Takkan ada tempat selain di sini punya awan sebanyak ini....
Lampu kalimantang yang berada betul-betul di atas siling tempat katilnya diletakkan masih lagi menyala. Masih lagi belum mengantuk. Silau. Pewangi bilik yang digantung di atas siling dengan haruman peppermint berbentuk pokok bergerak-gerak ditiup angin dari luar bilik. Entah mengapa matanya sejak akhir - akhir ini agak degil, enggan lelap sehingga ke azan subuh. Termasuk hari semalam, sudah hampir tiga bulan dia masuk tidur selepas azan subuh.
Selimut yang menutupi badannya dialihkan ke tepi. Tingkap kembar berdaun dua biliknya sengaja dibiarkan terbuka sejak tengah hari tadi. Mengambil angin luar. Sejuk dan nyaman. Lengannya digosok-gosok. Mencari haba untuk memanaskan badan.
Jam kian hampir ke angka lima. Bunyi jarum saat terasa semakin lambat berdetik. Sekadar mengisi kesunyian malam yang hampir mencecah ke penghujung. Tiada lagi suara-suara jiran bilik sebelah bersembang. Yang ada cuma hanyalah bunyi ngiauan kucing mencari pasangan di malam hari. Kalau tidak pun, bunyi haiwan itu yang sedang kelaparan menyelongkar tong sampah mencari lebihan makanan yang dibuang penghuni blok. Mungkin, dia satu-satunya manusia yang masih lagi bangun mengisi malam yang berpenghuni dengan manusia-manusia yang sedang lena diulit mimpi.
Subuh. Ya. Itulah petanda kehadiran manusia kembali ke alam realiti. Dia suka mendengar azan subuh dan irama yang terbit semasa azan itu dilaungkan. Bunyi air paip dibuka, tanda seseorang sedang mengambil wuduk, bunyi motosikal atau kereta menuju ke masjid, cukup memberikan satu semangat baru untuk memulakan satu hari yang baru dalam lembaran hidup. Selalu, dalam keadaan yang sunyi. Itulah yang didengarinya.
Azan subuh memang unik. Satu ayat di barisan kedua terakhir membezakannya daripada waktu lain. Kadang-kadang, pernah juga dia berasa sayu sendiri apabila mendengar azan subuh. Entahlah, keadaan yang berkabus dan berembun, kadang-kadang membuatkan dirinya teringat kembali suasana di kampung. Di sana lebih tenang, tidak seperti di sini.
Di kampung, dia tidak perlu memikirkan masalah sebegini. Apa yang dia perlu risaukan ialah keselamatan rumah. Rumah keluarganya, tempat berkumpul kaum keluarganya sejak kematian nenek dan datuknya. Almaklumlah, dia sekarang ialah Man of the House. Orang yang diharapkan dalam keluarganya. Sejak abang keduanya berpindah keluar dari rumah itu, untuk membina penghidupan sendiri bersama anak dan isterinya, apa- apa yang berlaku, apa-apa masalah perlu diselesaikan olehnya. Segala urusan rumah, wajib diuruskan segera. Membaiki lampu, tv, kerusi, bagi kucing makan, membetulkan singki yang tersumbat, menghalau ular atau kala jengking, menjolok buah rambutan dan kutip buah durian, sebagainya. Belum lagi masuk memenuhi jemputan kenduri kahwin atau arwah.
Tapi, hakikatnya, dia di sini. Terlalu jauh di sini. Tergelak dia sendiri mengingatkan ayat itu. Iyalah, kalau boleh berjalan kaki, sudah lama dia berbuat sedemikian. Tapi, jaraknya jika hendak kembali ke kampung halamannya boleh membuatkan seseorang dimasukkan ke ICU kerana terlalu kepenatan. Kehilangan banyak darah dan air dalam badan. Masakan perjalanan ke rumahnya mengambil masa yang singkat.
Di luar, warna malam kian pekat, meski pun subuh hampir tiba. Mungkin, tak lama lagi, hujan lebat akan turun. Angin di luar semakin kuat. Menderu, menggegarkan atap genting blok asrama itu. Mujurlah angin bertiup kuat pada awal pagi itu. Bau cat yang baru disapu ke dinding blok ini amat menusuk, cukup membuatkan dia terbersin dan selesema. Mengikut Dr. Ismid(yang dipanggilnya sebagai Ismid Ulam Raja, watak saudagar tua yang kaya dalam filem Tiga Abdul P.Ramlee), pensyarah yang mengajar mereka dalam subjek pengurusan alam sekitar, angin yang kuat baik kerana segala bahan cemar akan dapat diterbangkan jauh keluar dari kawasan yang mengalami pencemaran udara yang teruk.
