Wednesday, January 5, 2011

Abah...Tunggulah Sekejap...



Selasa, 5 Januari 1948

5 Safar 1366

Di sebuah rumah di pinggir kampung, seorang wanita sedang melawan kesakitan untuk melahirkan anaknya. Dengan bantuan bidan kampung dan beberapa orang jiran tetangga wanita, wanita itu akhirnya berjaya melahirkan anak kelima dalam keluarganya, dan anak itu ialah abah.

Abah membesar dalam persekitaran dan suasana kampung bersama tiga orang abang, seorang kakak dan dua orang adik, seorang lelaki dan seorang perempuan. Di rumah kecil beratap nipah itu, abah bermain, belajar dan berkahwin.

Kampung Hilir, itulah nama kampung abah. Terletak di bahagian ketiga, Sri Aman Sarawak, abah memasuki alam persekolahan pada tahun 1955 pada usia tujuh tahun. Sekolah Rendah Kerajaan Abang Aing, sekolah rendah yang pertama didirikan di kampung itu menjadi tempat abah belajar membaca dan mengira.

Hidup abah sekeluarga tidaklah senang. Keluarga abah hidup susah. Datuk seorang petani, manakala nenek seorang suri rumah. Di rumah papan seluas 15 kali 9 kaki itulah mereka berteduh dari panas dan hujan selama datuk dan nenek mula mendiami rumah itu seawal usia perkahwinan mereka mencecah tahun yang kedua. Disebabkan kehidupan keluarga abah yang sukar, dan hanya mengharapkan pendapatan datuk yang tidak seberapa, abah seringkali menangguhkan bayaran yuran persekolahan kepada guru kelasnya. $2.00. Itulah nilai yuran yang perlu dibayar setiap tahun termasuk harga buku rampaian sekolah.

Untuk ke sekolah, abah akan berjalan kaki hampir sebatu dari rumah dengan berkaki ayam. Untuk membawa buku ke sekolah, datuk mengubah suai tin minyak tanah dengan memasang tali untuk memudahkan abah membawa tin minyak itu ke sekolah. Tiada apa yang perlu dimalukan pada ketika itu, kerana murid-murid sekolah juga melakukan perkara yang sama. Cuma ada yang bernasib baik, membawa bakul rotan atau kayu ke sekolah untuk menyimpan buku sekolah.

Abah cakap, kami semua beruntung kerana di zaman ini, semua barang boleh didapati kalau hendak dibandingkan dengan zaman dahulu. Kawan zamannya dahulu, biarpun dari golongan yang agak berada, sukar untuk mendapatkan peralatan sekolah, kerana kedudukan kampung mereka yang agak jauh dari kawasan bandar. Hendak memakai seluar pun mesti menggunakan tali guni untuk mengikat pinggang seluar. Baju pula tiada banyak pilhan warna, yang ada cuma putih dan hitam, atau pun kain belacu.

Meski pun rumah abah berdekatan dengan sungai, keluarga mereka tidak mengunakan air sungai untuk kegunaan harian. Nenek selalu menyuruh abah mengambil air di telaga berdekatan bukit di sebelah sana kampung berdekatan dengan kubur. Kata abah, dia sudah biasa dengan kawasan kubur itu, tiada lagi rasa gementar dengan kawasan yang selalu dikaitkan dengan kejadian mistik itu. Kata abah lagi, dalam sehari, dia akan ke sana mengambil air telaga sehingga tiga empat kali. Agak jauh jaraknya dari rumah, kira-kira suku batu. Itu yang selalu abah katakan kepada kami jika kami mandi terlalu lama atau membazirkan air di halaman rumah.

Abah selalu cakap, kami selalu membazirkan makanan. Dia selalu bercerita tentang zaman kecilnya kepada kami. Abah selalu berharap agar dia selalu dapat tambah nasi dan lauk jika makanan di dalam pinggan ayannya sudah habis. Dan katanya lagi, dia dan adik beradiknya selalu menghadiri majlis atau kenduri kahwin kerana hanya waktu itulah dia dapat makan banyak, sedap, dan yang penting, percuma, jika kami tidak mahu mengikut abah ke kenduri yang diadakan. Tambah abah lagi, kalau lambat, habislah makan, dan abah akan balik ke rumah dengan perut kelaparan.

