Tuesday, July 12, 2011

Almari

Hai, apa khabar? Nama aku Almari. Aku mempunyai dua warna asas, coklat dan putih. Coklat adalah warna asalku, kerana aku diperbuat daripada kayu, manakala putih adalah warna hadapanku, yang diperbuat daripada plastik selulosa sintetik. Aku ada tiga keping daun pintu, empat buah laci dan sebuah cermin.

Aku dihasilkan berdasarkan kreativiti beberapa orang tukang kayu pada awal tahun 1988. Mereka mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkan aku, dari kerja-kerja menggergaji, memaku, mengecat, sehinggalah membalutku dengan plastik bagi mengelakkan badanku yang masih licin ini daripada kesan calar terutama sekali semasa proses pemindahan dari kilang ke kedai yang bakal menemukan aku dengan tuan baruku. 1988. Pembangunan rancak perindustrian Malaysia selepas kemelesetan ekonomi dunia sekitar tahun 1985 sehingga 1988 di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamed selaku perdana menteri menyebabkan penggunaan sumber mineral dan semula jadi meningkat, dan aku, terhasil dengan mempunyai reka bentuk yang ringkas dan mudah.

Sepanjang perjalanan ke kedai, aku berasa badanku sedikit sakit, mungkin kerana kesan hentakan akibat keadaan jalan raya yang tidak rata dan berlubang. Hampir - hampir sahaja aku berlanggar dengan kawanku yang mempunyai rupa yang lebih kurang sama denganku. Kasihan juga melihat kawan-kawanku yang mempunyai saiz tubuh badan yang lebih kecil daripadaku, seperti kerusi. Jika aku menghempap mereka, sudah pasti badan mereka akan patah riuk. Betul kata pepatah Melayu. Hikayat Si Timun dan Si Durian. Digolek atau menggolek, Si Timun sudah pasti akan terluka. Walau bagaimana pun, kecekapan pekerja-pekerja kilang yang mengatur kedudukan kami membolehkan aku dan kawan - kawanku mempunyai ruang kelegaan untuk bergerak.

Lori bersaiz sederhana yang kami naiki itu berhenti. Pemandu dan kelindan lori turun dari tempat duduk hadapan. Mereka menuju ke arah seorang lelaki berbangsa Cina, berbaju singlet dan berseluar pendek, yang menunggu dengan penuh sabar sambil berkipas. Panas agaknya. Kelindan lori mengambil alih tugas. Dia berkata sesuatu kepada lelaki Cina itu sambil menunjukkan senaskhah buku kecil kepadanya. Lelaki Cina itu mengambil buku itu. Rokok paip yang terisi tembakau hiris dinyalakan. Berkepul-kepul asap keluar dari rokok paip itu. Buku kecil itu ditelitinya, dibawanya masuk ke dalam kedai, diikuti kelindan lori itu. Sebentar kemudian, kedua - dua lelaki itu keluar dari kedai itu. Beberapa helai not wang kertas berwarna ungu, hijau dan coklat, masing-masing mewakili nilai $100, 50 dan 20 bertukar tangan, sambil lelaki Cina itu menandatangani buku kecil itu.

"Lu punya kelija bagus, nanti kalau lu ada perabot balu lu kasi sama gua cepat - cepat." Kata lelaki Cina itu sambil menepuk - nepuk bahu kelindan lori itu. Kelindan lori itu hanya tersengih.

Aku terasa badanku disorong. Rupanya, aku dibawa keluar dari lori itu. Bersama denganku beberapa barangan lain seperti meja makan dan kerusi. Aku bersama kawan - kawanku dimasukkan ke dalam kedai, di ruangan peragaan oleh beberapa orang lelaki.

"BAM!"

Pintu lori ditutup. Pemandu dan kelindan lori bersalaman sambil berkata sesuatu dengan lelaki Cina sebelum masuk ke dalam perut lori. Beberapa buah kawanku yang masih berada di atas lori itu dibawa pergi, sehingga hilang dari penglihatanku. Itulah kali terakhir aku melihat mereka. Sedih, kerana ada sebahagian daripada mereka diperbuat daripada pokok yang sama denganku. Aku harap, mereka akan menemui tuan yang baik.

