Monday, December 27, 2010

Meninggalkanmu... The Literature Explanation Based on Scientific Judgement


“Saya nak pindah tahun depan. Korang jagalah diri baik-baik.”

Itulah sembilan perkataan terakhir yang Cec luahkan di hadapan kami semua sebelum dia bangkit dari kerusinya. Sedih juga aku mendengarnya. Sebenarnya, aku dah lama tahu, Cec sendiri yang beritahu aku. Cec ialah kawan perempuan yang aku paling rapat di kelas tingkatan 1F. Cec akan berpindah ke Miri, Sarawak.

“Apa? Cec nak pindah?” Jerit Dia di tepi telingaku.

Cisss… minah ni. Entah dari mana dia datang. Cakap pelan-pelan tak boleh ke? Sedang aku mengelamun tadi, datang pulak dia. Selalunya, Dia pasti menjadi orang terakhir yang akan tahu tentang berita-berita panas seperti ini. Yelah, dia selalu sangat keluar ke tandas, tak pun ke bilik kaunseling, sampaikan pernah sekali dia baru tahu selepas seminggu berita disebarkan. Nasib baiklah aku ada hati pada dia, kalau tak, sudah tentu aku menjerit pada dia balik. Frekuensi suaranya sekuat 160dB melantun masuk terus ke osikel melalui salur auditori sudah cukup menggegarkan otakku seketika.

Cec ialah ketua kelas 1F. Dan dia merupakan ketiga yang dilantik pada tahun itu sebagai ketua kelas kami. Kebanyakkan ketua kelas kami berpindah ke sekolah lain. Dan yang pasti, semua yang pernah dan sedang memegang jawatan sebagai ketua dan penolong ketua kelas adalah perempuan. Lelaki? Lelaki dalam kelas aku tak banyak, bilangan paling sedikit lelaki dalam kelas di seluruh sesi petang, cuma ada 10 orang, termasuklah aku yang membentuk 25.6% daripada 39 orang pelajar yang menjadi penghuni kelas itu.

Pening jugak masa tu, yelah, tahun depan nak masuk tingkatan 2, sapa yang nak jadi ketua kelas? Hm… nak suruh Dia, budak tu pulak dah dilantik untuk menyertai ahli lembaga pengawas. Lagi pun, dia selalu sibuk dengan hal-hal kelab dan persatuan yang dia sertai. Yang lain semua macam kelabu asap. Termasuklah si penglipur lara ni...

Walau bagaimanapun, hujung tahun 2000 itu adalah saat yang paling aku tak dapat lupakan. 220 hari bersama mereka, terlalu banyak kenangan yang aku dan mereka indahkan.Dengan keputusan peperiksaan yang semakin meningkat, dapat meluangkan masa bermain board games dengan kawan-kawan sekelas, dan buat sesuka hati di dalam kelas. Keadaan huru hara hanya berlaku semasa ketiadaan guru masuk ke kelas. Paling aku tak dapat lupakan, seorang kawan aku, budak perempuan berketurunan Cina Hakka tiba-tiba keluar dari pintu keluar dan menjerit selepas peperiksaan. Dan dijadikan cerita, masa tu, penyelia petang, Puan Wong sedang berjalan di hadapan bilik tingkatan 1F. Tak pasal-pasal kawan aku tu kena leter. Yelah, tengah orang tua tu berjalan, dia pulak jerit kat depan-depan muka. Siapa tak terkejut. Nasib baiklah Puan Wong bercermin mata dengan bingkai emas yang berusia 49 tahun tu tak ada penyakit lemah jantung. Kalau tak, dah lama dah masuk hospital. Tapi bukan hospital di hadapan sekolah. sebab hospital di depan sekolah hanya untuk pesakit mental. Hehe.

Rupa-rupanya kawan sekelas aku tu seorang yang ceria orangnya. Bukanlah disampuk jin atau mambang tanah yang menyurupi badannya semasa mengalami ketegangan sewaktu peperiksaan. Selalunya, cerita sebegini agak popular di sekolah memandangkan dua buah perkuburan baru dan lama cuma bersebelahan. Tambahan pula, ada sebuah rumah peninggalan askar Jepun yang digunakan untuk menjatuhkan hukuman kepada orang yang melanggar undang-undang di zaman itu.