Di waktu lapang, abah selalu memancing ikan di sungai di belakang rumahnya. Sungai Skrang, yang sering menjadi bualan penduduk sekitar tentang keganasan buaya yang menjadi legenda negeri Sarawak sehinggalah sekarang, Bujang Senang. Sebab itulah abah melarang kami semua mandi sungai, walau pun di kampung aku ada sungai yang bersih dan cetek, tidak seperti Sungai Skrang yang besar, lebar, dan dalam. Abah larang kami sebab dia takut kami akan lemas atau dimakan binatang di dalam air. Abah pernah bercerita, dulu, datuk dan tiga orang rakannya pernah menangkap seekor ikan labang sebesar perahu. Penat datuk mengejar ikan itu, dari hujung kampung ke hujung kampung. Kalaulah ikan boleh membesar seperti itu, apatah lagi Bujang Senang. Sebab itu kami adik beradik tak tahu berenang.

Abah juga selalu berkata, inilah buah macang. Buah yang selalu tumbuh di kawasan kubur sekiranya kami pergi ke Pasar Minggu, atau pun menziarah kubur arwah datuk dan nenek sewaktu aku masih bersekolah dulu. Katanya, buah itu bergetah, jangan dipegang. Susah hendak hilang.

Semasa menziarahi kubur datuk dan nenek di hari raya, abah selalu bercakap pada kami, datuk dulu seorang yang garang. Datuk selalu memukul abah kalau abah buat salah. Tapi aku tahu abah sayang pada datuk. Aku dapat lihat abah menangis semasa membaca surah Yaasin di hadapan kubur datuk dan nenek. Tetapi, kata abah lagi, walau segarang mana pun datuk pada abah dan adik beradiknya yang lain, datuk sangat sayangkan cucu-cucunya. Jika datuk melihat anak-anaknya mencubit cucunya, dia sendiri akan memarahi anaknya, dan akan memujuk cucunya yang merajuk. Kalau datuk masih ada, mungkin dia akan sangat sayang dan manjakan kami, kata abah.

Abah mencium kayu yang dijadikan nesan datuk dan nenek. Sudah berlubang-lubang dimakan semut dan anai-anai. Reput terkena air hujan, sudah bertahun lamanya mereka berdua meninggalkan abah dan adik beradik.

Disebabkan kesempitan hidup, abah tidak dapat menghabiskan persekolahannya. Abah berhenti pada pertengahan darjah dua. Setelah berhenti, abah menolong datuk di kebun dan ladang, menanam padi huma dan menanam sayur. Banyak yang abah pelajari tentang teknik pertanian dari datuk, paling mengejutkan aku, abah tahu memindahkan genetik baka baik sesuatu pokok ke satu pokok yang lain.

Setelah berusia 15 tahun, abah membuat keputusan untuk berhenti menolong datuk. Abah cakap pada datuk, abah nak kerja sebagai office boy. Datuk memberi kebenaran pada abah, kerana sudah tiba masanya untuk abah berdikari. Lagipun, abah seorang anak yang rajin membantu ibu bapanya. Gaji abah cuma $ 10 sebulan. Abah bahagikan kepada datuk, nenek, perkakasan rumah, dan semua anak saudaranya yang masih bersekolah. Abah cakap, walau pun kita tak berduit, tapi kongsilah apa yang kita mampu. Anak saudara abah, iaitu sepupu aku, selalu meminta dari abah untuk membelikan mereka beg sekolah baru. Abah sangat memanjakan mereka, kerana dia tahu keperitan hidupnya zaman dulu. Biarlah dia tak ada apa-apa, asalkan dia dapat melihat kegembiraan di wajah keluarganya.