Balutan plastik pada badanku dibuka. Lelaki Cina yang menjadi tuan baruku memeriksa tubuh badanku bagi memastikan tiada cacat cela yang ada. Depan, belakang, dalam, semua sekali. Akhirnya, lelaki separuh umur itu mengangguk-angguk, berpuas hati dengan keadaanku yang masih baru itu. Satu pelekat plastik berwarna kelabu bertulis ‘THT’ ditampal di sebelah dalam daun pintuku, sebagai tanda aku melepasi ujian kualiti. Selesai memeriksaku, dia mengarahkan pekerjanya untuk membalutkan semula aku dengan plastik, supaya aku tidak tercalar dengan perabot lain yang ada di dalam kedainya yang agak sempit itu dan memasukkan ubat gegat, memastikan aku tidak rosak dimakan semut atau lipas.

Sebenarnya, aku tidak suka dengan ubat gegat. Baunya sangat kuat untuk menghalau serangga daripada merosakkan tubuhku, sehinggakan badanku juga berbau ubat gegat. Kandungan kimianya yang dinamakan naftalena atau naphthalene dengan formula kimia C10H8 selalu digunakan dalam eksperimen kimia di sekolah dan gas yang dikeluarkan oleh naftalena yang mempunyai takat lebur 51˚C itu sangat berbahaya jika terhidu.

Reka bentukku yang ringkas menyebabkan aku bukan pilihan utama oleh pembeli. Tambahan pula aku sebuah almari baju. Setiap hari, ada sahaja kawan - kawanku dibawa keluar dari kedai. Habuk mula menghinggapi badanku. Mujurlah, ada seorang pekerja kedai yang selalu membersihkan aku dengan penyapu bulu ayam.

Sehinggalah suatu hari, aku mendengar suara beberapa orang manusia berada agak hampir denganku. Sepasang suami isteri dan dua orang anak kecil mereka. Mereka memerhatikan badanku.

“Bagus jugak almari ni bang. Ada cermin, tak payahlah kita beli meja cermin lagi. Apa kata kalau kita beli?” Cadang si isteri kepada suaminya.

Si suami hanya membelek - belek tubuhku, memeriksaku. Aku berasa agak teruja, kerana aku bakal mendapat tuan baru. Tak sabar rasanya untuk berpindah dari kedai yang sempit ini. Kemudian, si suami menggaru janggutnya yang tidak berapa menjadi itu. Tidak lama kemudian, mereka berempat meninggalkanku.

Perasaanku kembali menjadi seperti biasa. Mungkin mereka tidak mahu membeliku. Mungkin juga rupaku yang terlalu biasa tidak menarik perhatian si suami.

"Kress, kress."

Perabot yang berada di sebelah menyebelahku dialih. Mungkin mereka dibeli oleh seseorang. Biasalah, keadaan yang terlalu biasa bagiku. Tetapi, dan secara tiba - tiba, badanku terasa ringan, dan terapung. Badanku beransur - ansur meninggalkan tempatku berdiri selama itu. Akhirnya, aku dimiliki seseorang.

Aku diletakkan di dalam lori. Aku tidak tahu siapa yang memilikiku. Tapi, aku bersedia untuk berkhidmat untuk mereka.

Aku tiba di sebuah rumah batu. Kedudukannya agak terpencil.

"Bawak masuk ke sini." Arah seorang lelaki.

Rupa-rupanya, aku telah dibeli oleh pasangan suami isteri itu tadi. Apa yang aku lihat, tidak begitu banyak perabot di dalam rumah itu. Mungkin mereka baru berpindah. Aku diletakkan di dalam bilik anak lelaki mereka. Bilik itu agak kecil, dan aku dikongsi oleh kedua-dua anak lelaki mereka.

Biasalah anak lelaki. Baju yang disusun oleh ibu mereka selalunya berada dalam keadaan bersepah. Semak perut aku dibuatnya. Kegilaan remaja zaman awal 90 'an terhadap filem - filem aksi dari negara Barat turut mempengaruhi kedua - dua anak lelaki keluarga ini. Pada daun pintukulah tempat poster filem Predator lakonan Arnold Schwarzenegger; Rambo, Sylvester Stallone dan yang paling penting, Sofea Jane, aktres kacukan Melayu Inggeris menjadi pujaan kepada anak lelaki ini. Laciku juga dipenuhi dengan pita kaset Dangerous, nyanyian Michael Jackson dan juga beberapa artis tempatan seperti Search, Olan dan Legasi.