Imbas kembali tahun itu, banyak yang aku ingin ceritakan. Dari hari pertama, sehinggalah hari terakhir persekolahan di tingkatan 1. Dan semasa hari perjumpaan ibu bapa dan guru yang diadakan pada bulan Mei, guru kelas akan melaporkan tentang disiplin, kegiatan dan sudah tentu, kemajuan dan pencapaian akademik pelajar dalam peperiksaan. Sehari sebelumnya, aku dan semua pelajar sesi petang akan mengemaskan kelas untuk persediaan ibu bapa pelajar sesi pagi dan petang untuk menghadiri perjumpaan itu. Bagi akulah kan:

1. Masa yang diambil untuk aku mandi

= 15 minit

2. Masa untuk pakai baju dan bersiap

= 15 minit

3. Masa untuk tunggu kakak dan abah aku bersiap

= 10 minit tambah dari masa aku bersiap(assume mandi dan bersiap pada

waktu yang sama dengan aku)

4. Masa panaskan enjin kereta

= 5 minit

5. Masa perjalanan + kesesakan lalu lintas+ susah cari tempat letak kereta

= 20 minit

6. Jalan kaki kelas

= 10minit

Σ 85 minit

Masa yang digunakan untuk jumpa dengan guru kelas = 10 minit

Dengan masa pertemuan antara guru kelas dan ibu bapa kurang daripada 10 minit, aku membuat keputusan untuk tidak memberitahu abahku mengenai perjumpaan itu. Malah, pekeliling yang pihak sekolah edarkan pun aku tidak sampaikan kepada ayahku. Aku gunakan untuk tujuan kitar semula. Buat bakul kertas. Ingat tak lagi macam mana nak lipat bakul kertas?

Entahlah, aku sendiri pun dah lupa, namun, pembaziran masa yang tidak efisien dan relevan dapat dilihat berdasarkan apa yang berlaku di situ. Nak jumpa punyalah sekejap. Lagipun, malas nak menyusahkan dia, Sabtukan kerja setengah hari. Kakak aku yang sedang berada di tingkatan 3 juga hanya mendiamkan diri.

Takkan aku nak bawa abah aku ke sekolah melihat buku kemajuan peperiksaanku yang berbagai bagai gred tu. Dari A sampai ke D. Semua ada, kecuali E! Segan juga kalau-kalau Puan Koni bagi nasihat percuma a.k.a ‘sound’ dekat aku depan abah supaya aku belajar bersungguh untuk peperiksaan yang akan datang. Nama je dapat tempat ketiga dalam peperiksaan kedua ni, tapi semua gred ada. Nasib baik warna biru sahaja. Haha!

Dan pada hari sebelum perjumpaan tu, sudah tentulah satu sekolah tiada kelas, memandangkan pihak sekolah mengarahkan semua kelas bersiap sedia sebelum hari perjumpaan itu.

Soal angkat mengangkat kerusi dan meja, masa paling lama diperlukan lebih kurang sejam, termasuklah menyapu lantai dan mengelap tingkap. Kalau aku tak silap, tugas aku adalah mengelap tingkap dengan menggunakan sehelai kain buruk warna putih. Hurm, aku pun tak tahu, dari mana rakan sekelasku bernama Ho itu mendapatkan kain buruk itu. Sudah jadi lumrah budak kelas aku, ada banyak perkara yang tiada jadi ada. Seperti ilmu magis. Agak mustahil, kerana tiada siapa di antara kami semua mempunyai kemahiran seperti Harry Potter. Puan Koni pun macam tu juga. Selalunya, dia akan mengiyakan tindakan kami, dan ayat kegemaran aku yang keluar dari mulut dia:

"Tak pe, awak ambik je, jangan kasi orang nampak sudah."

Atau pun,

“Kita antara kelas terbaik di dalam tingkatan 1 ni. Jadi, kalau awak ada sesuatu yang nak buat atau nak guna, pastikan perkara tu tak salah.”

Aku, setelah habis mengelap tingkap yang rasanya hampir setahun tak dicuci(mungkin senior buat perkara yang sama jugak kot), duduk di sebuah kerusi plastik, di tempat asal meja dan kerusi aku diletakkan. Dan macam biasa, aku, Jiman, Hanif dan Awang, dan kawan-kawan perempuan, antaranya Cec akan duduk bersama. Bersembang, bertanya tentang hal diri masing-masing. Cec, yang aku tahu dari waktu itu, dia berketurunan campuran, ayahnya India, ibunya pula Cina. Bapanya pemilik toko runcit di kem askar yang berada tidak jauh dari sekolah kami. Hanif, ada dua orang adik beradik, Awang, suka melukis, dan Jiman, suka mengumpul sticker pokemon dan seorang yang poyo. Selalu sangat merepek benda yang bukan-bukan.