Namun gelora darah muda juang abah sentiasa membakar dirinya. Genap umur 18 tahun, abah memohon untuk menjadi askar. Abah dapat, dan abah ditugaskan menjadi askar darat. Kebetulan, kawasan kampung abah semakin maju. Terdapat sebuah kem askar dibina di situ. Itulah yang membangkitkan semangat abah untuk menjadi wira bangsa, tambahan pula, pada tahun sebelum tahun 1966, tahun sebelum abah memohon untuk jadi askar, konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia diadakan, membantah pembentukan Malaysia yang berakhir pada tahun 1965 setelah kejatuhan pemerintahan Presiden Soekarno kepada Presiden Soeharto. Banyak juga askar Indonesia yang ditahan, dan di waktu itu juga, masih ada sebilangan komunis Bintang Tiga yang mendiami kawasan hutan. Kata abah lagi, semasa di sekolah, dia akan menyanyikan lagu God Saves the Queen dan kini, dia menyanyikan lagu Negaraku.

Abah cakap, dia bangga, kerana akhirnya dia dapat berkhidmat pada negara. Datuk dan nenek juga gembira, melihat abah segak berbaju seragam celoreng hijau. Di waktu itu, memang ramai pemuda yang cemburukan abah. Abah ada ramai teman wanita, bekerja tetap, dan yang paling penting, abah seorang askar. Abah mula membuang tabiat mempunyai ramai teman wanita selepas menyertai askar. Abah cakap, janganlah biarkan perempuan mengganggu tugas kita. Kalau nak, kahwin sahaja. Lagi pun, disiplin dalam askar sangat penting.

Abah kesunyian. Abang dan juga kakaknya sudah pun mendirikan rumah tangga. Hanya anak saudaranya yang menjadi bahan dan teman di kala dia menjenguk kembali ke rumah datuk dan nenek.

Pada suatu hari, nenek menangis. Datuk juga terdiam. Abah kata, dia akan bertugas di Malaya, atau lebih tepat lagi, di Perak. Jaranglah hendak berjumpa. Nenek pesan supaya abah berhenti. Tapi abah enggan, katanya ini tugas pada negara. Datuk hanya menggangukkan kepala. Mengiyakan. Nenek bimbang, anak bujangnya masih belum berkahwin, dan takut pula terjadi sesuatu yang tidak diingini di negeri orang.

Jun 1971.

Mimpi ngeri nenek jadi kenyataan. Berita dari pegawai kanan askar itu membuatkan nenek menangis tak henti-henti. Abah hilang di hutan selepas bertempur dengan komunis. Hanya sikat rambut milik abah ditemui tidak jauh tempat kumpulan mereka diserang oleh komunis. Pegawai kanan itu berkata pada datuk dan nenek, siapkanlah keranda, kain kafan dan bacalah surah Yaasin, kerana peluang untuk abah hidup sangat tipis. Abah juga mungkin diculik komunis.

Perak

Abah cedera parah di belakang sebelah kanan akibat ditembak musuh. Ibu jari kirinya pula sipi kena peluru. Abah pura-pura mati untuk mengelirukan pihak komunis yang memenangi pertempuran antara kumpulan kecil itu. Selepas mereka pergi, abah merangkak keluar dari kawasan itu, bimbang mereka akan kembali semula. Abah hanya sempat melihat ketua paskannya, Kapten Chandran yang berbangsa India terkorban akibat ditembak tepat pada dahinya.

Namun, arah tujuan abah salah. Dia semakin hampir kepada kem komunis. Hanya beberapa ela daripadanya. Abah kata, di tangannya ada sebutir grenad. Dia ingin memusnahkan musuh negara yang sedang berehat itu. Tapi abah berfikir panjang. Abah tidak mampu melontar grenad itu. Kalau salah, abah pula yang menjadi korban. Abah merangkak dari situ, tapi abah sedar, dia tidak mampu merangkak jauh, kerana keadaannya semakin lemah. Ulat-ulat sudah mula memakan daging dadanya. Dia menjadi mayat hidup. Dia teringat pesan datuk, jika dalam kesusahan, mintalah dari Yang Maha Esa. Abah berdoa pada Allah, abah minta supaya Allah menurunkan hujan, biarlah hujan turun menghilangkan kesan darah pada lantai hutan. Dan abah juga berdoa agar hujan itu turun supaya abah boleh menghilangkan perasaan hausnya.