Walau sepadat mana pun aku diisi, aku tetap setia berada di dalam bilik itu untuk berkhidmat kepada mereka.

Di dalam bilik itu, aku diletakkan berhampiran dengan sebuah tingkap. Bertahun lamanya aku berdiri di sini, terlalu banyak perubahan yang aku dapat lihat di luar tingkap itu. Aku tidak sedar, berapa lama aku berada di situ. Sehinggalah pada suatu hari, aku berasa badanku sakit. Salah seorang daripada tuanku memaku daun pintuku yang sudah mula tertanggal. Dia juga menampal kertas di bahagian dalamku kerana struktur dalamanku sudah mula menghasilkan selumbar - selumbar kecil akibat proses pereputan semula jadi yang berlaku. Mujurlah aku mempunyai tuan yang masih lagi mahu menggunakanku, walau pun aku semakin dimamah usia.

Terlalu lama aku berada di situ. Pada suatu hari, aku dipindahkan ke bilik lain. Rupa - rupanya, tuanku yang menggunakan aku kini telah dewasa. Dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan hatinya. Aku sedar, rupaku yang buruk ini tidak layak dijadikan perhiasan di dalam bilik pengantin. Namun aku bangga, kerana aku sempat melihat hari bahagia tuanku.

Kini, aku mempunyai seorang tuan baru. Juga seorang lelaki. Namanya Adzizi. Semasa aku baru berada di dalam rumah ini, dia masih lagi belum pandai berjalan. Kini, dia berada di sekolah menengah. Sama seperti kedua-dua abangnya, di juga kerap menyepahkan isi perutku. Tapi aku gembira, kerana dia selalu membaiki badanku.

Tapi aku tahu, walau pun dia selalu membaiki badanku, aku sedar, aku tidak mampu melawan takdir alam. Tubuhku semakin mereput. Lapisan papan nipis di bahagian paling luar yang menjadi kulitku sudah mula tertanggal, menampakkan isi badanku yang berwarna perang muda.

"BUPP!!"

Tempat simpan baju di dalam badanku tertanggal. Paku yang memegangnya sudah berkarat. Aku sedar, riwayatku hampir berakhir. Tiada apa yang mampu menghalangnya, dan aku pasti, saat itu akan tiba.

Suatu hari, isi perutku terasa berkurangan. Budak lelaki itu mula mengosongkan isi perutku. Aku tahu, sudah tiba masanya untuk aku menamatkan tugasku. Badanku sudah tidak mampu lagi menampung beban yang dikenakan.

Aku ditempatkan di tapak pelupusan sampah. Badanku kini dibasahi air hujan. Hanya cermin yang ada pada badanku masih kekal bertahan dan masih berada di rumah tuanku. Biarlah. Sekurang - kurangnya sebahagian daripada diriku masih lagi berada dan berkidmat untuk keluarga itu.

Sekian.

Bersambung.

Aku...

Wednesday, July 6, 2011

Aku dan Kosong

Hanya tersadai pada penyangkut di penjuru bilik. Berhabuk, sifat sehelai kain sepi itu. Sudah agak lama sebidang kain sederhana tebal itu tidak terusik. Sesekali, kuluangkan masa senggang di dalam bilik ini, berehat. Buku-buku masih banyak lagi, belum dikeluarkan dari kotak. Belum lagi dengan baju yang digulung kemas di dalam haversack, semuanya perlu dikeluar dan dikemaskan.

Bertahun sudah berlalu, akhirnya aku kembali semula ke tanah tumpah darahku ini. Rasanya baru semalam aku keluar dari rumah ini dan tanpa sedar, hampir 2000 hari telah berlalu. Jejak langkahku yang pernah ada di tanah ini menghilang kembali merekah. Tempoh yang cukup untuk mendewasakanku.

Gelap. Cahaya matahari yang masih putih dan muda di timur horizon kampung masih belum sampai ke dalam bilik ini. Yang pasti, tidak banyak manusia yang bangkit seawal itu. Hanya ayam-ayam kampung yang berkokok bangun, setia mengejutkan penghuni kampung. Aku bangun dari katil, menghidupkan lampu dan duduk di atas kerusi yang berhadapan dengan cermin.

Migrain datang lagi. Berdenyut-denyut di bahagian pelipis. Mungkin disebabkan keadaan yang agak dingin, memandangkan kedudukan kampungku yang terletak paling hulu sungai.