Selalunya keadaan akan menjadi meriah dengan kehadiran Jiman dan Awang, yang suka mengenakan Hanif yang bersikap agak lurus itu. Tambahan memang sekelas dan tinggal di kampung yang sama. Aku pula, ambil keputusan berdiam diri. Kawan-kawan aku selalu berkata aku selalu bersikap aneh dan agak misteri. Selalu berkhayal dan mengelamun, walaupun aku ni bukan seorang yang pendiam bagi mereka yang rapat denganku.

Di kalangan teman rapatku, aku dipanggil Namoto. Jiman itulah menjadi kepala memanggil aku dengan nama itu. Dan secara tidak langsung, hampir satu kelas menggunakan nama itu untuk aku. Aku pun pelik, atas sebab apa aku dipanggil dengan nama Jepun itu. Kalaulah aku dinamakan sempena dengan nama pemain bola sepak Jepun pada Piala Dunia 1998 di Perancis,Hidetoshi Nakata, mustahil, kerana sangat jauh berbeza nama tu. Tak pun, mereka panggil aku dengan nama itu disebabkan nama Aji-Namoto. Haha.

Salah satu kegilaan budak sekolah aku kalau tak ada kelas ialah perang "Disco dust" a.k.a. serbuk kilat-kilat. Aku yang tengah mengelamun pun kena. Biasanya, aku memang tak akan masuk campur kalau ada di antara kawan-kawan aku bermain benda itu. Lagipun, Disco dust, memang dilarang di sekolah, selain cecair pemadam pen dan gula-gula. Adalah seorang dua dari budak sekolah yang kena tarik telinga dengan Mr. Lim, guru disiplin sesi petang yang garang itu. Haha, macam budak sekolah... eh, memang budak sekolah pun. Hihi.

Kemuncaknya, apabila ada pelajar membakar mercun, terutamanya pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti. Memang meriah sakan. Tapi, susah untuk cikgu dan pengawas sekolah hendak menangkap pelajar yang membawa dan bermain mercun itu, kerana terlalu ramai pelajar yang bersesak-sesak dan mereka yang membakar mercun yang mengandungi komponen 10% sulfur, 15% unsur karbon dan 75% kalium nitrat itu selalunya akan melarikan diri sebelum dilihat oleh sesiapa.

Petang yang agak panas, ketika itu aku hanya duduk sendiri di penjuru kelas. Semua penghuni kelas 1F masih lagi menyibukkan diri menghias kelas. Hanya beberapa orang pelajar yang selesai menjalankan tugas termasuk aku sedang berehat. Aku suka duduk di situ, di tempat. Melihat kawan sekolahku berbaju putih beseluar hijau lalu lalang ke kantin sekolah yang hanya 8 meter dari kelasku. Fesyen rap dan hip hop amat diminati oleh pelajar lelaki di sekolahku ketika itu. Berseluar londeh dan menggunakan beg sekolah berlogo NY memang menjadi trend dan ikutan oleh senior tingkatan 5 sehinggalah kepada junior di tingkatan 1 dan kelas peralihan. Sekali sekala, mereka bersiul sambil mengusik rakan-rakan perempuan mereka yang memakai gaun biru pendek melihat ragam budak perempuan berteman sehingga lima enam orang membawa baldi berisi air.

Selesakah berseluar londeh? Mengikut kajian sains dalam anatomi manusia, manusia mempunyai pinggang berfungsi untuk menempatkan tulang pelvis yang menyokong berat badan iaitu dari kepala hingga ke pinggang. Dan secara amnya, apabila pinggang seseorang manusia berasa tidak selesa, maka badan pun tidak akan berasa selesa. Yelah, tali pinggang diletakkan terlalu ke bawah, melampaui tempat yang sepatutnya.

Kebisingan kelas di papak konkrit tingkat atas menyusun dan menyeret meja kerusi sedikit mengusik pandangan mataku ke atas siling kelas. Kipas di kelasku dimatikan, membahangkan kelas yang sudah sedia ada panas. Low, pelajar Cina yang paling tinggi sedang membersihkan kipas.

Aku menekup hidungku. Aku mengalami alahan pada habuk dan juga debu. Bilah kipas yang sudah berkarat. Sentiasa berputar tidak lebih dari kelajuan tahap 3 dengan 75 revolution per minute. Itu sahaja yang mampu aku gambarkan, statiknya terganggu dengan penyapu yang diguna untuk membersihkannya. Mungkin selepas dibersihkan, rpmnya akan meningkat kepada 100.

Konsep fizik pada kipas itu aku amati. Dari mana rumus:

τ = r x f

Dengan τ ialah kilasan dengan unit , r ialah jejari objek dan f ialah frekuensi

Dan rumus rpm ialah

N = 1000v / 2π

N ialah revolution per minute dengan unit m s-1, v = Halaju(m s-1)

1000 ialah pemalar

π adalah pemalar dengan nilai 3.142 atau 22 / 7

dan dapatlah kita cari kuasa

Po (Watt) = 2π τ N

Didapati, P >>> Po

Po = Kuasa yang dihasilkan oleh putaran kipas

Andaian: Standard voltan di Malaysia ialah 240V dengan arus, kuasa dan rintangan bergantung kepada peralatan elektrik dan kabel yang digunakan itu sendiri.