Allah Maha Besar dan Maha Penyayang. Hujan turun tidak lama selepas itu. Allah makbulkan doa abah.

Sri Aman

Datuk cakap dia sakit gigi. Nenek pula marahkan datuk yang garang kerana bagi alasan itu hanya sebab takut naik kapal terbang. Kata datuk, dia mahu naik kapal laut. Nenek pula cakap, paling sekejap hendak sampai ke Malaya pun seminggu. Nenek cakap, bulu kening datuk lebat, menakutkan anak dan cucu, tapi penakut. Abah telah dijumpai setelah dua hari dua malam hilang di hutan oleh sekumpulan askar yang mencari saki baki askar yang tinggal. Askar yang jumpa abah cakap, badan dia penuh dengan ulat hidup.

Kasih sayang seorang ibu tiada taranya. Meski pun nenek takut kerana tak pernah naik kapal terbang, dia sanggup meredah angkasa bertemu dengan anaknya di Malaya. Nenek gembira kerana anaknya masih hidup. Dalam hati nenek, dia ingin mengahwinkan abah selepas anaknya sembuh nanti, biarlah abah sempat tinggalkan waris.

1972

Abah cakap dia jatuh pada hati pada seorang perempuan, anak polis yang berambut kerinting. Itu mak aku. Selepas mengalami kecederaan, abah direhatkan agak lama. Ketika itulah abah bertemu dengan mak yang baru berpindah ke Sri Aman. Abah sampaikan hasratnya kepada datuk. Tapi, adik abah, yang juga kawan rapat mak cakap pada abah bahawa mak selalu dipinang orang. Tetapi semuanya ditolak. Dia suruh abah pergi mengenali mak sebelum meminang. Datuk meminang mak untuk anak kesayangannya.

Memang jodoh mereka. Abah ditunangkan dengan mak pada usia 24 tahun dan mak, 21. Tiga bulan sahaja usia pertunangan mereka sebelum dinikahkan. Kata abah, bukannya dia tak tunang lama-lama, tapi dia cakap akan kembali bertugas di Malaya. Sebab itulah mereka kahwin pada tahun yang sama, walaupun pernah berjanji untuk bertunang selama setahun.

Suatu hari, abah balik ke rumah. Abah diam. Mak rasa pelik dengan ikap abah, kerana abah selalunya akan bertanya khabar anak-anaknya di rumah. Kata abah pada mak, abah ada kerja penting. Runsing sedikit. Rupanya, datuk meninggal ketika abah di tempat kerja. Nenek pula meninggal tak lama selepas itu. Abah sedih, tetapi mak cakap, abah tak menangis. Abah hanya melipat beberapa helai bajunya termasuk baju askarnya ke dalam beg untuk dibawa balik beberapa hari.

Abah bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 1988.

Abah selalu cakap, yang dia kalau boleh tak berpisah jauh daripada mak. Bayangkan, mak baru sejam tinggalkan rumah untuk balik rumah nenek, abah sudah sibuk-sibuk menyuruh kami menelefon mak. Katanya, bukan dia tak nak telefon, tapi matanya tidak dapat melihat dan menekan butang nombor pada telefon bimbit. Halus benar nombornya. Aiseh… cakap je rindu, tapi malu…

Pada usia perkahwinan abah dan mak ke 29, mereka dikurniakan seorang cucu hasil perkahwinan abang sulung aku. Abah cakap dia sangat gembira menerima cucu perempuan itu. Abah sanggup ke Pulau Pinang menjenguk cucunya seorang diri.

Selepas aku tamat peperiksaan SPM, abah menyuruh aku untuk mengambil lesen motosikal. Abah cakap, nanti senanglah kalau hendak sambung ke tingkatan enam, tidak perlulah abah hantar ke sekolah setiap hari. Abah pesan, jangan bawa motosikal laju-laju. Abah selalu pegang bahu atau pinggang aku kalau abah jadi pembonceng, duduk di belakangku di atas motosikal. Aku tahu, abah mungkin masih tak percaya yang aku sudah boleh menunggang motosikal. Abah masih lagi anggap aku berumur lima enam tahun, duduk di depannya semasa menunggang motosikal. Mungkin sebab aku anak lelaki bongsu dalam keluarga. Ke mana pun aku pergi, mesti abah tanya. Kadang-kadang, aku bosan mendengar soalan abah.