Ah, melalut pula ke situ! Dahinya dipicit sedikit. Agak pening mencium bau cat baru itu. Hurm, nampaknya, pagi ni tiadalah azan subuh kedengaran, bunyi angin yang kuat sudah cukup menghilangkan suara muazin dari surau. Kalau kedengaran pun, pasti akan berbalam-balam suaranya. Tenggelam dengan bunyi hujan, angin dan atap genting yang saling bertingkah menghasilkan bunyi bising, tetapi cukup selesa kerana suasana yang sejuk dan dingin. Hanyut dibuai mimpi.
Dalam suasana yang semakin sayu dengan bunyi hujan itu, dia keluar, berdiri di hadapan pintu besar blok, bersebelahan dengan bilik asramanya. Merenung lopak-lopak kecil di atas tanah yang mula digenangi air. Mujurlah tanah di situ bukan tanah gambut. Tidak becak jika basah disirami air hujan. Kalau tidak, sukarlah untuk berjalan kaki kalau hendak ke kelas.
Melihat lopak-lopak kecil di tanah, seolah-olah mengunjungi ke satu wilayah dalam hatinya. Berlubang dan berparut. Mereka, rakan-rakannya, mengakui bahawa dia seorang yang amat memendam rasa. Sukar untuk memahami niat dan firasatnya, meskipun sudah lebih empat tahun mereka bersama, setiap hari. Entahlah. Tidak banyak yang dapat mengetahui siapa dia yang sebenarnya. Mungkin dia juga pernah terluka, tapi siapa yang tahu. Tak pernah berkata apa-apa kepada mereka. Biarlah, mereka tak perlu tahu pasal hatinya. Lagi pun, tak perlulah mereka terbeban dengan semua masalahnya, dengan masalah mereka sendiri belum dapat mereka selesaikan. Masalah yang dia sendiri tidak mahu fikirkan, malas terbeban dengan perasaan sendiri.
Benarlah kata satu cerita.
Tin minuman ringan itu ditendang-tendang tanpa arah tujuan. Sekali sekala, anak kecil itu menyepaknya ke arah ayam-ayam yang sedang mengais cacing di tanah. Bertempiaran ayam-ayam itu lari menyelematkan diri.
“Adik, kenapa buat macam tu kat ayam-ayam kita? Nanti ayam tu luka macam mana?”
“Adik marah kat kawan adik. Tadi dia ambik pensel warna adik. Lepas tu adik tolak dia.”
“Adik, tak baik buat macam tu. Nah, kat sini ayah dah buat satu tiang.” Kata si ayah sambil memegang tiang setinggi bahunya itu.
“Cuba adik tanamkan paku pada tiang rumah setiap kali adik rasa marah.”
“Kenapa yah?” tanya anak kecil.
“Nanti ayah ceritakan.” Tersenyum dan mengelap renik-renik peluh di dahinya.
Si anak kecil itu pun mula memaku tiang yang ditanam si ayah di halaman rumah setiap kali ia berasa marah. Anak kecil kecil itu mula belajar untuk mengurangkan rasa marahnya kerana tiang setingginya itu hampir tiada ruang untuk dipaku lagi. Dan akhirnya, pada suatu hari, si anak itu tidak lagi memaku tiang itu.
“Sekarang ayah nak adik cabut semua paku pada tiang tu.” Lantas, si anak pun mencabut semua paku, meninggalkan tiang yang berlubang-lubang.
“Sekarang cuba adik tengok pada tiang tu. Walaupun paku dah dicabut, tapi lubang kesan paku tu masih ada.”
“Macam tu jugalah hati manusia. Walaupun kita sudah memaafkan kesalahan seseorang, tetapi pasti akan meninggalkan kesan di hatinya. Walaupun kita tak nampak. Mungkin, kalau adik paku lagi, tiang ni akan hancur, sama macam hati manusia. Hancur, dan kecewa.”
Dia termenung sendiri. Nafas yang dihembusnya berkabus dan berasap. Seperti menghembus asap rokok. Dia tidak pernah menyentuh rokok. Entah bagaimana seorang perokok menikmati malamnya seperti ini. Dalam lima meter dari tempat dia berdiri, sebatang tiang lampu neon di jalan raya berdiri teguh, cahayanya menerangi sehingga ke dalam blok kediamannya. Selang beberapa minit, lampu neon itu pasti akan terpadam. Mungkin mengalami kerosakan fius. Mungkin juga mengalami masalah bekalan elektrik. Ah, musim-musim sebegini. Selalu sahaja punya masalah elektrik. Sayu benar keadaan di masa itu. Dengan subuh yang dingin, dan lampu neon yang selalu terpadam, cukup untuk menggambarkan keadaan hati seorang yang bernama dia yang berdiri termanggu keseorangan di tepi pintu kaca itu.