Urgh...bekalan kuasa elektrik dalam kelas aku kecil sangat rupanya. Habis diagihkan secara sesiri ke semua kelas di blok tingkatan 1 ni. Sangat kurang daripada 240 V pun yang mengalir ke dalam kelas aku ni. Patutlah lampu malap, kipas pun perlahan semacam. Seksa berada di dalam kelas ini terutamanya pada jam 12.30 hingga 3 petang di sekitar pertengahan tahun.

Sesuatu yang mudah pada kipas itu, tapi mengambil masa yang lama menghasilkan persamaan fizik untuk menceraikan rahsia alam kepada manusia. Mungkin juga kipas itu berusia sudah hampir 20 tahun, karatnya semakin jelas kelihatan. Minta diganti. Tapi biasalah, sekolah yang dikenali dengan tahap disiplin yang rendah selalunya paling lambat menerima peruntukan.

Sedang aku melihat suasana kelasku yang agak sibuk itu, baru aku perasan, baju putihku sedikit kotor dihinggapi habuk semasa membersihkan tingkap tadi. Kukibas sedikit, berderai ikatan antara kepulan habuk itu. Hanya berubah bentuk, dan tidak pada sifatnya kerana ikatan kovalensnya masih ada. Tenaga Van der Walls yang ada padanya masih kuat mengikat zarah-zarah habuk kelabu itu.

Kalaulah aku menghentikan masa selama seminit...

Habuk itu terapung 2 kaki dari lantai. Seolah-olah pecutan graviti ke teras bumi selaju 9.81m s-2tidak mempengaruhi kehendak alam ke atasnya. Kecil, tetapi cukup banyak untuk mengelabui pandangan manusia menerusi tingkap majmuk itu. Hanya air dan kain menjadi musuh sejati habuk sekian lama. Memusnahkan habitat sang habuk yang sentiasa tidak tetap tempatnya. Menjadi gelandangan sepanjang hidup... Tempat hidup yang berlainan, tapi masih mempunyai ketulenan sifat yang sama.

Aku tak pernah berasa sekolah aku berasa senyap sunyi sebegini dengan kehadiran semua pelajar dan guru, melainkan waktu peperiksaan. Di waktu pembelajaran pula, hanya suara guru yang kedengaran sehingga ke sudut kelas, menerangkan kepada pelajar tentang pelajaran hari itu, di samping suara para pelajar sedang menjalani kelas Pendidikan Jasmani di padang sekolah. Semuanya seolah-olah menjadi arca di hadapanku, fikirku, bilakah masa ini akan kulihat sepanjang umurku. Aman dan tenteram. Juga tiada bunyi burung menciak membuat sarang di atas loteng kelas. Hanya bunyi senyap yang kudengar. Hanya nadi jantungku sedang berdenyut, yang ternyata, masih ada lagi yang bernyawa ketika itu.

Setiap yang mempunyai pergerakan akan menghasilkan gelombang. Demikian juga dengan jantungku ketika ini. Hanya ia yang menghasilkan gelombang ketika ini. Dalam diam, aku mulai berfikir tentang rahsia dan keagungan kuasa Allah S.W.T yang mencipta dan menyimpan ilmu fizik, iaitu Mekanik Kuantum dalam jasad manusia. Dan ilmu itu juga wujud dan tersembunyi di dadaku. Manusia hanya menyedari ilmu ini pada awal abad ke 20. Daripada makanan, tenaga kimia dijanakan untuk memberi kehidupan kepada jantung. Dan menghasilkan tenaga kinetik apabila berdenyut.

p = h / λ

dengan p = mv

maka mv = h / λ

p = momentum, h = pemalar Plank, λ = panjang gelombang, m= jisim objek, v = halaju

Hanya Allah S.W.T. yang mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Terlalu banyak ilmu yang disimpan dalam anatomi manusia, yang memerlukan masa untuk dihurai dan diterjemah dalam pemikiran. Meskipun hilang pada suatu masa nanti, ilmu itu akan masih tersimpan rapi dalam jasad manusia, yang menunggu masa untuk dibongkar kembali.