‘Demam?’

Di dalam cermin, hanya ada sepotong wajah lesu, dengan sepasang mata yang layu kemerahan. Kumal. Rambutku sedikit menggerbang, kugosok sedikit dan puas, melihat rambutku yang serabai dan tidak kemas itu. Betapa aku tidak terurus sekarang.

Dulu, malamku dihidupkan dengan aktiviti gila-gila bersama teman rapatku. Selalu juga tertinggal seruan Tuhan, yang menjadi pertaruhan utama untuk menyabung nasib di alam kubur nanti. Balik ke bilik, selalunya aku akan terus tidur. Entahlah. Hidup bagiku adalah sesuatu yang aku gunakan untuk bergembira, sementara aku masih muda dan sihat. Assignment pula entah ke mana. Ponteng kelas? Jangan cakaplah. Hidupku benar-benar hilang dalam malam. Sesat, tanpa cahaya yang terang di telapak tangan.

Aku pernah menjadi seorang Islam yang lalu di hadapan masjid, dan apabila azan dilaungkan, aku hanya berada di luar masjid, meneruskan perjalanan ke arah tujuanku, tanpa singgah menunaikan sesuatu yang difardukan 1400 tahun yang lalu. Aku cuma melihat manusia berpusu-pusu ke arah saf pertama menerusi pintu-pintu besar masjid yang terbuka luas.

Sesat di jalan yang terang, sesat di jalan yang gelap, kedua-duanya sama bagiku. Tiada beza. Lagu-lagu emo jadi teman dan hafalan. Setiap hari, baju-baju yang aku pakai semuanya berwarna hitam, sampaikan pernah seorang kawanku menegur, kerana mereka tidak pernah melihat aku menggunakan baju warna lain selain hitam.

Dalam beberapa ketika ini, aku selalu menangis. Terlalu banyak perkara yang mengganggu pemikiranku. Baru aku sedar, walau pun ini sikapku, DIA amat menyayangi hamba-Nya ini. Pernah satu hari aku datang ke masjid itu pada waktu Zuhur, aku berada pada saf yang agak belakang. Sebelum memasang niat, aku berdoa agar aku dapat menunaikan solat dalam saf pertama di masjid yang selalunya penuh sehingga empat lima saf setiap waktu solat. Setiap satu saf mungkin boleh mencapai 120 orang makmum.

Mungkin agak mustahil, tetapi alhamdulillah. Aku dapat juga berada di saf paling hadapan pada hari yang sama. Terlalu cepat DIA memakbulkan doa aku. Mungkin, DIA ingin membuatkan aku rasa diterima, di kalangan hamba yang beriman dan yakin pada-NYA.

Dan kini, 24 tahun sudah usiaku. Dan hari ini telah banyak mengajarku tentang erti kehidupan. Aku telah lama membuang masa dan waktu... Hanya daun kering yang sudah retak dan gugur di sepanjang laluan itu menjadi teman. Aku ingin kembali padanya, dengan rasa rindu dan iman di hati. Sebidang kain sejadah itu tidak akan berhabuk dan sepi lagi.

Kerana aku tidak mahu tersungkur di pintu syurga...

Monday, July 4, 2011

Never Been Published Before...


Kelas...


Fiona. Kelas Geoteknik Tahun 3


SEMKA


Assignment IS


Sebelum kelas Highway Tahun 2(Kurus-kurus ye korang kat sini...hehe...)



Dinner Sabahan Nite


Puan Besar dengan Encik Driver..
Time nak pegi CoolBlog kat Giant Taman Seri Pulai


Assignment WQM


Ariffin @ Makam Laksamana Bentan, Kota Tinggi


P19


Tempat Recycle


Tengok wayang kot! dah lupa dah.. haha



Jusco Taman U, 1st week tahun 4


Cengal. Sila Zoom kat kaki kanan beliau.


Pantai Mersing. Assignment WQM. Bulan puasa.


Karaoke kat ....ntah...lupa...haha


Pesta Konvo Carlio


Pinjam buku dari librarian: Encik Kucing


Kereta Ana eksiden. Seminggu lepas Konvo.


Presentation PSM Carlio


My last day. Airport Senai. Dark Mode...sebab lawan cahaya matahari kat luar.