Kawan-kawan sakit, kemalangan, bergaduh, ditahan polis, keluar malam dan banyak lagi. Semuanya menjadi kenangan yang tak akan dapat dilupakan bersama rakan-rakannya. Dengan masalah di kelas, konflik antara kawan-kawan, pasti yang lain akan turut terasa. Sudah seperti adik beradik kandung, meski pun berlainan ibu bapa, kaum dan juga agama. Di sini, dia mempunyai rakan-rakan beragama Islam, Kristian, Buddha, dan Hindu. Kaum? Terlalu banyak. Di kelasnya sahaja punya Melayu, India, Cina, Iban, Bidayuh, Kayan, Kadazan, Dusun, Bugis, Melanau, Jawa, Brunei, Lun Bawang. Pelbagai warna kulit, adat resam dan datang dari pelbagai ceruk tempat. Namun semuanya dilalui bersama.
Tapi, dia akui, dia bukanlah Naruto, Doraemon, atau Spiderman, punya kuasa ajaib untuk melindungi rakan-rakannya, tetapi sekurang-kurangnya cuba untuk melindungi kawan-kawan yang dikenali. Pengalaman itulah yang membesarkan dirinya dan rakan-rakannya selama di sini. Itulah prinsipnya.
Jaket tebal yang disarungkan ke tubuhnya dikemaskan. Angin yang menderu semakin mendinginkan suasana yang kelam itu. Udara sejuk yang tertampan di dadanya menyukarkan sedikit dia bernafas. Sudah lama dia tidak kedinginan seperti itu. Kali terakhir semasa di sekolah dulu. Bermandikan air hujan ketika sedang menunggu bas untuk balik ke rumah. Menggigil dan kebasahan ketika menaiki bas. Kenangan yang tak akan dilupakan, sepuluh tahun lalu, semasa di tingkatan satu.
Malam sebelumnya, dia termimpi. Menjerit meminta tolong. Entah apa kesusahannya sehingga dia meminta bantuan daripada kawan-kawannya. Tapi, tiada seorang pun rakannya datang membantu. Dia sedar, tak guna menjerit meminta pertolongan. Kerana semua kawannya telah berada jauh dari tempat dia berada. Semuanya telah berada jauh di kampung halaman masing-masing. Itulah yang ditakutinya selama itu. Berpisah dengan kawan-kawan yang selama itu menemani hidupnya. Namun dia sedar, saat itu akan tiba juga. Masanya akan datang, masa untuk membuat setiap langkah dan keputusan sendiri. Lambat atau sekejap, pasti akan tiba juga. Dan sesudah itu, sudah pasti, mereka yang bergelar sahabat, akan pasti mengucapkan selamat tinggal, meski pun hati tidak merelakan peristiwa yang dipanggil sebuah perpisahan.
AKU akui, tidak pernah melihat melihat wajah sahabat-sahabatku ketika bersalaman buat kali terakhir. Kerana aku tidak mahu menangis, aku juga tidak mahu bersedih. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Namun, kuredai jua perpisahan ini, kerana ia sudah dijanjikan oleh-NYA. Janji yang dipegang teguh, tanpa akan sekali-kali dimungkiri oleh-NYA.
Kawan-kawan, walaupun kita sudah jauh, tapi harap kita tak akan lupakan antara sama lain. Semoga persahabatan ini akan kekal sampai bila-bila. Meski pun jauh, doaku akan sentiasa menemanimu, mengiringi setiap langkah yang dilalui olehmu, sahabat. Haluan kita berbeza kini. Tapi sematkanlah dalam hati, kita pernah bersama.
Subuh sudah pun menjelma. Bangunlah sahabat. Mulakan hari barumu. Mungkin di saat kamu membaca tulisanku ini, kita sudah tidak lagi bersama, kuharap harimu akan sentiasa indah, seperti kenangan yang pernah kita lalui dulu.
Our memories will never fade…
Dedicated to all my friens in UTM, KML, schools, and whoever knows me…
Zizi, selamat ulang tahun kelahiran ke – 24 dalam tahun Islam… 9 Zulkaedah 1407H bersamaan 5 Julai 1987.
9 Zulkaedah 1431H – 17 Oktober 2010.