Keadaan kembali hinggar. Semuanya agak ceria di petang itu, ya, mungkin sekali hari ini ialah hari terakhir persekolahan sebelum sekolah mula bercuti selama dua minggu. Semuanya berwajah gembira dan lega. Mungkin disebabkan sudah tamat peperiksaan. Paling penting, perayaan hari Gawai di Sarawak yang disambut selepas tamat musim menuai padi akan tiba tak lama lagi, 1 Jun, yang jatuh pada minggu hadapan. Kawan-kawan sekelasku yang berbangsa Dayak, iaitu gabungan kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain, masing-masing bertukar-tukar kad ucapan. Dan masa inilah bagi mereka untuk bergembira. Bila lagi masanya untuk membeli belah pakaian yang berjenama pada harga diskaun kalau bukan masa perayaan.

Aku duduk bersandar. Kepalaku mengenai dinding konkrit setebal 25 mm. Agak selesa untuk meletakkan kepala pada sudut 45 darjah di atas dinding itu. Lenguh tengkukku ketika mengelap bahagian tingkap yang tinggi tadi perlu diredakan. Agak berat rasanya untuk mengangkat kepalaku. Mujurlah dinding konkrit dengan kekuatan am 45 Newton/ mm2, dan lepa konkrit 5 mm ini cukup keras untuk mengelakkan aku berasa lebih selesa melelapkan mata di waktu petang yang semakin redup itu. Tambahan pula keadaan bising di blok yang memuatkan 13 buah kelas tingkatan 1 ini. Dan daya yang dikenakan oleh kepalaku kepada dinding itu bolehlah diabaikan memandangkan saiz dinding yang besar dan daya yang dikenakan kecil.

Kadang-kadang, aku berasa ingin tinggal di saat itu. Aku tidak mahu masa itu berlalu pergi. Mungkin, aku perlu ke planet lain untuk mengalami masa itu. Mungkin juga jaraknya sejauh 1 juta tahun dari bumi. Mungkin juga planet itu sedang mengalami masa yang sama dengan apa yang berlaku di bumi. Mungkin, planet itu sedang bersendirian.

Astrofizik selalu bermain dalam mindaku. Tentang bintang, langit, asteroid, planet dan semuanya di angkasa lepas. Apa agaknya yang berada di sana, selain manusia, haiwan dan tumbuhan yang mendiami bumi ini?

Namun, kehendak Allah S.W.T terhadap setiap makhluknya pasti akan berlaku juga. Aku tidak akan dapat mengulang balik peredaran bumi dari barat ke timur kepada timur ke barat selama 365 hari mengelilingi matahari untuk hidup di saat ini. Aku juga tidak dapat mengembalikan hujan kembali ke awan untuk beralih ke masa lalu, walaupun aku amat sukakan bunyi hujan dan dingin angin.

Aku memandang ke luar tingkap. Di sebelah kiri kelas. Dulu, semasa aku kecil-kecil, tempat itu ialah habitat pokok-pokok liar yang membentuk hutan belukar yang agak tebal. Yang tinggal kini cuma hutan sekunder, yang didiami oleh paku pakis dan lalang. Hanya dua tiga batang kecil pokok masih teguh memayungi kawasan itu.

Hanif, selalu datang ke tempatku dan bersembang mengenai astrofizik. Kadang-kadang, aku terpengaruh dengan cerita sains yang dibawanya. Mungkin, sebab itu dia berjaya menjalankan eksperimen sains dengan mudah di samping mendapat markah yang tinggi di dalam kelas. Tanpa bantuannya, kumpulan sains kami jarang mendapat keputusan sebenar dalam kajian.

Contohnya eksperimen pengesanan kanji dalam daun. Sampel daun bunga raya kumpulan kami paling jelas menunjukkan kehadiran unsur itu di dalam tumbuhan yang menjalankan proses fotosintesis.

Prosedurnya amat senang, tapi susah untuk dijalankan buat kali pertama. Yelah, banyak sangat yang menyampuk.

1. Ambil daun segar dan rendamkan di dalam air panas.

2. Masukkan daun yang direndam ke dalam sedikit etanol yang dipanaskan dengan penunu Bunsen.

3. Dengan menggunakan forsep, keluarkan daun dari rendaman etanol dan letakkan di atas jubin putih. Titiskan sedikit iodin.

4. Catatkan perubahan warna pada sampel. Biru gelap menunjukkan positif kehadiran kanji.

“Kau ni asyik termenung je weh!” Tegur Jiman yang melihat aku berdiam diri di hujung kelas.

“Jomlah, dah waktu rehat ni. Pergi kantin nak?” Ajaknya sambil menunjukkan jam tangan yang mencecah jam tiga suku.