Pada tahun 2002, kakak aku mendapat tempat di universiti. Kata abah, tak sia-sia dia berhenti sekolah semasa darjah dua, pengalaman hidup susah itu menjadikan abah gigih membesarkan kami. Aku pula dapat keputusan yang agak baik dalam PMR, kakak aku pula, Gred 1. Pada tahun 2005 dan 2006, kakak dan aku pula mendapat tempat di UiTM dan UTM.

Abah gembira melihat kedua orang kakak aku memakai jubah konvokesyen di USM dan UiTM pada Ogos 2007 dan November 2008. Mak pun sama. Aku tahu abah ingin menangis, tapi kegembiraan mengatasi perasaan itu.

Oktober 2007

Abah kini berusia 59 tahun. Abah disahkan mengidap penyakit jantung. Pergerakkan abah semakin lemah setiap hari. Hendak berjalan pun terasa semput. Abah tak boleh jalan jauh. Aku tiada ketika itu, aku di kampus, bersiap sedia menghadapi peperiksaan akhir semester. Doktor kata, abah ada peluang 7% untuk hidup, kerana kes biasa yang ditemui, pesakit akan mengalami tiga salur darah tersumbat, tetapi, abah ada empat. Mak cakap abah diam. Mak tak tahu apa yang abah fikirkan. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam fikiran abah.

Mak suruh aku balik, tapi masa abah nak kena bedah nanti, aku ada peperiksaan subjek Geoteknik.

Aku ambil keputusan tak balik. Kakak menelefonku dari Kuching, dan abah ada memberikan aku sedikit kata-kata:

Abah pesan, jangan bimbang. Jawablah periksa dengan hati yang tenang.

Aku masuk ke dewan peperiksaan pada jam 9, pada waktu yang sama abah aku masuk ke dewan bedah.

5 Januari 2011

30 Safar 1432

Hai, nama aku Zizi.

Tapi, aku masih ingat lagi, hari ini ialah ulang tahun kelahiran abah ke 63.

Secara jujurnya, aku sudah lupa bagaimana abah aku mendukung aku ketika aku masih kecil dulu. Aku sudah lupa, bagaimana abah membawaku berjalan dengan motosikal Yamaha 110 hitamnya dulu dan bagaimana abah membancuh air susu untuk aku masa masih kecil dulu. Aku sudah lupa bagaimana kasarnya tangan abah yang selalu kerja keras semasa bersalaman di hari raya. Sudah lama aku tidak balik berhari raya bersama abah dan mak. Aku juga sudah lupa apakah tradisi hari raya keluargaku.

Aku bosan dengan soalan abah, tapi abah sentiasa betul. apa yang abah katakan semuana betul. Sebab dia adalah abah aku.

Tapi aku masih ingat, aku pernah melakukan semua itu bersama abah.

The End.

موڠكين اكو ترلالو جاٴﻮﻩ اونتوق ديريندوٴي


Apakah moral yang korang dapat dari cerita ini? Sila tuliskan komen anda. Jika anda suka, sila tekan butang Nuffnang di bawah ini. Terima Kasih :)




4 comments:

SeMeRah said...

masa , tempat mungkin berubah..tapi ade yg x akan berubah

kedahgurlz said...

huu mis my dad =(

ag dzuladzeezy said...

semerah-kalaulah masa itu boleh kita kembalikan....
kedahgurlz-sabar2 :)

Amna.Qadeeja said...

kasih bapa tiada berpenghujung..beliau adalah bapa terbaek utk kamu.. hargai beliau sebgaimana beliau jaga kamu sedari kecil..
selamat hari lahir utk abah..semoga pnjg umor dan dimurahkan rezeki selalu,Amin.. =)