadah itu tidak akan berhabuk dan sepi lagi.

Kerana aku tidak mahu tersungkur di pintu syurga...

1 comment:

Unknown said...

spnjg mngenali anda, sy tahu anda seorang yg kuat. mampu harungi semua dgn tabah. dan sy sgt yakin tentang itu. pglmn 24 taun telah byk mengajar anda :)