Aku hanya mampu tersenyum sambil memegang erat kertas peperiksaan lukisanku. 54 D, itulah nombor yang ditulis dengan pen berdakwat merah mewakili markah peperiksaanku. Biarlah hari ni menjadi pengalaman buatku mempelajari semuanya... Dan baru tadi Miss Bong dan Puan Karimah menyerahkan kembali kertas Matematik, dan Sains dan argh... 63 C dan 56 C, sahaja!

Harap untuk penggal kedua nanti, aku akan lebih bersemangat dan kurang berangan! AMIN!!!




Looking for more? Stay tune...


Thursday, December 23, 2010

Meninggalkanmu... 2000

Hidup di kampung itu sangat tenang. Senyap, walaupun jam sudah pun mencecah jam 11 pagi. Seolah-olah tiada kehidupan manusia di situ. Pagi itu kering. Terasa agak nyaman duduk di wakaf kecil itu. Motosikal yang aku tunggangi kuletakkan di tepi wakaf itu. Di hadapanku, pantai, pasirnya agak putih dan luas. Sekarang musim tengkujuh di kawasan timur ini. Namun, sudah dua tiga hari hujan tidak turun. Senanglah aku turun ke sini selalu.

Udara di situ agak masin. Melihat air laut di depanku membuatkan kadang-kadang ingin mandi air Laut China Selatan itu. Laut yang terbesar di dunia yang berada di Pentas Sunda. Namun, ombak yang kuat, terutama sekali ketika air pasang mematahkan niatku untuk mandi. Tambahan pula, kulit kepalaku agak sensitif dengan air laut. Kadar kandungan garam yang tinggi menggalakkan pertumbuhan kelemumur kepalaku. Hasilnya, aku pasti akan menggaru kepala dan terpaksa menukar sehingga tiga empat jenis syampu rambut anti kelemumur untuk merawat kulit kepalaku ini.

Kebiasaannya, aku jarang menggunakan gel rambut sekiranya menaiki motosikal. Nanti rebah juga ditutup dengan topi keledar. Yang penting sekali, aku memang kurang suka rambutku terasa berminyak, atau keras. Lebih suka rambutku bebas tanpa sebarang perapi. Membiarkan bernafas dan menerima cahaya matahari yang secukupnya.

Tidak banyak suri rumah menjemur ikan kering lewat pagi itu. Mungkin sebab kaum lelaki yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan tidak turun ke laut. Musim tengkujuh. Enggan membahayakan keselamatan diri di laut lepas. Kurang sedikit rezeki mereka pada musim-musim sebegini. Tidak mengapalah, asalkan keluarga mereka masih ada tempat bergantung, itu yang sebaiknya. Hanya selepas musim tengkujuh nanti, mereka akan kembali ke laut. Dan pada masa itu, ikan dan udang pasti akan banyak. Sungguh sabar mencari rezeki hidup, meski pun keperluan keluarga harus dipenuhi segera. Tenang hati para isteri menjalani kehidupan sederhana bersama suami. Tidak mempunyai barang kemas seperti kebanyakkan wanita lain. Redha dengan rezeki dan kesulitan keluarga.

Banyak jala disidai di hadapan rumah. Ada yang koyak, ada yang masih baru. Sampan pula diletakkan di bawah rumah. Kebanyakkannya dicat semula, memandangkan hari agak panas sejak dua tiga hari ini.

Wakaf tempat aku singgahi itu agak berpasir. Kayunya juga sudah mula mereput dimakan usia. Menjadi hidangan anai-anai dan kulapuk. Tak silapku, wakaf ini sudah lama berdiri di atas tapaknya. Entah, di sini seolah-olah semuanya bergerak perlahan. Semuanya berlaku kini seperti mana kehidupan berbelas-belas tahun dahulu. Yang membezakan hanyalah beberapa buah motobot, rumah batu dan kedai-kedai makan yang dibina di sekitar pantai. Rumah-rumah nelayan di tepi pantai masih lagi beratap dan berdindingkan nipah.



Kembali ke sini seolah-olah berada di satu tempat yang belum lagi tercemar. Masih lagi damai, masih lagi ada rindu yang belum lebur. Di hadapanku, laut, yang memisahkan antara aku dan realiti. Mungkin, di wakaf ini, aku masih boleh lagi bermimpi, tentang hari ini dan juga esok.

Kakiku agak tenggelam di dalam pasir pantai. Kadang-kadang, aku terfikir, untuk apa aku berdiri di sini, jika aku tahu kakiku akan tenggelam. Lebih baik aku berdiri di atas wakaf ini. Teguh. Aku melangkah menuju ke pantai. Dan dalam diam, aku diekori. Diekori oleh kesan tapak kakiku, yang membekas di lantai pantai.

Tiada apa yang dapat aku buat, kerana sejauh mana pun aku pergi, tapak kaki ini akan terus berbekas. Aku berpaling ke belakang, memadam kesan tapak kaki yang terakhir. Sia-sia, kerana padaman itu menghasilkan pula garisan jariku. Kali ini kuambil selipar jepunku. Kupadam. Puas hatiku melihat tapak kakiku hilang. Tapi, kesan padaman itu hanya untuk mengelirukan pandangan, dan bukannya hati…


Tahun itu ialah tahun 2000. Tahun yang digelar Y2K. Pepijat alaf baru yang menggerunkan para saintis teknologi maklumat. Tahun itu juga aku melangkah ke alam sekolah menengah. 13 tahun. Aku masih ingat lagi, tarikh itu, 18 Januari 2000. Jam 2.30 petang. Aku melangkah masuk ke dalam kelas 1F. Guru kelas aku bernama Puan Koni Ijo. Warna pakaiannya pun seakan-akan namanya, hijau pisang muda. Aku diberikan penerangan ringkas dalam masa lima minit mengenai sekolah itu oleh Cikgu Koni. Lokasi tandas, kantin, padang bola, dewan. Yang penting, kantin. Sebelah kelasku sahaja. Sebelum itu, aku telah diberikan amaran oleh abang dan kakakku agar menjaga diri di sekolah itu, kerana sekolah itu agak ramai dengan pelajar bermasalah. Gugup juga aku dibuatnya.

Aku tiada kawan di sekolah itu. Aku baharu sahaja berpindah sekolah baru ini, meninggalkan kawan-kawan sekolah rendahku di sekolah menengah lama yang baru seminggu aku harungi. Agak sunyi menghabiskan masa rehat bersendirian. Aku pula jenis yang agak pendiam dan tak ramai kawan semasa di sekolah rendah dahulu.

Kawan pertama aku ialah Jiman. Anak bekas tentera laut yang sekarang sedang menjalankan perniagaan kedai makan. Dia juga tiada ramai kawan, memandangkan kondisinya lebih kurang sama seperti aku.

Aku tidaklah mengharapkan keputusan yang baik dalam peperiksaan di sekolah menengah rendah, memandangkan keputusan UPSR aku kurang memberangsangkan, hanya mampu mendapat 2A. Lagipun, aku belum tahu lagi kepintaran rakan sekelasku. Tidak sampai tiga bulan mengenali mereka belum lagi boleh untuk membuat penilaian.

Namun, keputusan peperiksaan pertama kelasku menjadi bualan pihak pengurusan sekolah. Berdasarkan ranking, 1F merupakan kelas pertengahan, yang diberikan sasaran mencapai kelulusan setinggi 60 peratus. Namun, kelasku mampu mencapai tahap 100 peratus lulus, mengatasi kelas terbaik ketika itu, 1A dan 1B. Aku? Aku mendapat tempat keempat. Hanya dibezakan dengan 1 peratus dari Welter, rakan sekelasku yang berketurunan Bidayuh.

Walau bagaimana pun, aku hanya mula dikenali di dalam kelas kerana aku selalu mendapat markah yang tinggi dalam subjek Geografi. Aku sendiri berasa pelik apabila Cikgu Daniel mengucapkan tahniah kepadaku, sedangkan aku kurang ambil peduli subjek itu. Aku lebih suka subjek Bahasa Malaysia, Inggeris dan Pendidikan Islam.

Alam tingkatan satu merupakan salah satu kenangan yang paling bermakna dalam hidup aku. Di sinilah aku mula mengenali Dia. Dia Isabella. Dia, seorang yang menjadi rahsia dalam hati aku. Ya, aku mengaku aku sangat sukakan dia, jatuh hati padanya! Dulu, semasa mula-mula mengenalinya, kami selalu bergaduh. Tak tahulah mengapa, tetapi, secara perlahan, kami mula berbaik-baik. Kawan, namun seteru dalam pelajaran. Dia seorang yang amat bijak. Selalu mendapat tempat pertama dalam kelas. Meminati subjek matematik, sangat kontra dengan aku yang tidak meminati mata pelajaran itu, membuatkan aku selalu segan padanya. Markah matematik aku paling tinggi pun, 83. Itu pun memang nasiblah! Selalunya, aku dapat dalam lingkungan 60 ke 70 markah. Sebaliknya, dia mencemburui aku dalam subjek Geo.

Dia berambut perang dan selalu bertocang kuda. Cermin matanya bujur, masih kuingat lagi warnanya, navy blue. Dia sukakan getah rambut berwarna hitam, atau biru, aku selalu melihat caranya mengikat rambut, kerana aku duduk di belakangnya.

Tapi hari itu aku agak bengang. Syelek yang digunakan untuk menyapu permukaan bangku kayu yang dibuat kami secara berempat, aku, Jiman, Hanif dan Sulaiman, terkena pada baju sekolahku. Geram juga pada Jiman yang bergurau dan secara tidak sengaja terpercik ke baju aku. Akhir sekali, terpaksa mak aku rendamkan baju putih itu ke dalam larutan clorox untuk menanggalkan kesan yang masih melekat.

Malu aku dibuatnya! Nasib baiklah kelas Kemahiran Hidup, elektif: Kemahiran Manipulatif Tambahan(KMT, rasanya sekarang dikenali dengan subjek Kemahiran Teknikal) kelolaan Cikgu Susannah Leong itu berada dalam waktu terakhir sebelum tamat waktu persekolahan pada jam 6.20 petang. Nasib baik juga hari tu bukan sesi penggambaran untuk majalah sekolah. Kalau tak, nampaknya aku seorang sahajalah yang pakai baju sekolah warna coklat!


Tingkatan 1F


TIngkatan 5A Sains 1

carikla aku yang mana 1 ye...



Setiap hari, aku akan tiba di sekolah pada jam 12 tengah hari. Sesi petang akan bermula pada jam 12.35 petang. Sukar untuk mendapatkan bas memaksa aku untuk mengambil bas awal ke sekolah. Kalau tidak, terpaksalah berebut dengan orang ramai yang ingin ke bandar. Untuk pengetahuan korang, aku naik bas awam untuk ke sekolah. Bas sekolah jarang ada di kawasan rumah aku. Kalau ada pun hanya untuk pelajar sekolah lain yang bertentangan arah dengan sekolah aku. Dengan tambang 40 sen, sampailah aku sekolah.

Pernah juga aku dikejar orang gila semasa hendak pergi ke sekolah. Selalunya aku berjalan kaki lebih kurang 600 meter ke jalan besar menuju ke perhentian bas. Tapi, hari itu aku terpaksa berjalan 1000 meter. Habis baju aku basah dengan peluh.

Di sepanjang aku melalui jalan itu, aku sedar, banyak yang telah berubah. Dulu, aku selalu melihat pokok lada yang ditanam di sebelah kanan jalan. Dan beberapa batang kayu balak bersaiz sederhana besar yang disusun di tepi jalan. Semasa aku kecil-kecil dahulu, aku selalu mengikut mak aku memetik beberapa tangkai buah lada untuk dijadikan sebagai bahan dalam masakan di waktu petang hari. Sedih pula mengingatkan hari yang pernah aku lalui dulu.



2001




15 Jun 2010

Suatu hari semasa di tingkatan satu, kasut putihku koyak. Argh! Kasut itu aku gunakan sejak dari darjah enam lagi. Masih muat. Nasib baiklah aku dapat biasiswa, Biasiswa Kecil Persekutuan, BKP. Setahun RM 600. Cukuplah untuk membeli peralatan sekolah dan membayar yuran. Disebabkan aku ni jenis yang agak malas mencuci kasut, tambahan pula hari selalu hujan,. mak aku mencadangan agar aku membeli tiga pasang kasut. Hah! Hentam sajalah labu... Kasut Spark, Bata dan kalau tak silap, North Star. Murah je time tu, dalam RM 29.90 sepasang. Kalaulah sekarang, mungkin lebih dari RM 40.


Meski pun matahari semakin meninggi di atas kepala, aku masih lagi berada di bawah cahaya ini. Angin mendinginkan tubuhku.


Sedingin itu, mengingatkan aku suatu ketika di bulan Mac 2000. Ketika itu, aku dan beberapa lagi orang pelajar tingkatan 1 dan 2 sedang menunggu bas balik dari sekolah. Hujan lebat, dan tiada tempat berteduh. Sejuk dihujani hujan yang menggila di awal maghrib itu. Buku yang paling aku risaukan. Mahal, dan aku takut buku-buku aku kembang dan koyak kerana basah. Semuanya jadi kenangan bagiku. Memang sejuk. Nasib baik sistem imunisasi badan aku kuat. Tak demam dan selesema.


Namun itulah yang aku diamkan. Tak banyak yang tahu kisah aku semasa di sekolah, aku kan pendiam, pada orang-orang yang tertentu. Biarlah, kadang-kadang, sesuatu itu belum boleh kita ceritakan pada alam. Rahasia yang akan hilang di mata, yang akan kekal di hati.

Pasir ini, walau pun tak bernyawa dan ingatan, tetapi. aku pasti akan ingat, di situ aku berpijak, dan di situ aku ingatanku pernah tumpah.




To be continued...